Dunia Diablo Immortal terus berkembang, dan Patch 3.2 membawa pelbagai kemas kini menarik yang memperkaya pengalaman gameplay, sama ada untuk pemain lama yang berpengalaman mahupun pendatang baru.
Dengan Sanctuary bersiap menghadapi cabaran baru dan ancaman yang lebih gelap, patch ini memperkenalkan ciri-ciri baharu yang menarik, penyesuaian yang lebih dinamik, serta penambahbaikan yang diilhamkan daripada maklum balas komuniti. Berikut adalah gambaran lebih mendalam tentang apa yang menanti anda.
Kembali Ke Sumber Kengerian
Blizzard telah memberikan penutup yang memuaskan untuk fasa pertama jalan cerita utama Diablo Immortal melalui patch ini. Selepas perjalanan selama dua setengah tahun memburu dan memusnahkan pecahan Worldstone, pemain akhirnya akan berhadapan dengan punca segala kengerian: Diablo.
Musuh utama ini telah menggunakan pecahan terakhir Worldstone untuk mencipta dunia mimpi buruknya sendiri, menjadikan setiap sudut Sanctuary sebagai neraka yang nyata.
Jalan cerita ini bukan sahaja menghidupkan semula rasa nostalgia bagi peminat lama, terutamanya mereka yang telah mengikuti siri Diablo sejak awal, tetapi juga memperkaya mitologi Diablo Immortal dengan memperkenalkan semula watak penting seperti Tyrael dan kehadiran pedang legenda, El’druin, yang kini menjadi simbol harapan terakhir umat manusia.
World’s Crown yang Menakutkan
World’s Crown, zon terbesar yang pernah diperkenalkan, menjadi latar utama untuk kisah epik ini. Sebagai seseorang yang telah menjelajahi pelbagai kawasan Sanctuary, saya merasakan zon ini berjaya menggabungkan suasana putus asa dengan keindahan suram yang memukau mata.
Reka bentuknya benar-benar mencerminkan kengerian yang dibawa oleh Diablo: tasik darah yang menjijikkan, hujan yang jatuh terbalik, dan pintu masuk ke kubunya yang menyerupai mulut neraka. Zon ini bukan sahaja hebat secara visual, tetapi juga penuh dengan cabaran.
Musuh-musuh di kawasan ini menunjukkan bahawa Blizzard telah meningkatkan reka bentuk AI dan tahap kesukaran. Banyak musuh di sini mempunyai pola serangan yang kompleks, dengan beberapa daripadanya memberi penghormatan kepada game Diablo yang asal—sesuatu yang pasti menggembirakan peminat setia.
Selain itu, misi bounty baharu yang ditawarkan di zon ini sangat menarik, memaksa pemain untuk meneroka setiap sudut World’s Crown. Ganjarannya juga lebih berharga berbanding kawasan lain, menjadikan zon ini destinasi utama bagi pemain yang ingin mempercepat kemajuan mereka.
Bertembung Dengan Diablo
Momen yang paling dinantikan dalam kemas kini ini sudah pasti pertempuran menentang Diablo, yang dianggap sebagai bos terbesar dalam Diablo Immortal. Selepas mencubanya, saya boleh katakan dengan penuh keyakinan bahawa dakwaan ini sememangnya tepat.
Blizzard bukan sahaja memperbesar skala pertempuran ini, tetapi juga berjaya mencipta suasana yang benar-benar menggambarkan ancaman yang dahsyat.
Pertempuran ini terdiri daripada beberapa fasa, masing-masing dengan cabaran unik tersendiri. Diablo menggunakan abiliti ikoniknya seperti Firestorm dan Shadow Clones, tetapi dalam bentuk yang lebih besar dan jauh lebih berbahaya. Gabungan kesan visual dan bunyi menambahkan lagi ketegangan sepanjang pertempuran.
Ketika Diablo melancarkan serangan baharunya yang diperkukuh dengan Worldstone, iaitu Breath of Fear, pengalaman itu benar-benar terasa seperti berhadapan dengan neraka sebenar.
Namun, serangan Diablo bukan satu-satunya cabaran. Pertempuran ini turut melibatkan elemen tambahan seperti gelombang minion yang muncul secara berkala, zon berapi yang mesti dielakkan, dan keperluan untuk posisi yang strategik.
Pemain juga perlu menggunakan cahaya El’druin pada masa tertentu untuk mematahkan serangan paling bahaya dari Diablo. Bagi saya, elemen-elemen ini menambahkan dimensi strategi yang lebih mendalam berbanding pertempuran bos yang lain.
