Diablo Immortal oleh Blizzard Entertainment mencapai detik penting dengan kemas kini Patch 3.2 – Shattered Sanctuary, yang menjadi pembaharuan paling besar dan berani dalam sejarah game ini.
Patch ini bukan sahaja membawa kembali si iblis Diablo dalam pertembungan dramatik, tetapi juga memperkenalkan zon terbesar World’s Crown, aktiviti endgame baharu, dan penamat cerita untuk Age of Unmaking.
Dalam temu bual bersama Ryan Quinn, Senior Narrative Designer, dan Nan Jiang, Senior Game Designer, mereka berkongsi cabaran serta kejayaan di sebalik pembaharuan ini.
Nostalgia dan Inovasi Bersatu Dalam Pertempuran Ikonik
World’s Crown membawa kembali musuh ikonik daripada siri Diablo terdahulu, menggabungkan elemen nostalgia dengan reka bentuk moden. Ryan Quinn meluahkan keterujaan pasukannya menghidupkan semula watak kegemaran peminat seperti Viper dari Diablo 1, yang diubah untuk menyesuaikan diri dengan Diablo Immortal.
“Kami menaik taraf Viper supaya lebih besar dan menakutkan… menonjolkan kuasa World Stone di tangannya, menunjukkan bahawa Diablo mampu mengubah segala yang berada di bawah perintahnya,” jelas Quinn.
Ketika ditanya tentang potensi kemunculan semula bos ikonik lain seperti Malthael atau Lilith, Quinn menjelaskan bahawa pasukannya sentiasa berusaha menyeimbangkan antara nostalgia dan kandungan baharu.
“Pendekatan kami adalah gabungan 50-50 — separuh untuk membawa kembali watak klasik yang dikenali, dan separuh lagi untuk mencipta sesuatu yang segar,” katanya, menjelaskan bahawa falsafah ini membimbing mereka sejak awal pembangunan.
Quinn menambah bahawa walaupun beberapa bos klasik sesuai dengan garis masa Diablo Immortal, ada yang mencabar untuk disesuaikan kerana game ini berada di antara Diablo II dan Diablo III.
Keutamaan pasukan adalah memastikan setiap watak yang kembali terasa relevan dan organik dalam jalan cerita, sambil memastikan mereka membawa elemen yang “paling menarik.”
Nan Jiang turut mendedahkan bahawa kolaborasi dengan pasukan Diablo IV telah membawa bos seperti Shava ke dalam game, memberi petunjuk bahawa lebih ramai musuh ikonik mungkin akan muncul dalam kemas kini akan datang.
Ciri Baharu Tingkatkan Pengalaman Bermain
Patch 3.2 juga memperkenalkan pelbagai ciri baharu yang meningkatkan daya tarikan, menjadikannya lebih menarik untuk dimainkan semula. Nan Jiang menekankan penambahan bos Helliquary baharu, yang direka untuk menonjolkan kerjasama pasukan tetapi tetap dapat dimainkan secara solo.
“Kami cuba memastikan bos-bos ini menyeronokkan untuk dimainkan bersama rakan, tetapi pada masa yang sama, anda juga boleh mengalahkan mereka sendirian,” katanya, merujuk maklum balas pemain yang meminta lebih banyak pilihan gameplay fleksibel.
Jiang turut menjelaskan cabaran teknikal dan kreatif dalam mereka bentuk pertarungan bos yang menggabungkan abiliti baharu. Buat pertama kalinya, pasukan menggunakan pendekatan berasaskan skrip secara besar-besaran untuk menjadikan pertarungan lebih dinamik tanpa mengganggu aliran permainan dengan sinematik yang panjang.
Skrip ini secara halus mengawal bagaimana pemain merasakan perkembangan pertarungan, menjadikannya terasa lebih mendebarkan. “Jika anda tak sedar bahawa skrip itu digunakan, itu tandanya kami berjaya,” jelas Jiang, menekankan pentingnya keseimbangan antara keasyikan dan kawalan pemain.
Selain itu, game ini juga memperkenalkan penambahbaikan kepada sistem “familiar”, yang kini lebih mudah digunakan hasil maklum balas pemain. Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah sistem AFK, yang membolehkan pemain menghantar familiar mereka untuk melaksanakan tugasan harian secara automatik.
Dengan ciri ini, pemain dapat fokus pada cabaran atau bahagian gameplay yang lebih menyeronokkan tanpa perlu risau tentang kemajuan harian mereka.
