Setelah hampir 7 tahun menjauhkan diri daripada sukan Golf, EA Sports nampaknya kembali dengan PGA Tour terbaru yang dibangunkan oleh EA Orlando dan EA Madrid. Kali terakhir EA Sports melepaskan game PGA Tour ialah pada tahun 2015. Dengan 2K menjadi pesaing untuk game sukan ini, sudah tentu EA sports mempunyai perancangan sendiri untuk kembali dengan jayanya. Jadi nak tahu bagaimana prestasi EA Sports PGA Tour ini? Teruskan membaca review kami ini!
Mulakan belajar
Kami memang tidak tahu sangat mengenai peraturan Golf, jadi agak lambat juga untuk biasakan diri dengan game ini. Terdapat empat tahap difficulty untuk game ini iaitu Arcade, Pro, Tour dan Simulation. Memandangkan kami baru sahaja ingin belajar, sudah tentu kami memilih untuk bermain “Arcade”. Ia sangat membantu untuk pemain baru tanpa stres mengenai tetapannya yang agak kompleks. Tetapi anda boleh sesuaikan sendiri tetapan game kalau anda tahu sepenuhnya mengenai kawalannya.
Masa nak mulakan game, mungkin anda tidak tahu untuk pergi ke mana. Seperti kami, kami belajar dahulu cara bermain melalui Coaching Academy Challenges. Agak lama juga untuk kami cari tutorial untuk game ini. Kami pelik mengapa tiada tutorial ringkas terus diberikan selepas masuk ke dalam game. Nasib baik jumpa Challenges ini. Kalau tidak, masuk sahaja Career mode mesti satu bola pun tidak masuk ke dalam lubang.
Terdapat pelbagai mode yang tersedia untuk dimainkan. Ia memberikan kebebasan kepada pemain untuk mulakan perjalanan mereka dengan Golf. Anda boleh bermain secara single-player ataupun multiplayer bersama kawan atau pemain lain dalam talian. Kami ada juga cuba untuk mainkan mode multiplayer tetapi tidak ada peluang. Tetapi apabila melihat leaderboard, ada juga markah daripada pemain lain dalam talian. Semua pro belaka.
Walaupun begitu, mode single-player sahaja sudah cukup seronok untuk dimainkan, terima kasih kepada Career Mode. Semasa pertama kali buka game ini, anda perlu mencipta golfer tersendiri. Walaupun tidak begitu banyak yang anda boleh sesuaikan, anda masih boleh mendapatkan gear dan peralatan ekslusif daripada jenama terkemuka seperti TaylorMade, Adidas, Nike dan banyak lagi.
Melalui XP dan latihan, golfer anda boleh menjadi lebih hebat tetapi ia perlulah mempunyai skill lain. Lebih banyak skill yang anda upgrade, lebih banyak jenis shot yang tersedia untuk anda gunakan. Terdapat 20 shot berbeza tersedia melalui 5 skill utama — Power, Driving, Approach, Short game dan Putting.
Mode yang pelbagai
Untuk mulakan Career anda, anda boleh pilih stage mana untuk mula bermain. Boleh sahaja kalau anda ingin langkau terus ke Masters kalau tidak mahu bermula daripada peringkat amatur. Kalau anda bermula dari bawah, terdapat beberapa syarat yang anda perlu capai untuk sampai ke Masters. Jangan risau kalau anda gagal, anda akan diberi peluang untuk mulakan semula kejohanan yang disertai atau terus ke Major lain.
Kalau anda ingin bermain secara santai, terdapat Quick Play yang memberi anda pilihan untuk menggunakan golfer anda sendiri ataupun pemain professional sebenar seperti Scottie Scheffler, Patrick Cantlay, Jordan Spieth dan ramai lagi. Buat masa ini, mungkin barisan pemain tidak begitu banyak tetapi ianya akan ditambah pada kemas kini akan datang.
Terdapat lebih daripada 30 course yang anda akan lihat dalam game ini termasuklah 28 daripadanya yang direka semula daripada dunia sebenar seperti Augusta National Golf Club, Southern Hills, Oak Hills Country Club dan lain-lain. Seperti pemain pro tadi, akan ada lebih banyak course akan ditambah nanti.
