Walaupun musim memberi hadiah sudah tamat, Epic Games masih baik hati dan menawarkan Control secara percuma sekali lagi untuk tempoh satu hari sahaja, demi menyambut penghujung tahun 2021 bersama para gamer.
Seperti saya kata tadi, Control hanya percuma selama 24 jam, tetapi apabila ditebus, ia akan kekal selama-lamanya dalam katalog game anda. Hadiah ini merupakan sebahagian daripada acara percutian Epic, di mana sejumlah game baru dan lama akan mendapat diskaun 100% (secara efektif menjadikannya percuma) pada setiap hari sejak 16 Disember, hingga 30 Disember.
Selain dari percuma, terdapat juga diskaun untuk beberapa add-on bagi Control di Epic Games. Sebagai contoh, anda boleh mendapatkan Ultimate Edition pada separuh harga, yang kini berharga RM 81.49. Kedua-dua expansion pack juga berharga MYR 16.39 bagi setiap satu (diskaun 60%), tetapi lebih baik anda dapatkan kedua-dua DLC itu bersama-sama dalam Season Pass, yang buat masa ini hanya bernilai MYR 24.79.
Tawaran ini akan tamat esok, jadi anda perlu log masuk secepat mungkin untuk memanfaatkannya sepenuhnya. Selepas itu, ia akan digantikan dengan satu lagi game percuma untuk meneruskan sambutan musim cuti.
Tawaran Epic Games memang cukup hebat tahun ini. Semalam, kami dapat tebus Prey manakala judul hebat lain yang turut ditawarkan termasuk Shenmue 3, Loop Hero, dan The Vanishing of Ethan Carter. Masih ada 4 lagi game untuk kita dapatkan, dan saya harap semuanya bagus-bagus belaka. Kita masih tidak tahu apa yang akan diberi selepas Control, jadi kita tunggu dan lihat sahajalah.
Control asalnya dilancarkan pada Ogos 2019, dan tersedia di PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X/S, dan sudah tentu, PC. Jika anda lebih suka memilikinya di Steam, ia boleh dibeli pada diskaun 70% sempena jualan musim sejuk.
@gamersantaimy
Discussion about this post