Adaptasi anime dari manga popular karya Yuuto Suzuki, Sakamoto Days, akan ditayangkan pada 11 Januari di seluruh Jepun, membawa gabungan aksi dan komedi tentang seorang pembunuh upahan yang sudah bersara!
Laman web rasmi baru-baru ini mendedahkan video promosi baharu dan visual utama yang menarik, menimbulkan keterujaan di kalangan peminat yang menantikan tayangan perdana siri ini.
Sakamoto Days akan disiarkan dalam dua ‘cour’, setiap satu berlangsung selama suku tahun. Cour pertama akan bermula pada bulan Januari, manakala cour kedua dijadualkan untuk Julai 2025.
Anime ini diarahkan oleh Masaki Watanabe, dan dihasilkan oleh TMS Entertainment (yang terkenal dengan Detective Conan, D.Gray-man, Lupin, dan banyak lagi).
Namun, peminat yang ingin menonton anime ini melalui Netflix (sudah disahkan) perlu menunggu, kerana tayangan global di platform tersebut masih dijangka pada Januari 2025, tetapi masih belum ada tarikh tepat yang disahkan.
Sakamoto Days ialah siri manga Jepun yang ditulis dan diilustrasikan oleh Yuto Suzuki. Ia diterbitkan dalam majalah shōnen manga Weekly Shōnen Jump terbitan Shueisha sejak November 2020. Bagi mereka yang berminat untuk baca, manga ini boleh didapati secara percuma di laman web dan aplikasi Manga Plus.
Sinopsis
Kisah ini mengisahkan Taro Sakamoto, seorang bekas pembunuh upahan yang pernah digeruni dan menjadi legenda dalam dunia gelap. Namun, segalanya berubah pada suatu hari apabila—Sakamoto jatuh cinta.
Setelah itu, dia mula bercinta, bersara, berkahwin, dan membina keluarga, hingga berat badannya bertambah. Kini, dia menjalani kehidupan tenang sebagai pemilik sebuah kedai serbaneka kecil. Namun, kedamaian itu tergugat apabila bekas musuh dan rakan sekerjanya dari masa silam kembali untuk menuntut dendam.
Bersama Shin, seorang pemuda dengan kebolehan telepati yang juga bekerja di kedainya, Sakamoto mesti menggunakan kemahiran tempurnya yang hebat untuk melawan musuh-musuh lama. Di samping itu, dia harus berusaha mengekalkan identitinya yang tersembunyi demi melindungi keluarganya serta kehidupan sederhana yang dibina—atau berjuang sehingga titisan darah terakhir.
@gamersantaimy
Discussion about this post