Apple telah mengumumkan senarai 17 penerima anugerah untuk App Store Awards 2025, sebagai satu pengiktirafan kepada pelbagai aplikasi dan game yang menunjukkan kehebatan dari segi teknikal serta membawa impak budaya yang besar.
Pemenang-pemenang ini, yang telah disaring daripada 45 finalis oleh para editor App Store, menerima pujian atas tahap inovasi, pengalaman pengguna, dan reka bentuk yang luar biasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, meluahkan rasa kagumnya terhadap kebolehan para pembangun perisian dalam merealisasikan idea-idea kreatif mereka kepada pengalaman yang memberi nilai tambah kepada kehidupan pengguna.
Beliau turut mengetengahkan daya kreativiti yang ditonjolkan oleh para pemenang serta peranan penting yang dimainkan oleh aplikasi dan game dalam memberi kesan positif.
Senarai pemenang pada tahun ini jelas menonjolkan kepelbagaian potensi yang tersedia dalam ekosistem Apple. Antara yang diberi penghormatan termasuklah aplikasi perancangan visual berasaskan AI, alatan suntingan video yang dikuasakan oleh AI, serta perisian bantuan untuk pemformatan dokumen akademik.
Turut mendapat pengiktirafan ialah pengalaman imersif yang ditawarkan melalui Apple Vision Pro, ketersambungan yang dipertingkatkan untuk golongan atlet menerusi Apple Watch, dan sebuah platform penstriman yang kini lebih inklusif.
Pemenang Kategori App of the Year:
- iPhone: Tiimo, sebuah aplikasi perancangan visual yang dibantu oleh AI bagi memudahkan pengguna mengatur jadual dan objektif harian.

- iPad: Detail, aplikasi yang mempermudah proses penerbitan video untuk para pencipta kandungan melalui peralatan suntingan berteknologi AI.

- Mac: Essayist, sebuah perisian yang menggunakan teknologi AI untuk menguruskan kerja-kerja pemformatan penulisan akademik.

- Apple Vision Pro: Explore POV, aplikasi yang membawa pengguna mengembara secara maya ke destinasi-destinasi menarik di seluruh dunia melalui paparan video 3D 180-darjah yang amat realistik.

- Apple Watch: Strava, platform yang menjadi penghubung komuniti atlet di peringkat global, kini dengan rekaan UI baharu dan ciri penjejakan segmen masa nyata.

- Apple TV: HBO Max, diiktiraf atas usahanya memperluas koleksi kandungan hiburan serta menambah sokongan Bahasa Isyarat Amerika bagi menyediakan pengalaman tontonan yang lebih menyeluruh.

Pemenang Kategori Game of the Year:
- iPhone: Pokémon TCG Pocket, sebuah transformasi digital daripada permainan kad klasik yang tampil dengan rekaan grafik menawan serta UI yang mudah digunakan.

- iPad: DREDGE, game pengembaraan memancing yang disulami dengan jalan cerita yang penuh misteri dan menyeramkan.

- Mac: Cyberpunk 2077: Ultimate Edition, game yang membawa pengalaman meneroka kota metropolis futuristik, Night City, kepada pengguna peranti Mac.

- Apple Vision Pro: Porta Nubi, sejenis game teka-teki yang berupaya mengubah persekitaran fizikal pengguna menjadi sebuah dunia interaktif yang penuh atmosfera.

- Apple Arcade: WHAT THE CLASH?, sebuah ga,e berunsur komedi dan fizik yang menawarkan hiburan tanpa henti melalui siri pertandingan yang lucu dan tidak dijangka.

Pemenang Kategori Cultural Impact
Seramai enam pemenang diberi pengiktirafan khusus atas kebolehan mereka dalam mendorong perubahan yang bermakna. Aplikasi dan game dalam kategori ini dipilih berdasarkan keupayaan mereka menyediakan alatan yang berguna, memupuk semangat persefahaman, dan menyumbang ke arah pembentukan sebuah dunia yang lebih inklusif.
Antara pemenang Cultural Impact ialah:
- Art of Fauna: Sebuah game teka-teki santai yang memaparkan ilustrasi hidupan liar, sambil meletakkan satu penanda aras baharu bagi reka bentuk permainan yang mudah diakses oleh semua.

- Chants of Sennaar: Game pengembaraan yang mengangkat kepentingan dan keunikan bahasa sebagai teras penceritaannya.

- despelote: Game yang membawa penceritaan intim tentang bagaimana semangat kesukanan, khususnya bola sepak, mampu menyatukan sesebuah negara.

- Be My Eyes: Aplikasi yang berfungsi sebagai jambatan antara komuniti orang buta atau berpenglihatan terhad dengan jutaan sukarelawan dan teknologi AI untuk bantuan visual dalam urusan seharian.

- Focus Friend by Hank Green: Sebuah aplikasi produktiviti yang menggunakan elemen permainan untuk sesi tumpuan, bertujuan membantu pengguna mengurangkan gangguan digital.

- StoryGraph: Aplikasi untuk komuniti pembaca buku yang menggalakkan keaslian dan memberi platform kepada para pengarang daripada pelbagai latar belakang.

Perkongsian daripada Para Pemenang
Beberapa tokoh di sebalik aplikasi dan game yang memenangi anugerah telah berkongsi maklumat lanjut mengenai platform masing-masing.
Matt Salazar daripada Strava memaklumkan bahawa platform mereka kini adalah komuniti sukan terbesar di dunia, dengan seramai 180 juta pengguna merentasi 185 buah negara.
Beliau turut menerangkan bahawa rekaan semula aplikasi untuk Apple Watch baru-baru ini memberi fokus kepada kemudahan penggunaan dan paparan data yang ringkas untuk pengguna yang aktif bergerak.
Sebuah pratonton ciri laluan dan peta masa nyata untuk Apple Watch turut didedahkan, sejajar dengan visi Strava untuk memberi galakan kepada pengguna supaya kekal aktif tanpa bergantung kepada telefon pintar.

Sementara itu, Stewart Pagan dan Winston Lung dari Pokémon TCG Pocket menghuraikan usaha mereka untuk memastikan permainan kad digital ini dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat. Ciri-ciri seperti simulasi pembukaan pek kad dan fungsi untuk melihat koleksi pemain lain direka untuk memperkukuh pengalaman komuniti.
Kejayaan game ini, yang telah mencatatkan lebih 70 juta muat turun, turut disumbangkan oleh sistem pertarungan yang lebih ringkas serta pengenalan “Immersive Cards” yang dilengkapi animasi dan elemen interaktif unik.

Akhir sekali, Mike Buckley, CEO Be My Eyes, berkongsi tentang misi syarikatnya untuk menambah baik aksesibiliti bagi 340 juta individu di seluruh dunia yang menghadapi masalah buta atau penglihatan terhad.
Platform yang diasaskan oleh Hans Jorgen Wiberg ini telah berkembang dengan mempunyai lebih 900,000 pengguna dan komuniti sukarelawan seramai lebih 9 juta orang.
Buckley turut menekankan kepentingan integrasi teknologi OpenAI, yang membolehkan aplikasi ini menguruskan sehingga 4 juta sesi AI dan 120,000 panggilan video setiap bulan. Perkhidmatan ini disediakan secara percuma kepada pengguna akhir, dengan sokongan daripada rakan-rakan kongsi korporat seperti Sony, Microsoft, dan Spotify.

Untuk maklumat lanjut tentang App Store Awards 2025, layari laman web rasmi.









Discussion about this post