Dikenali untuk pelbagai game popular seperti EA Sports FC, Apex Legends, Need for Speed dan banyak lagi, Electronic Arts (EA) telah rasmi menjadi syarikat persendirian selepas memuktamadkan pengambilalihan rekod bernilai US$55 bilion yang dipimpin oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi.

Menerusi perjanjian ini, pemegang saham EA akan menerima US$210 secara tunai bagi setiap saham yang mereka miliki. Berikutan pengambilalihan tersebut, dagangan saham EA telah dihentikan dan dinyahsenaraikan daripada bursa NASDAQ. Ini mengakhiri tempoh 36 tahun mereka sebagai syarikat senaraian awam.
Konsortium pelabur diterajui oleh PIF Arab Saudi yang sekarang menguasai pegangan majoriti melebihi 93%, manakala firma ekuiti swasta Silver Lake serta Affinity Partners milik Jared Kushner melengkapkan kumpulan pemilik baharu EA.
Meskipun bertukar pemilikan, barisan pemimpin utama EA tidak akan berubah. Andrew Wilson masih akan terus mengetuai syarikat sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Perjanjian US$55 bilion ini mencatatkan sejarah sebagai “leveraged buyout” terbesar dalam industri gaming, serta yang kedua terbesar secara keseluruhan di belakang pembelian Activision Blizzard oleh Microsoft pada 2023. Bagi pemain, perkhidmatan untuk judul-judul live-service popular serta pelancaran game baharu di bawah EA terus berjalan seperti biasa di bawah struktur baharu ini.









Discussion about this post