Blade Runner: Black Lotus adalah siri anime baru berdasarkan filem sci-fi klasik Blade Runner, yang bakal ditayangkan pada musim luruh 2021. Walaupun diumumkan pada tahun 2018 berikutan pelancaran filem live-action Blade Runner 2049, tidak banyak yang didedahkan mengenai projek ini sehingga acara dalam talian Comic Con@Home 2021. Siri ini adalah produksi bersama antara Adult Swim dan Crunchyroll, dan sebuah trailer telah disertakan sekali dengan pengumuman ini. Mereka mengumumkan bahawa penyanyi dan pemenang Anugerah Grammy, Alessia Cara akan menyumbang muzik untuk siri ini, termasuk lagu “Feel You Now” yang anda boleh dengar sekali di dalam trailer:
Blade Runner: Black Lotus berlangsung di Los Angeles pada tahun 2032. Ini adalah sepuluh tahun selepas karya animasi Blade Runner pertama, iaitu filem pendek Blade Runner: Black Out 2022. Seorang wanita muda, Elle (disuarakan oleh Jessica Henwick [bahasa Inggeris] dan Arisa Shida [bahasa Jepun]) terbangun di LA, tanpa apa-apa memori tetapi masih memiliki kemahiran dan abilitinya yang mengancam. Elle adalah “replicant”, sejenis manusia biologi yang diciptakan sebagai sumber tenaga untuk kerja hamba. Sepanjang anime ini, dia akan menyelidiki asal usulnya dan cuba membongkarkan misteri, serta berhadapan dengan kuasa jahat di belakang tabir.
Blade Runner: Black Lotus akan dihasilkan oleh Alcon Television Group dan dianimasikan oleh studio animasi CG, Sola Digital Arts yang berpusat di Jepun. Sola juga menghasilkan filem Starship Troopers: Invasion, Traitor of Mars, Ultraman dan siri Ghost in the Shell: SAC_2045 untuk Netflix bersama Production I.G. Siri ini akan diarahkan oleh Kenji Kamiyama dan Shinji Aramaki, yang mengusahakan Ghost in the Shell: SAC_2045, Ghost in the Shell: Standalone Complex, dan Ultraman. Shinichiro Watanabe, yang mengarahkan Cowboy Bebop, Space Dandy, dan Blade Runner: Black Out 2022, akan berperanan sebagai Creative Producer.
Untuk mereka yang ingin tahu lebih, anda boleh merujuk wikipedia filem asli yang diinspirasikan oleh novel Do Androids Dream of Electric Sheep? oleh Philip K. Dick. Sekali lagi saya ingatkan, Blade Runner: Black Lotus akan membuat debut pada musim luruh 2021 di Adult Swim dan Crunchyroll.
Sumber – ANN
@gamersantaimy
Discussion about this post