Sejak membuka permohonannya pada 2 Mei 2023 yang lalu, geran-geran utama Industri Digital yang dikeluarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), telah menerima sambutan yang menggalakkan. Geran-geran itu terdiri daripada Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Malaysia Digital X-Port (MDXG) dan Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG)
Sambutan positif ini dibuktikan dengan kehadiran hampir 1,000 penggiat industri digital ke sesi taklimat yang diadakan secara maya pada 9 Mei 2023. Lebih 300 soalan dan maklumat berkenaan kriteria kelayakan permohonan geran telah dikemukakan oleh
penggiat industri digital yang hadir.
Sebagai tambahan, DCG 2023 memfokuskan kepada pembangunan industri kreatif digital, dan menyediakan empat cabang geran lain iaitu:
- Geran Projek Mini
- Geran Pembangunan
- Geran Produksi
- Geran Pemasaran dan Pengkomersialan
Keempat-empat geran ini bernilai RM150,000 hingga RM2 juta kepada syarikat, perusahaan, syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) yang melibatkan empat bidang kandungan digital iaitu animasi, permainan digital, komik digital dan teknologi kreatif.
Geran MDXG pula khusus memberi tumpuan kepada syarikat tempatan yang membuktikan kesediaan untuk mengeksport produk, aktiviti atau perkhidmatan teknologi yang bernilai tinggi, inovatif dan mampan untuk pasaran global dengan tempoh projek maksimum selama setahun.
MDCG memberi bantuan kepada syarikat teknologi bagi merangsang penggunaan serta pembangunan penyelesaian lestari dan inovatif selari dengan sektor-sektor yang dipromosikan oleh Malaysia Digital (MD) berteraskan teknologi 4IR dengan tempoh projek maksimum setahun.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata:
Saya menggesa lebih ramai penggiat industri kreatif tempatan mengambil peluang memohon geran-geran yang disediakan bagi memanfaatkan peluang untuk kekal utuh berdaya saing dalam pasaran tempatan sekali gus menembusi pasaran global.
Tarikh tutup permohonan geran adalah pada 1 Jun 2023 dan maklumat lanjut boleh didapati di www.mdec.my/grants.
Keputusan permohonan dijangka akan diumumkan pada Julai 2023 tertakluk kepada jumlah permohonan yang diterima.
Baca segala berita kami tentang industri permainan dan teknologi Malaysia di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post