Bagi pendapat saya, ini adalah pertempuran yang sangat memuaskan namun penuh cabaran. Sebarang kesilapan kecil boleh membawa maut, terutamanya pada fasa terakhir apabila Diablo menggunakan semua abilitinya untuk memenuhi skrin dengan letupan dan kesan visual yang memeningkan.
Saya amat menyarankan pemain untuk melengkapkan diri dengan peralatan terbaik sebelum masuk, kerana ada banyak fasa yang perlu dilalui sebelum berjaya mengalahkan Diablo.
Challenge Dungeon dan Bos Helliquary
Mod Challenge Dungeon memperkenalkan elemen baharu yang menarik ke dalam dungeon dengan random modifier yang menjadikan setiap percubaan terasa segar dan tidak dapat dijangka. Sebagai contoh, ada modifier yang menambah jumlah musuh, memberi mereka abiliti baharu, atau mencipta zon bahaya di medan pertempuran.
Ciri ini berjaya memecahkan kebosanan rutin dungeon yang biasanya terasa berulang selepas dimainkan berkali-kali.
Bagi saya sebagai pemain, mod ini sangat mengujakan kerana ia memaksa anda untuk berfikir pantas dan menyesuaikan strategi semasa bermain. Sebagai contoh, dungeon dengan modifier yang meningkatkan area damage membuatkan saya lebih berhati-hati semasa bergerak dan memilih abiliti dengan lebih teliti.
Sementara itu, bos Helliquary menawarkan cabaran yang lebih fokus kepada kemahiran individu dan koordinasi pasukan. Setiap bos memiliki mekanik unik dan sering kali menggambarkan elemen kuasa Diablo itu sendiri.
Sebagai contoh, salah satu bos Helliquary yang saya lawan mampu mencipta zon yang memperlahankan pergerakan, memaksa pemain untuk sentiasa mengubah posisi.
Ini memberikan impak besar kepada strategi pasukan, terutamanya apabila kami berusaha untuk mengekalkan DPS yang tinggi sambil mengelak serangan yang boleh membawa maut.
Lebih Banyak Ganjaran Menanti
Salah satu ciri baharu yang patut diberi perhatian dalam Diablo Immortal 3.2 ialah Familiar Expeditions. Ciri ini membolehkan pemain menggunakan makhluk Familiar yang bukan sahaja membantu dalam penjelajahan dan pertempuran tetapi juga mendapatkan ganjaran melalui ciri Familiar Expeditions.
Ini sangat berguna kerana ramai pemain mempunyai banyak Familiar pada masa yang sama dan kini boleh digunakan untuk mendapatkan pelbagai ganjaran.
Salah satu ciri menarik dalam patch ini ialah Familiar Expedition. Melalui ciri ini, pemain boleh memanfaatkan makhluk Familiar mereka bukan sahaja untuk membantu dalam penjelajahan dan pertempuran tetapi juga untuk memperoleh ganjaran tambahan.
Ini sangat bermanfaat, terutamanya bagi pemain yang memiliki banyak Familiar kerana mereka kini boleh digunakan secara serentak untuk mendapatkan pelbagai ganjaran.
Ganjaran merupakan elemen penting dalam Diablo Immortal, dan Blizzard jelas memahami perkara ini. Patch 3.2 tidak hanya membawa loot standard, tetapi turut menawarkan koleksi menarik untuk pemain biasa mahupun veteran.
Antaranya termasuk Legendary Gem baharu, item kosmetik eksklusif, serta loot tambahan yang lebih menarik dari dungeon.
Pendapat
Diablo Immortal Patch 3.2, Shattered Sanctuary, adalah satu kemas kini yang benar-benar mengujakan. Kepulangan Diablo membawa jalan cerita utama Diablo Immortal ke kemuncak epiknya dengan pertempuran mencabar menentang Lord of Terror sendiri.
Selain itu, zon baharu, World’s Crown, berjaya membawa pemain ke dalam suasana neraka yang gelap dan mengerikan, hasil imaginasi Diablo.
Ciri-ciri seperti Challenge Dungeon dan bos Helliquary memberikan cabaran segar untuk pemain lama, manakala ganjaran seperti Legendary Gem dan kosmetik yang bergaya menawarkan motivasi tambahan untuk terus bermain tanpa rasa jemu.
Secara keseluruhan, Blizzard telah berjaya menyediakan kandungan yang memenuhi selera semua jenis pemain—daripada pemain kasual hingga hardcore, termasuk veteran yang ingin kembali selepas sekian lama.
Untuk maklumat lanjut tentang Diablo Immortal Patch 3.2, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post