Selepas menghabiskan masa yang lama sebagai judul eksklusif di Nintendo Switch, Dragon Quest XI S: Echoes of an Elusive Age akhirnya menuju ke pelantar PC dan konsol. Ketika permainan asal dilancarkan, Dragon Quest amat menekankan elemen tradisional dalam genre JRPG dan idea ini terbukti berjaya kerana Dragon Quest XI masih mempunyai reputasi yang tinggi sebagai salah satu JRPG hebat sepanjang zaman. Selepas mengeluarkan edisi definitif, elemen baru bukan sahaja menjadikan Dragon Quest XI S jauh lebih mudah untuk bermain, malah menambahbaik pengalaman saya secara drastik.
Peminat JRPG boleh melihat usaha yang dikeluarkan dalam versi ini berbanding dengan permainan asal. Muzik mereka telah diperbaharui, pertempuran kini boleh dilajukan, dan penambahan mod foto adalah antara perubahan “quality-of-life” yang saya boleh lihat. Tidak kisah sama ada baru hendak mencuba, atau ingin mengalaminya dalam cara yang baru, Dragon Quest XI S: Echoes of the Elusive Age Definitive Edition adalah pengalaman JRPG yang luar biasa. Mari kita selami ulasan ini!
Naratif & Latar Belakang
Gameplay Asas & Sistem Pertempuran
Walaupun mementingkan sistem “turn-based JRPG“, Dragon Quest XI S membuat banyak perubahan untuk kekal relevan pada zaman ini. Sebahagian besar dari perubahan itu adalah tahap “customization ” yang kita ada sebagai pemain semasa mengubah ahli parti. Setiap watak mempunyai beberapa senjata yang dapat mereka gunakan, dan masing-masing mempunyai “skill tree” sendiri. Selain itu, setiap watak juga mempunyai kemahiran unik mereka. Ia sangat mudah untuk membuat parti yang memenuhi playstyle kita kerana permainan membolehkan saya mengagihkan skill point untuk watak pada bila-bila masa, di mana-mana save point terdekat.
Walaupun sistem pertempuran sudah cukup padu, satu fitur unik adalah “Pep System“. Jika kita menyerang atau mempertahankan diri semasa pertempuran, “pep gauge” akan mula berisi. Jika penuh, sejenis aura biru akan mengelilingi watak yang bertahan selama tiga atau empat pusingan dan memberikan beberapa buff serta peluang yang lebih tinggi untuk melakukan serangan kritikal.
Apabila sistem pep untuk watak tertentu diaktifkan, pemain juga mendapat akses ke abiliti rahsia. Setelah abiliti ini digunakan, watak akan kembali normal. Komposisi parti juga memainkan peranan yang penting dalam hal ini kerana watak-watak tertentu mempunyai abiliti yang memerlukan kerjasama antara watak lain. Walaupun mudah, Dragon Quest XI S menawarkan banyak strategi untuk pemain guna.
Pada masa yang sama, Dragon Quest XI S menawarkan banyak aktiviti unik yang pemain boleh lakukan di luar pertempuran. Erdrea adalah dunia yang luas dan besar dengan banyak rahsia yang tersembunyi. Pemain boleh menyelesaikan misi sampingan untuk mendapatkan ganjaran tambahan dan buka beberapa “mini-game” seperti lumba kuda ketika maju dalam jalan cerita.
Penambahan Baru
Pemain lama yang telah selesaikan Dragon Quest 11 mungkin tertanya apa yang baru. Di bawah, saya ingin menjelaskan semua fitur dan penambahan baru yang disertakan dalam edisi Definitif:
- Mod 2D: Peminat JRPG dapat menikmati Dragon Quest 11 dalam gaya seni tradisional 2D berasaskan sprite, yang dapat diaktifkan dan dimatikan di gereja (save point).
- Misi sampingan Tickington: Selain daripada mod 2D, pemain akan bertemu dengan watak bernama Tockle. Ia memperkenalkan kita kepada misi sampingan Tickington, yang membolehkan pemain melihat semula permainan lama Dragon Quest dalam versi 16-bit. Misi ini sebenarnya pendek, tetapi amat menyeronokkan bagi peminat lama yang ingin mengenang zaman gemilang Dragon Quest.
- Jalan cerita tambahan untuk watak: Tanpa memberi sebarang spoiler, kebanyakkan ahli parti mempunyai jalan cerita tambahan. Jalan cerita ini telah digabungkan ke dalam permainan utama, jadi tidak ada misi sampingan yang leceh untuk kita buat.
- Soundtrack sepenuhnya oleh orkestra: Soundtrack lama telah digantikan sepenuhnya oleh orkestra. Pemain boleh menukar ke soundtrack lama dalam tetapan permainan pada bila-bila masa, tetapi versi orkestra adalah lebih sedap untuk dengar.
