Anime Dragon Ball Super: Beerus akan mula ditayangkan di Jepun pada 11 Oktober 2026. Bersama pengumuman tarikh tayangan, Toei Animation turut mengeluarkan trailer baharu yang padat dengan aksi yang dikemas kini.
Untuk konteks, ini bukanlah tayangan semula. Projek ini dihasilkan sebagai “edisi ENHANCED” bagi anime asal dengan memperkenalkan banyak adegan yang dilukis semula, kesan visual yang dinaik taraf, serta naratif yang diolah semula agar lebih menepati manga asal oleh mendiang Akira Toriyama. Babak lawan yang diperbaharui juga memberikan pengalaman tonton yang lebih lancar berbanding siaran asal pada tahun 2015.

Trailer terbaharu turut memberikan peluang pertama kepada kita untuk mendengar lagu tema rasmi anime tersebut. Lagu pembukaan bertajuk “ONOGAMI” dipersembahkan oleh penyanyi dan penulis lagu, MEGATERA・ZERO. Sementara itu, lagu penutup bertajuk “Kan Peki No Peki” pula dinyanyikan oleh VK Blanka.

Kisah Dragon Ball Super: Beerus bermula beberapa tahun selepas kekalahan Majin Buu, ketika bumi sedang menikmati kedamaian. Namun, ketenangan tersebut musnah apabila Beerus, sang God of Destruction, terjaga daripada tidurnya yang panjang. Ditakuti di seluruh alam semesta kerana kuasanya yang mampu memusnahkan sesebuah planet sekelip mata, Beerus mendengar khabar angin tentang seorang pahlawan Saiyan yang berjaya menewaskan Frieza. Pencariannya membawa Beerus kepada Goku, lalu memulakan pertarungan kosmik yang meletakkan nasib bumi dan seluruh alam semesta dalam bahaya.

Tayangan antarabangsa termasuk platform siaran serta tarikh tayangan untuk penonton di luar Jepun masih belum diumumkan buat masa ini.









Discussion about this post