Game adaptasi anime popular Sword Art Online memang tidak pernah kekurangan peminat, kerana plot ikoniknya di mana sejumlah pemain terperangkap di dalam dunia game virtual reality. Usaha terbaharu untuk menghidupkan semula konsep ini adalah menerusi Echoes of Aincrad yang dibangunkan oleh Game Studio.
Akan dilancarkan bermula 9 Julai untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam), game ini cuba menawarkan pengalaman action RPG yang lebih hebat di samping mengekalkan elemen nostalgia asal. Namun, adakah ia benar-benar membawa sesuatu yang baharu? Berikut adalah ulasan kami selepas mencuba.
Prolog CBT Menarik, Tapi Naratif Terlalu Lembap

Sama seperti anime, anda ialah salah seorang daripada 10,000 pemain yang terperangkap di dalam dunia maya Aincrad. Jika mati di dalam game, anda juga akan mati di dunia realiti. Satu-satunya jalan keluar adalah dengan bertarung melepasi kesemua 100 tingkat, menewaskan boss terakhir, dan melepaskan diri.
Untuk perjalanan kali ini, anda akan bermain menggunakan watak custom ciptaan sendiri.

Satu sentuhan menarik adalah pada bahagian prolog, yang membawa kita kembali ke fasa Closed Beta Test (CBT). Bahagian ini berfungsi sebagai prequel lengkap dengan kandungan eksklusif beta serta tutorial.
Malah, kita juga boleh mendengar pemain lain berbual tentang Kirito; satu bentuk fan-service yang pasti menggembirakan para peminat setia.

Malangnya, penyampaian jalan cerita agak hambar. Disebabkan watak custom kita direka sebagai seorang “silent protagonist”, perbualan yang berlaku sangat sehala. Watak NPC dan rakan sepasukan akan bercakap panjang lebar, manakala watak kita hanya mampu berdiri kaku tanpa sebarang respon, lantas merosakkan rasa ‘immersion’.
Selain itu, dialognya terlalu banyak dan meleret. Pacing cerita sangat perlahan, nadanya pula terlalu biasa, dan dialognya agak kebudak-budakan serta mudah dijangka. Game ini dirasakan kurang seperti sebuah action RPG, sebaliknya lebih menyerupai adaptasi anime biasa di mana babak cerita kerap kali mengganggu gameplay.
Sistem Combat Mantap, Tapi Musuh Mengejar Tanpa Henti

Dari segi combat, ada enam jenis senjata yang boleh anda pilih:
- One-handed sword
- Rapier
- Mace
- Greatsword
- Greataxe
- Dagger

Tiga senjata pertama boleh digandingkan dengan shield, manakala tiga senjata yang lebih berat memerlukan penggunaan kedua-dua belah tangan. Setiap senjata mempunyai dinamik kawalan tersendiri serta “Skill Tree” unik dengan sekitar 10 skil.
Kita akan bermula dengan tiga skill yang sedia ada, manakala bakinya boleh diperoleh selepas membersihkan “dungeon”.

Berbeza dengan game lain yang menggunakan bar tenaga atau mana, semua skil dalam game ini bergantung pada sistem cooldown, dan anda boleh meng-“charge” pada sesetengah skil untuk menghasilkan damage tambahan.
Sistem combat dibina berasaskan “light attack” dan “heavy attack”, tiga skill senjata, Partner Move, serta tiga jenis “counter” (dodge counter, block counter, dan punish counter) yang memerlukan timing tepat.

Senjata dagger paling mencuri tumpuan kerana kelajuannya. Walaupun ada sedikit ‘lag’ selepas setiap hayunan, ia mudah untuk dibiasakan, malah ‘mobility’ yang tinggi sangat membantu menampung jarak serangannya yang pendek.
Senjata lain secara keseluruhan agak memuaskan, tetapi kadangkala terasa agak kaku dan ada sedikit isu “input lag”. Walau bagaimanapun, disebabkan setiap senjata mempunyai logik skil yang berbeza, ia masih menyeronokkan untuk ditukar-tukar dan dicuba.

Tarikan paling menyerlah dalam game ini tidak lain tidak bukan ialah sistem co-op “Switch”. Anda boleh menetapkan rakan sepasukan kepada Switch Mode atau Free Mode:
- Switch Mode: Anda dan rakan sepasukan akan bertukar tempat secara aktif. Mereka akan masuk bertarung untuk menarik perhatian musuh (aggro), membolehkan kita berundur seketika untuk memulihkan stamina.
- Free Mode: Rakan sepasukan akan bertarung secara bebas dan memfokuskan kepada musuh yang tidak anda sasarkan, sekali gus mengelakkan pemain daripada dikepung.