- Pilihan suara jepun: Peminat yang lebih suka suara Jepun daripada suara Inggeris boleh bertukar antara pilihan ini pada bila-bila masa dalam tetapan permainan.
- Mod foto: Mereka yang lebih suka grafik 3D dapat menikmati pemandangan dengan mod Foto baru, yang mempunyai pilihan kesan khas yang banyak.
- Ubah kelajuan pertarungan dan kamera pertarungan: Satu penambahan yang penting ialah kemampuan untuk mengubah kelajuan pertempuran. Pemain boleh pilih antara kelajuan “Normal”, “Fast”, atau “Ultra-Fast”. Ini sangat penting semasa kita “grinding” pada hujung permainan. Seterusnya, pemain boleh menetapkan kamera pertempuran ke sudut yang boleh dikawal atau statik.
- Pelbagai perubahan “quality-of-life”: Bersama dengan perubahan di atas, beberapa perubahan halus juga telah dilakukan. Antaranya adalah kemampuan untuk menggunakan Fun Size Forge di mana sahaja, cutscene yang boleh “skip”, kemunculan ahli parti semasa menjelajah, dan lain-lain.
Semua fitur ini bukan sahaja menghebatkan lagi pengalaman Dragon Quest 11 saya, tetapi juga meningkatkan pengalaman asas pemain baru. Soundtrack baru telah disediakan oleh Tokyo Metropolitan Symphony Orchestra untuk menunjukkan kemegahan dan keunggulan muziknya berbanding permainan asli. Ditambah pula dengan perubahan mekanikal dan fungsi-fungsi lain, ia memberi banyak kemudahan akses dalam permainan yang sepatutnya berbentuk tradisional.
Mod 2D, khususnya, adalah sesuatu yang istimewa kerana ia cuba menarik perhatian peminat tegar Dragon Quest. Kita bukan sahaja mendapat misi sampingan baru yang direka khas untuk memperingati judul-judul klasik di dalam siri, malah keseluruhan Dragon Quest 11 juga boleh dimainkan dalam mod 2D. Sesiapa yang merupakan peminat JRPG era 16-bit pasti akan menyukai fitur ini.
Kelajuan pertarungan yang boleh diubah adalah ciri yang bagus, terutama bagi mereka yang terbiasa dengan sistem pertempuran JRPG moden seperti Final Fantasy 7 Remake atau Persona 5. Ia membuatkan pengalaman kita semasa “grinding” di hujung permainan lebih lancar dan mudah dan bukan membosankan atau leceh.
Kemampuan untuk menggunakan Fun Size Forge bagi membuat senjata/baju besi di mana sahaja pula adalah satu kelebihan yang tidak wujud dalam permainan lama. Jika kita menggabung semua fitur ini dengan perubahan mekanikal kecil lain, Dragon Quest 11 S dengan mudah adalah pilihan “definitif” saya berbanding mana-mana permainan Dragon Quest.
Pendapat
Setelah keluar dari Nintendo Switch, pelepasan Dragon Quest 11 S di pelantar konsol dan PC adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Walaupun permainan berjalan dengan lancar di Switch, saya pasti anda akan lebih seronok di konsol atau PC kerana kemampuan grafik yang ditingkatkan. Pada kebanyakkan masa, Dragon Quest 11 S boleh cecah 60 FPS pada resolusi tinggi tanpa banyak masalah.
Dragon Quest 11 adalah JRPG yang hebat bagi pemain baru dan peminat lama, tetapi Dragon Quest 11 S merupakan versi terbaik untuk kita benar-benar menikmati permainan. Peminat baru mungkin mengalami sedikit masalah untuk membiasakan diri dengan suasana keseluruhan, tetapi sistem baru mudah dipelajari dan tidak ada apa-apa unsur yang boleh mengelirukan anda.
Semua peningkatan di atas pasti akan menghasilkan pengalaman yang jauh lebih baik, manakala tribut 2D mereka adalah sentuhan yang bikin nostalgia. Jika diri itu suka bermain JRPG, saya sarankan anda cuba Dragon Quest 11 S sekarang! Itu sahaja untuk ulasan ini, selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
The Review
Dragon Quest XI S: Echoes of an Elusive Age
Dragon Quest 11 adalah JRPG yang hebat bagi pemain baru dan peminat lama, tetapi Dragon Quest 11 S merupakan versi terbaik untuk kita benar-benar menikmati permainan. Peminat baru mungkin mengalami sedikit masalah untuk membiasakan diri dengan suasana keseluruhan, tetapi sistem baru mudah dipelajari dan tidak ada apa-apa unsur yang boleh mengelirukan anda.
Discussion about this post