Selamat Datang Ke World’s Crown
Zon baharu World’s Crown merupakan penambahan luar biasa dalam Diablo Immortal, digambarkan sebagai tanah gersang yang penuh dengan elemen surreal dan menyeramkan. Berinspirasikan daratan beku Antartika serta suasana mengerikan Pompeii selepas letusan Gunung Vesuvius, kawasan ini memaparkan kehancuran sepenuhnya akibat kuasa World Stone.
Zon ini menampilkan pemandangan ngeri seperti hamparan penuh mayat dan tasik merah seperti darah, seolah-olah masa terhenti.
Ryan Quinn menerangkan, “Kami ingin mencipta sesuatu yang besar, surreal, dan seperti muka depan album metal,” sambil menekankan tujuan pasukan untuk membentuk dunia yang melangkaui batas alam semula jadi sambil memperlihatkan kuasa pemusnah World Stone.
Di zon ini, pemain akan menemui kumpulan raksasa baharu termasuk “Terror Demon” serba baharu, kultis, dan Shardborn, bersama pelbagai makhluk unik lain. Zon ini juga penuh dengan cabaran menarik seperti Bounty dan pertembungan epik yang akan menguji keupayaan pemain hingga ke had.
Nan Jiang menonjolkan skala kesukaran dinamik yang diperkenalkan khusus untuk World’s Crown, memastikan walaupun pemain dengan peralatan terbaik sekalipun akan berhadapan dengan cabaran.
Proses pembangunan World’s Crown penuh dengan kreativiti yang memberi kesan kepada pasukan pembangun. Ryan Quinn berkongsi rasa kagumnya melihat seni persekitaran zon ini berkembang daripada konsep ke realiti.
Elemen-elemen seperti tasik darah yang luas, piramid mayat yang menjulang tinggi, dan sistem gua bawah tanah yang mengeluarkan tar menjadikan visi pasukan menjadi nyata.
Quinn mengimbas kembali, “Apabila penerbit kanan kami, Brad, melihat persekitaran ini bersama raksasa yang keluar daripadanya dan berkata, ‘Ini buat saya rasa mual,’ saya tahu kami telah berjaya.”
Cabaran Baharu Challenge Dungeon
Penambahan Challenge Dungeons dengan “random modifier” memberikan nafas baru kepada endgame Diablo Immortal. Nan Jiang menjelaskan bahawa idea ini muncul daripada data yang menunjukkan pemain sangat berminat dengan dungeon.
“Kami ingin menyediakan peluang yang lebih dinamik, mencabar, dan memberikan ganjaran memuaskan kepada pemain… supaya pengalaman ini sentiasa terasa segar,” katanya, sambil menegaskan bahawa ciri ini adalah pilihan sepenuhnya untuk mereka yang lebih suka kandungan sedia ada.
Jiang menekankan bahawa setiap perjalanan dungeon akan berbeza setiap hari dengan adanya modifikasi seperti had masa, peningkatan tahap kesukaran, atau langsung bermula dengan perlawanan bos. “Matlamat kami adalah untuk menjadikan setiap perjalanan dungeon terasa unik,” jelasnya.
Menurut Nan Jiang, matlamatnya adalah untuk “membuatkan anda merasa perbezaan tentang perjalanan dungeon setiap hari” melalui keadaan unik seperti had masa, peningkatan kesukaran, atau memulakan permainan terus di perlawanan bos.
Ryan Quinn membandingkan Challenge Dungeons dengan Elder Rifts dalam cara mereka mengekalkan keterujaan melalui variasi. Beliau menyifatkan mod ini sebagai peluang untuk memberi ganjaran kepada pemain yang berusaha mengasah build watak dan kemahiran teknikal mereka.
Dengan pendekatan ini, pasukan berharap untuk mencipta pengalaman seronok sambil memantau maklum balas komuniti bagi membentuk kemas kini masa depan.
Ganjaran menjadi daya tarikan utama dungeon ini, termasuk set item drop mingguan dan peluang loot yang lebih tinggi.
Walaupun penyertaan adalah optional, Challenge Dungeon memberi peluang kepada pemain untuk menambah variasi dalam rutin mereka, menjadikannya pengalaman menarik bagi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru.
Pertarungan Epik dengan Diablo
Pertarungan melawan Diablo dalam Diablo Immortal Patch 3.2 dijangka menjadi pertembungan bos yang paling epik dan bercita-cita setakat ini. Ia menampilkan abiliti baharu, efek visual yang memukau, dan cabaran dengan tekanan yang lebih tinggi berikutan peningkatan kepadatan raksasa.
Nan Jiang mendedahkan bahawa pembangunan pertarungan ini mengambil masa lebih setahun, jauh lebih lama daripada tempoh tiga hingga enam bulan yang biasanya diperlukan untuk mereka bentuk bos.