Anda boleh mengaktifkan fungsi “switch” ini dengan mudah melalui pergerakan atau aksi dodge. Ciri ini menambah dimensi strategi dalam combat, berbanding hanya mempunyai rakan bantuan pasif yang sekadar mengekor dari belakang.
Namun, sistem “aggro” dalam game sangat menjengkelkan. Musuh boleh mengesan dari jarak jauh, dan sebaik sahaja dikesan, mereka akan mengejar kita tanpa henti.
Berlari pula akan mengurangkan stamina, dan memandangkan musuh biasa tidak memberikan ganjaran berbaloi, anda akan sentiasa terperangkap dalam kitaran sama ada terpaksa bertarung dalam pertempuran yang membosankan atau melarikan diri sambil kehabisan stamina.
Kami juga menghadapi bug di mana musuh mengesan kami menembusi dinding, menyebabkan kami terperangkap dalam combat tanpa ada cara untuk keluar.
Reka Bentuk Dungeon yang Menguji Kesabaran
Peta game memaparkan pelbagai landskap menarik seperti kawasan paya hutan dan ngarai. Game ini menggunakan tiang cahaya untuk menunjukkan kawasan yang belum diterokai, dan mengaktifkan “safe zone” akan mendedahkan kawasan sekitar pada peta.
Mengikut jalan utama biasanya akan membawa kita terus ke safe zone ini, jadi jaranglah kita sesat sepenuhnya.

Kita juga akan jumpa “Ark” bertaburan di merata tempat yang akan memulakan pertarungan mini-boss. Beberapa kawasan ini dikunci di sebalik penghadang magik atau memerlukan kita menyelesaikan teka-teki dengan menewaskan boss tertentu.
Pemain juga perlu berinteraksi dengan persekitaran, seperti menggunakan bahan letupan untuk memecahkan batu atau elemen api untuk membakar akar menjalar.

Di sebalik idea menarik ini, aspek eksplorasi dirosakkan oleh satu kelemahan besar: reka bentuk dungeon yang sangat kosong. Dunia memang luas secara fizikal, tetapi hampir tiada apa-apa di dalam. Selain daripada segelintir musuh biasa, musuh elit yang jarang-jarang muncul, beberapa buah peti harta karun, dan boss, dunia game terasa sunyi.
Daripada menjadi “dungeon crawler” yang menyeronokkan, ia lebih kepada walking simulator di mana sebahagian besar masa akan dihabiskan hanya dengan berjalan ke penanda peta seterusnya.

Sistem navigasi juga agak mengecewakan. Peta bermula dalam keadaan gelap dan hanya akan terbuka selepas kita mengaktifkan safe zone. Namun, disebabkan kebanyakan safe zone tersembunyi di tengah-tengah kawasan, anda tidak dapat menggunakan peta untuk mencari jalan ke sana. Ini boleh menyebabkan pemain tersalah jalan.
Memandangkan tiada mekanik memanjat, anda tidak boleh memanjat ke bawah atau atas untuk kembali ke laluan asal; sebaliknya terpaksa berpatah balik untuk mencari jalan biasa.

Lebih memburukkan keadaan, sebaik sahaja pemain berjaya mengaktifkan safe zone dan melihat peta, kita sering kali akan terlepas sebuah peti harta karun yang tersembunyi di laluan mati. Jika mahukannya, anda terpaksa berjalan jauh ke belakang untuk mengambilnya, dan kemudian berjalan semula ke laluan utama.
Kebanyakan pemain mungkin akan mengabaikannya sahaja kerana proses berpatah balik ini sangat menjengkelkan. Inilah sebabnya mengapa fasa penerokaan terasa begitu leceh, di mana kita menghabiskan hampir keseluruhan masa hanya dengan berjalan dari titik A ke titik B.

Oles sebab gameplay loop berpaksikan aktiviti meneroka dungeon, mengumpul bahan, dan menaik taraf gear, kebosanan yang dialami dalam dungeon benar-benar menjejaskan keseluruhan pengalaman bermain. Jika terkena pada pemain lain, ini mungkin memadamkan motivasi anda untuk terus bermain.
Side quest juga tidak banyak membantu. Walaupun NPC di bandar memberikan quest yang ditandakan pada peta, misi-misi ini sangat ringkas, cetek, dan jumlahnya juga sedikit. Ada juga barangan koleksi di sekitar bandar dan kawasan luar.
Membaca bahan-bahan ini akan memasukkannya ke dalam pangkalan data, tetapi oleh sebab tiada ganjaran gameplay sebenar yang diberikan, ia sekadar satu lagi tugasan remeh yang membuang masa.