Mengayun controller
EA Sports PGA Tour mempunyai sistem swing yang membuatkan anda rasa seperti bermain golf sebenar. Tetapi tidaklah anda menggerakkan controller anda tetapi anda hanya perlu menggunakan butang L3. Kadang-kadang stres juga apabila controller tiba-tiba batalkan hayunan yang dibuat. Harap-harap ia akan dikemas baik nanti. Walaupun begitu, kami masih lagi seronok mengayun kayu golf kami untuk masukkan bola ke dalam lubang.
Selepas anda pukul sahaja bola, anda boleh rasa pergerakan bola dengan getaran daripada controller. Agak gembira juga apabila melihat bola jatuh di tempat yang kita tetapkan. Sudah tentu kadang-kadang ia tersasar jauh, jadi kenalah kawal pukulan dan lihat pergerakan angin dengan baik.
Untuk bina karier yang baik, sudah tentu anda perlu menyertai pertandingan besar yang ada. EA Sports PGA Tour mempunyai jadual penuh musim perlawanan termasuklah 4 Major, FedEX Cup dan banyak lagi. Malangnya, anda tidka boleh pilih berapa banyak round untuk anda mainkan. Mungkin pada awal round anda mendapat kedudukan yang baik. Tetapi setelah main sehingga round terakhir, kami terus tidak layak untuk peringkat seterusnya. Memang perlukan banyak sabar juga untuk cuba dapatkan kedudukan yang baik dalam game ini. Semua AI tidak mahu mengalah.
Grafik & Penyampaian
Grafik game sememangnya terbaik apabila dimainkan pada PS5. Ia memang buatkan anda terasa seperti berada di tempat sebenar. Cuma kalau dari jarak yang jauh, ia kelihatan agak kosong kerana konsol masih load segala rumput dan sebagainya. Anda juga akan dibawa melihat course setiap kali bermain. Ianya dipersembahkan oleh pasukan pengulas hebat seperti Frank Nobilo, Rich Lerner, Notah Begay, Iona Stephen dan Nick Faldo. Kadang-kadang lama juga mereka bercakap, jadi boleh sahaja kalau anda mahu skip.
Bercerita tentang grafik, model watak bagi kami kelihatan sedikit pelik, lebih-lebih lagi rupa pemain pro. Game ini tidak menangkap rupa mereka dengan baik dan kelihatan sedikit tua daripada muka sebenar pemain. Kadang-kadang wajah model juga agak menyeramkan. Terkejut betul apabila kami melihat wajah golfer kami senyum selepas membuat pukulan hebat. Sabar sahajalah.
Benda lain yang kami tidak berpuas hati ialah kamera dalam game. Kadang-kadang ia akan terlindung oleh tebing ataupun kawasan yang sedikit berbukit. Mahu atau tidak, kena juga ubah kedudukan kamera yang paling sesuai untuk membuat pukulan. Harap-harap ia mendapat penambahbaikan akan datang.
Kedai penuh item
Untuk mendapatkan gear lebih, anda boleh sahaja bermain Challenges untuk mendapatkannya dengan percuma. Tetapi anda juga boleh membelinya mengguna in-game currency dalam game ataupun dengan wang sebenar. Di kedai juga mempunyai tiket perlawanan yang membolehkan anda untuk menyertai pertandingan dalam talian. Kalau anda sertainya, ganjaran yang anda boleh dapatkan lebih lumayan daripada pertandingan yang percuma.
Kesimpulan
Kami dapat rasakan bahawa EA Sports memberikan usaha sehabis boleh untuk berikan pengalaman gameplay yang menarik untuk pemain. Sejujurnya, kami seronok bermainnya walaupun tidak habis-habis kena belasah dengan AI. Ia juga agak realistik membuatkan game ini kelihatan hebat cuma mekaniknya sahaja perlu diperbaiki sedikit. Terdapat lebih banyak kandungan menarik yang akan ditambah kelak, jadi anda juga perlu mencubanya.
EA Sports PGA Tour tersedia di PS5, Xbox Series X|S dan PC sekarang!
@gamersantaimy
The Review
EA Sports PGA TOUR
PROS
- Grafik dan persembahan yang hebat
- Pemain baru bebas untuk mulakan game
CONS
- Sistem Swing perlukan penambahbaikan
- Model watak kelihatan janggal dan kekok
Discussion about this post