“Kami sudah menjanjikan pertembungan dengan Diablo sejak pelancaran permainan… ia benar-benar memerlukan masa yang panjang untuk memastikan reka bentuk ini sempurna,” jelasnya.
Pertarungan ini menampilkan lebih daripada tiga mekanik utama, dengan setiap fasa menawarkan cabaran unik untuk pemain.
Nan Jiang turut berkongsi kesukaran dalam merancang abiliti api ikonik Diablo, yang merupakan elemen penting dalam identiti watak tersebut. Versi awal abiliti ini dianggap kurang memuaskan, memaksa pasukan membuang reka bentuk tersebut dan memulakan semula.
Selepas pelbagai pembaikan, mereka akhirnya berjaya mencipta abiliti api baharu yang benar-benar menggambarkan kekuatan menakutkan Diablo.
Jiang berkata, “Ia benar-benar menunjukkan apa yang Diablo akan lakukan kepada pemain… masih mencabar, jadi berhati-hatilah.”
Untuk pemain baharu yang ingin menghadapi cabaran dalam Diablo Immortal patch 3.2, persediaan adalah kunci kejayaan. Ryan Quinn mengesyorkan agar pemain memberi tumpuan kepada naratif dengan melengkapkan misi utama dan jalan cerita Crucible of Justice dari patch sebelumnya.
Kemajuan ini bukan sahaja untuk pengalaman cerita tetapi juga memberikan akses kepada El’druin, pedang suci yang penting untuk mengalahkan Diablo.
Salah satu elemen paling menarik dalam pertembungan ini adalah penggunaan El’druin, sebagai elemen penting dalam pertarungan. Jiang menekankan betapa berhati-hatinya pasukan mereka dalam memastikan senjata ini terasa bermakna dari segi cerita dan gameplay.
Dalam momen klimaks, pemain akan berdepan kegelapan dan keputusasaan, sebelum El’druin bersinar terang, menembusi kegelapan dengan ayunan yang menentukan kemenangan.
Bagi peminat pertempuran Diablo, kemas kini ini memperkenalkan dungeon Diablo yang boleh dimainkan semula, membolehkan pemain menghidupkan kembali pertarungan epik itu secara solo atau bersama rakan sepasukan sambil memperoleh ganjaran terbaik.
Penambahan ini memenuhi kehendak mereka yang ingin mengulangi salah satu pertembungan paling ikonik dalam permainan.
Bagi peminat yang ingin menghidupkan kembali pertarungan ini, patch ini turut memperkenalkan dungeon Diablo yang boleh dimainkan semula. Pemain boleh memilih untuk menyertai pertempuran ini secara solo atau bersama rakan sepasukan sambil memperoleh ganjaran.
Melangkah ke Hadapan: Cerita Bersambung
Diablo Immortal Patch 3.2 menandakan penutup kepada era Age of Unmaking, membangunkan naratif yang dimulakan dalam Realm of Damnation. Namun, Ryan Quinn menekankan bahawa ini bukanlah pengakhiran.
Rancangan Diablo akan meninggalkan kekosongan kuasa yang besar, yang akan memberi kesan besar kepada iblis, manusia, dan Sanctuary, mencetuskan konflik serta cabaran baharu untuk diterokai dalam dunia Diablo Immortal.
Dalam ucapan penutup mereka, Ryan Quinn dan Nan Jiang menyampaikan penghargaan kepada pemain yang telah menyokong Diablo Immortal.
Quinn berkata, “Ramai daripada kami bermula sebagai peminat dan pemain sebelum menceburi pembangunan game. Sangat merendah diri apabila diberi kepercayaan untuk membangunkan kisah Diablo dan Tyrael.”
Dia turut meluahkan rasa bangga pasukan dalam menyelesaikan zon epik World’s Crown serta penamat jalan cerita yang telah lama dinantikan sejak tahun 2022. Walaupun ini adalah satu pencapaian besar, Quinn memberi jaminan bahawa kisah Immortal masih jauh dari selesai.
Nan Jiang turut mengucapkan terima kasih kepada pemain atas maklum balas dan penglibatan mereka dalam memperbaiki game. Dia mengakui bahawa walaupun game ini tidak sempurna, pasukan tetap komited untuk menangani kekurangan dan meningkatkan pengalaman pemain.
Dengan fokus kepada kandungan baharu serta penambahbaikan ciri sedia ada, Jiang menegaskan bahawa suara pemain sentiasa didengar dan akan terus membentuk masa depan permainan ini.
Untuk maklumat lanjut tentang Diablo Immortal Patch 3.2, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post