Hanya dalam masa tujuh hari sejak dilancarkan, Mewgenics telah membina namanya sendiri dalam industri gaming dengan rekod jualan melebihi satu juta unit.
Walaupun terpaksa mengharungi cabaran pembangunan selama sedekad, game indie ‘cat-breeding roguelite’ ini muncul sebagai sebuah kejayaan yang tidak disangka-sangka, malah mengejutkan pembangunnya yang sudah lama berkecimpung dalam industri.
Hasil sentuhan kreatif Edmund McMillen (The Binding of Isaac, Super Meat Boy) dan Tyler Glaiel (Closure, The End Is Nigh), game ini mula dikeluarkan di platform Steam pada 10 Februari 2026 lalu.
Statistik Tidak Pernah Menipu
Tyler Glaiel berkongsi pencapaian tersebut di platform X, bersama ilustrasi khas bagi meraikan kejayaan itu. Di sebalik reputasi mereka dalam industri, Glaiel mengakui bahawa sambutan yang diterima melangkaui ramalan asal mereka.
Data daripada SteamDB menunjukkan Mewgenics berjaya mengumpul lebih 115,000 pemain serentak pada kemuncaknya. Malah pada hari ini (19 Februari), sekitar 72,382 pemain masih bermain, dengan rekod tertinggi dalam tempoh 24 jam mencecah hampir 94,092 pemain.
Saga panjang Mewgenics bermula sejak 2012. Asalnya, game ini diumumkan oleh Team Meat sebagai kesinambungan kepada Super Meat Boy, namun ia kemudian terperangkap dalam fasa “development hell” dan hampir dibatalkan sepenuhnya.
Projek ini terbiar sepi sehingga tahun 2018, apabila McMillen mengambil semula hak pembangunan dan bekerjasama dengan Glaiel untuk membina semula projek ini dari awal.
Apa Sebenarnya Mewgenics?

Bagi pemain baharu yang tidak tahu, Mewgenics menawarkan campuran unik antara elemen tactical RPG, life simulation, dan roguelike. Pemain ditugaskan untuk membiak, melatih, serta melengkapkan pasukan kucing mutan bagi menghadapi cabaran dalam pengembaraan berasaskan sistem turn-based.

- Pemain menggunakan sistem grid-based combat di mana kedudukan watak adalah kunci segala-galanya.
- Dengan lebih 1,000 abiliti unik dan ratusan items, tiada dua sesi permainan yang akan dirasakan sama.
- Kucing yang terselamat akan membawa pulang kesan luka atau pengalaman daripada combat. Mutasi ini (yang boleh merangkumi kepala tambahan sehinggalah kuasa ajaib yang pelik) akan diwariskan kepada generasi akan datang, memberi ganjaran kepada pemain yang merancang keturunan mereka dengan teliti.
Edmund McMillen juga mengesahkan bahawa usaha untuk membawa game ini ke platform konsol sedang giat dijalankan. Walaupun tarikh rasmi belum ditetapkan, beliau mengacah bahawa pembangunan menyasarkan “semua sistem” konsol utama.
Para pembangun juga merancang DLC serta sokongan bahasa tempatan yang lebih luas untuk audiens global.









Discussion about this post