Siapa tidak kenal dengan permainan ikonik dari Rockstar, Grand Theft Auto, sebuah permainan aksi hebat yang kekal dimainkan oleh peminat. Grand Theft Auto 3 (GTA 3) yang merupakan permainan ketiga dalam francais ikonik ini kini berusia 20 tahun! Aaron Garbut, Ketua Pembangunan, Ketua Co-Studio di Rockstar North baru-baru ini ada menjawab beberapa persoalan menarik mengenai GTA 3.
GTA 3 merupakan titik perubahan dalam francais ini kerana permainan inilah yang mengubah keseluruhan pengalaman bermain. Kedua-dua permainan yang telah dilancarkan sebelum ini menggunakan kamera top-down dan akhirnya berubah dengan apa yang kita lihat sekarang. Aaron Garbut ada menceritakan beberapa cabaran semasa pembangunan GTA 3.
Dia memberitahu dengan dunia 3D yang lebih terperinci dan banyak benda yang anda boleh berinteraksi, mereka memerlukan beberapa enjin fizik yang membolehkan mereka untuk menghubungkan lebih banyak kenderaan dan objek dalam dunia itu. Bukan itu sahaja, mereka juga menghadapi beberapa masalah dalam penghasilan dunia GTA 3 dengan skala bengunan, kelajuaan kereta dan beberapa aspek lain dalam permainan itu. Tetapi cabaran itulah yang membuatkan mereka bangga dan ingin membuat dengan lebih baik pada masa depan.
Muzik juga memberikan pengaruh yang hebat dalam GTA 3 dengan pemilihan dan penciptaan untuk sesuai dengan permainan itu. Untuk memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada pemain, pasukan audio dan muzik GTA 3 telah membantu menyediakan ruang untuk pemain dengan stesen radio dan bual bicara yang tersedia. Tidak kiralah muzik klasik seperti Double Clef atau muzik pop 80 an dan juga penulisan muzik baru, pendekatan GTA 3 terhadap muzik adalah titik perubahan dalam siri ini dan pasukan itu terus berkembang sehingga kini kata Aaron.
Selain itu, terdapat beberapa aspek yang kekal dari GTA 3 sehinggalah GTA 5 termasuklah siri Red Dead Redemption iaitu pembangunan dunia permainan. Rockstar ingin membuat sebuah dunia yang menarik, terperinci yang membuatkannya seperti bernyawa. Mereka ingin dunia di mana pemain berasa seperti mereka tinggal di situ dengan watak-watak yang dicipta. Dunia yang boleh diurus oleh pemain dan tempat yang dipenuhi dengan cerita, watak, peristiwa dan keseronokan, perkara menarik untuk dilakukan.
Walaupun penulisan cerita oleh mereka bertambah baik dari masa ke masa, mereka ingin memastikan bahawa dunia yang dicipta membolehkan pemain mengambil jalan dan kisah mereka sendiri seperti melepak di dalam kereta sambil mendengar muzik dan menyaksikan matahari terbenam atau meluncur ke lokasi misi. Di mana permainan boleh menjadi apa sahaja yang pemain inginkan, tambah Aaron.
Pada mulanya GTA 3 dibangunkan, mereka di Rockstar rasa seperti ianya permainan yang mereka sudah lama ingin mainkan dan memikirnya sebagai sebuah permainan yang menarik. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana permainan itu akan diterima oleh pemain. Mereka hanya ingin mengongsikan kegembiraan mereka bersama orang lain. Aaron berkata bahawa dia teringat semasa Grand Theft Auto 3 pertama kali dipamerkan bersama tajuk Rockstar yang lain, State of Emergency mendapat ke semua perhatian. Dan itulah yang menjadi pembakar semangat untuk mereka mengembangkan permainan ini dengan lebih baik. Mereka sangat bersyukur apabila ramai pemain menyukai permainan itu.
Aaron Garbut juga menyampaikan rasa bangganya terhadap pasukannya yang telah lalui pelbagai cabaran dalam penghasilan GTA 3. Permainan itu seperti sebuah pengembaraan di mana kita menyelesaikan masalah atau teka teki dan permainan ini merupakan tempat di mana kita tinggal. Aaron tahu bahawa kejayaan mereka ini telah membuatkan mereka terus maju kehadapan dengan penuh keyakinan. Dia juga merasakan legasi sebenar GTA 3 akan sentiasa bersama mereka kerana permainan itulah yang memulakan perjalanan mereka.
Melihat semua jawapan yang diberikan oleh Aaron Garbut, kita dapat lihat bagaimana GTA 3 mampu mengubah hala tuju francais ini. Bukan mudah perjalanan mereka dalam menghasilkan dunia GTA dan nampaknya semua cabaran yang dihadapi sangat berbaloi. Sampai di sini sahaja perkongsian kami sempena ulang tahun ke-20 Grand Theft Auto 3. Kalau anda sukakan liputan permainan kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post