Malam tadi, Nintendo telah menganjurkan siaran Nintendo Direct yang mendedahkan pelbagai maklumat baharu tentang Fire Emblem: Fortune’s Weave, termasuk gameplay, jalan cerita, dan sistem combat taktikal.
Kisah Empat Hero dan Takdir Mereka
Jalan cerita bermula di ambang kiamat. Lima tahun selepas kejohanan agung Heroic Games, Dagdan Empire sekarang menanti kehancuran di tangan Balor, dewa iblis yang bangkit semula. Lebih memburukkan keadaan, empat hero hebat yang pernah bersinar dalam kejohanan itu tiba-tiba ghaib.
Demi menyelamatkan dunia, dewa Sothis mengamanahkan pemain dengan satu misi penting: gunakan kuasa “time travel” milik dewi Fortuna untuk mengubah takdir masa lalu.

Kita akan kembali ke era Heroic Games dan bertarung di samping empat hero utama:
- Cai: Pemuda dari kampung Ribeira yang aman. Dia menyertai kejohanan ini bersama rakan masa kecilnya demi membebaskan bapanya daripada penjara.
- Dietrich: Pahlawan handal yang terdampar selepas diserang raksasa gergasi. Dia sertai pertarungan bersama sekutu baharu demi memuaskan dahaganya terhadap pertempuran.
- Theodora: Pemimpin dari Kerajaan Saramis yang berjuang melindungi tanah airnya, untuk memulihkan maruah dewi naungannya, Keeper of Death and Night.
- Leda: Bangsawan berbakat muzik yang sanggup melepaskan segala kemewahan demi membalas dendam terhadap pembunuh bapanya selepas mendapat tahu kelibat penjenayah itu turut bertanding.

Pemain tidak akan terikat pada satu jalan cerita sahaja. Kita bebas bertukar antara naratif mana-mana hero pada bila-bila masa kerana kemajuan bagi setiap laluan disimpan secara berasingan.
Kehidupan di Ibu Kota

Kejohanan Heroic Games diadakan bagi memperingati Dagda, raja pengasas empayar. Pemerintah semasa, Emperor Solel, berjanji akan menunaikan apa sahaja hajat bagi sesiapa yang muncul sebagai juara.
Di antara perlawanan, anda boleh meneroka ibu kota Dagsion untuk mempersiapkan pasukan:
- The Arena: Latih unit untuk mempelajari kebolehan baharu, atau tonton perlawanan pesaing pada hari bertanding bagi menganalisis strategi musuh.
- Shopping Arcade: Beli kelengkapan baharu atau naik naik taraf senjata menggunakan bahan yang telah dikumpul.
- Temple Row: Menjadi sukarelawan di kuil tempatan untuk dapatkan buff sementara, seperti peningkatan stat dan pengurangan damage.
- Certification Exams: Dapatkan class yang lebih tinggi untuk unit anda melalui pengawas peperiksaan sebaik sahaja syarat skil dipenuhi.
- Quests: Selesaikan tugasan daripada penduduk tempatan untuk dapatkan pelbagai ganjaran.
- Recruitment & Inns: Rekrut pahlawan handal dengan memberi hadiah atau mengajak mereka makan bersama. Pemain juga boleh berehat di inn untuk mengumpul experience (EXP) dan bahan secara automatik, di samping mengerat hubungan sesama anggota pasukan.
Meneroka Kawasan Luar Kota

Pengembaraan pemain tidak terhad di ibu kota sahaja. Melalui World Map, anda boleh menjelajah ke seluruh pelusuk benua. Oleh kerana masa akan berjalan setiap kali kita bergerak di peta, perancangan teliti amat diperlukan. Setiap hero turut dibekalkan dengan kebolehan peta yang unik untuk melawat pekan tempatan mahupun sertai “skirmish” demi mengumpul EXP tambahan.
Selain itu, anda boleh jumpa pelbagai dungeon yang penuh dengan harta karun dan bahan naik taraf. Pertembungan dengan musuh di dalam dungeon pula akan memulakan sistem “Clashes” secara turn-based: iaitu pertarungan khas yang membolehkan unit kita melancarkan serangan kombo bersama rakan sepasukan.
Combat Turn-Based dan Peningkatan Class

Di medan lawan, Fortune’s Weave mengekalkan sistem taktik berasaskan grid turn-based. Petak biru menunjukkan jarak pergerakan unit, manakala petak merah menandakan jarak serangan. Memahami kedudukan, bentuk muka bumi, serta pemilihan senjata yang tepat amat penting untuk mencapai kemenangan.
Setiap unit boleh dinaik taraf menerusi pelbagai peringkat class:
- Beginner Class: Peranan asas seperti Gladiator yang mahir mengendalikan senjata, Diviner yang menguasai sihir, serta Ornius Rider yang lincah dengan jarak pergerakan luas.
- Specialty Classes: Lebih daripada 10 pilihan khusus, termasuk Armored Knight berpertahanan kebal, Wing Soldier yang mampu melompat halangan, serta Charioteer yang boleh menyerang sejumlah musuh dalam garisan lurus.
- Advanced Classes: Peranan pakar seperti Cataphract yang berkuda dan berbaj tebal, Guardian yang mahir menggunakan white magic dan tombak, serta Elephant Rider yang bertarung di atas gajah gergasi.

Dari segi senjata, unit boleh dilengkapi jenis biasa seperti pedang, kapak, tombak, busur anak panah, dan sihir, mahupun kelengkapan unik seperti pedang yang menyeru petir dan gauntlet menyerupai senjata api.
Mekanik combat khas turut menambah strategi kepada game ini:
- Combat Arts: Serangan yang menghasilkan damage lebih besar atau jarak serangan lebih jauh, tetapi mengurangkan ketahanan senjata.
- Blaze Arts: Serangan ultimate yang mengorbankan HP. Sebagai contoh, Cai boleh melepaskan letupan api luas, Dietrich mampu bertukar tempat melalui jubah hitamnya, manakala Leda boleh memainkan alat muzik vihuela untuk memberi buff atau menyeru raksasa.
- Fortuna’s Blessing: Ciri pemutaran masa yang membolehkan kita mengundurkan masa ke mana-mana detik semasa combat. Ini memberi peluang kedua untuk membetulkan kesilapan atau menyelamatkan unit yang tewas.

Game ini akan keluar secara eksklusif di Nintendo Switch 2 pada 17 September 2026.









Discussion about this post