Day of the Devs: The Game Awards Edition Digital Showcase 2024 berjaya menarik perhatian komuniti gaming indie, dengan menampilkan 19 game yang dipilih secara teliti, termasuk tujuh tayangan perdana dunia.
Diasaskan pada tahun 2012 oleh Double Fine Productions dan iam8bit, Day of the Devs kini berkembang menjadi sebuah organisasi bebas yang beroperasi tanpa keuntungan.
Bersama bantuan The Game Awards, mereka ingin menyerlahkan kreativiti, inovasi, dan kepelbagaian dalam pembangunan permainan video indie, sambil memaparkan pratonton gameplay, trailer, serta pelbagai pengumuman menarik.
Acara tahun ini meneruskan legasi tersebut dengan memperkenalkan pelbagai game indie yang merangkumi pelbagai genre dan gaya. Antara yang menarik perhatian adalah tujuh tayangan perdana dunia:
Blippo+ (oleh YACHT, Telefantasy Studios, Panic)
Game ini agak unik dan sukar digambarkan. Berdasarkan trailer, Blippo+ dikatakan sebagai “perkhidmatan komunikasi siaran yang menawarkan berita, komuniti, dan hiburan terbaik.” Secara keseluruhan, game ini menyerupai rancangan televisyen dengan kandungan yang penuh keanehan.
Faraway (oleh Little Eyes, Steph Thirion)
Sebuah game teka-teki yang membawa pemain meneroka angkasa lepas sebagai bintang jatuh. Objektif utama adalah melukis buruj sebanyak mungkin untuk mencapai markah tertinggi. Pengalaman yang dihasilkan secara rawak memberi pemain kebebasan penuh untuk mencipta corak buruj tanpa batasan.
Neon Abyss 2 (oleh Veewo Games, Kepler)
Sekuel baharu kepada Neon Abyss yang pertama kali dilancarkan pada Julai 2020. Game ini adalah roguelite action-platformer dengan gaya run ‘n’ gun. Ia mengekalkan elemen-elemen dari versi asal, termasuk visual 2D, tetapi kini menampilkan kuasa tambahan, bahagian teka-teki, dan pertempuran yang lebih huru-hara.
PBJ – The Musical (oleh Kamibox)
Game muzik ini menceritakan kisah terciptanya sandwic mentega kacang dan jem, tetapi dengan gaya penyampaian yang ceria dan berwarna-warni. Elemen seni stop motion yang dihasilkan secara manual menambahkan daya tarikan, menjadikannya antara game paling menonjol dalam acara ini.
Recur (oleh AstraLogical)
Platformer side-scrolling dengan visual kartun yang segar dan fokus pada manipulasi masa. Pemain dapat memutar balik masa untuk mengubah keputusan, menjadikan setiap langkah dalam pengembaraan penuh dengan strategi dan kejutan. Contohnya, putar balik masa sebelum watak anda mati, dan ambil pendekatan berbeza.
TankHead (oleh Alpha Channel)
Projek pertama daripada studio ini menggabungkan unsur survival dan aksi kenderaan. Berlatarbelakangkan dunia fiksyen sains bernama ECA yang hancur akibat peperangan, pemain mengawal kereta kebal melalui minda yang dipindahkan ke dalam dron. Sistem customization membolehkan pemain menaik kereta kebal untuk meningkatkan fungsi atau sekadar mengubah rupa mengikut citarasa.
Ultimate Sheep Racoon (oleh Cleaver Endeavor Games)
Game lumba ini membolehkan pemain membina laluan mereka sendiri bersama rakan-rakan. Pilihan untuk menambah perangkap dan halangan menjadikan laluan lebih mencabar. Game ini menyokong sehingga 8 pemain secara tempatan, online, serta fungsi cross-platform.
Tajuk Tambahan
Acara ini turut mempamerkan pelbagai game lain yang menonjolkan kepelbagaian reka bentuk dalam dunia indie, dari aspek penceritaan hingga mekanik. Berikut adalah senarai game tambahan yang dipersembahkan:
- Bionic Bay
- Blue Prince
- Crescent County
- Curiosmos
- Demon Tides
- FELTOPIA
- Hyper Light Breaker
- Incolatus: Don’t Stop, Girlypop!
- inKONBINI: One Store. Many Stories.
- Kingmakers
- LOK Digital
- Sleight of Hand
Day of the Devs: The Game Awards Edition boleh ditonton melalui saluran YouTube dan Twitch. Ia berfungsi sebagai pembukaan kepada acara utama The Game Awards yang akan berlangsung pada 12 Disember.
@gamersantaimy
Discussion about this post