Kita juga akan menerima sejenis ‘talisman’ khas, yang membolehkan pemain menerangi gua yang gelap atau menyeberangi jurang tertentu. Bagaimanapun, item ini hanya berfungsi di kawasan yang telah ditetapkan sahaja.
Ia tidak dapat menggantikan pergerakan asas seperti ‘double-jump’ atau memanjat, jadi pemain masih terpaksa mengambil jalan lencong yang jauh untuk melepasi halangan.

Dungeon di fasa late-game juga tidak menawarkan banyak variasi. Gameplay hampir sama dengan dungeon awal game, cuma ditambah dengan beberapa teka-teki yang memerlukan item khusus seperti batu api atau bahan letupan untuk diselesaikan.
Masalahnya ialah kita tidak boleh craft item terus di situ, dan ia juga tidak dijamin akan ditemui di dalam dungeon tersebut. Jika tidak memilikinya, anda tidak akan dapat menyelesaikan teka-teki tersebut.

Walau bagaimanapun, mengabaikan teka-teki ini biasanya membuatkan kita sekadar terlepas beberapa buah peti harta karun. Jika mahu menyelesaikannya, anda perlu teleport semula ke bandar, membeli atau mengumpul bahan, fast travel semula ke safe zone, dan berjalan semula ke lokasi asal.
Sistem “EX-MOD” & Membina Build Watak Sangat Memuaskan
Sisi baiknya, sistem kemajuan watak dan ‘gearing’ diuruskan dengan agak baik. Setiap kali level watak meningkat, anda boleh memasukkan stat point secara manual pada tujuh atribut yang disediakan, termasuklah HP, Strength, Agility, dan Intelligence.

Untuk menaik taraf senjata, anda perlu menggunakan senjata lain yang dikutip di dalam dungeon sebagai bahan. Sistem EX-MOD juga menarik kerana berfungsi seperti’ perk’ atau ciri tambahan pada senjata. Setiap senjata mempunyai sehingga empat slot untuk kita meletakkan “mod” bagi meningkatkan status tertentu.
Proses menyesuaikan “build” watak dengan pelbagai mod berbeza pada enam jenis senjata lah yang terasa seronok dan memuaskan. Cuma sayang sekali, untuk mendapatkan bahan bagi sistem ini, kita terpaksa grinding di dalam dungeon-dungeon yang kosong dan membosankan itu.

Kita juga mempunyai enam rakan sepasukan berbeza untuk digandingkan bersama, di mana masing-masing mempunyai peranan khusus:
- Iori: Healing support
- Wyzeman: Pure damage
- Argo: Scouting
- Zash: Defensive buff
- Stina: Weakness exploitation
- Musoh: Crowd control

Variasi ini, apabila digabungkan dengan sistem Switch yang aktif, memberikan satu tahap taktikal kepada combat yang cukup menarik.
Berbanding game action RPG lain dan game Sword Art Online sebelum ini, Echoes of Aincrad menunjukkan potensi menerusi pilihan senjata, strategi rakan sepasukan, dan sistem co-op miliknya. Sayang sekali, aspek eksplorasi yang hambar serta tempo cerita yang perlahan menjejaskan idea-idea menarik ini.
Grafik Sederhana, Prestasi Stabil, Diserikan Lagu Tema Hebat Aimer

Dari segi visual, game ini membawa gaya seni anime standard yang serasi dengan francaisnya, walaupun kualiti grafik keseluruhan nampak agak lama dan ringkas. Mujurlah, prestasi game stabil pada kedua-dua versi PS5 dan PS5 Pro yang kami uji. Tiada apa-apa yang luar biasa, tetapi berjalan dengan sangat lancar.
Bahagian audio juga agak mudah dilupakan. Kesan bunyi senjata dan muzik latar terasa agak generik, tetapi lagu tema utama yang dinyanyikan oleh Aimer adalah satu pengecualian yang baik.
Pendapat
Secara keseluruhan, Echoes of Aincrad mempunyai asas combat yang mantap, variasi senjata yang menyeronokkan, dan sistem pertukaran rakan sepasukan yang hebat. Bagi peminat Sword Art Online, fasa permulaan game yang berlatarkan era beta test adalah satu perjalanan nostalgia yang pasti membuatkan anda terpikat.

Namun begitu, game ini mempunyai beberapa kelemahan yang sukar diabaikan. Jalan cerita bergerak sangat perlahan, dialog yang terlalu panjang boleh jadi membosankan, dan watak utama yang bisu membuatkan naratif terasa kurang imersif. Lebih teruk lagi, aspek eksplorasi adalah satu beban yang meletihkan.
Petanya luas tetapi kosong, misi sampingan terasa cetek, dan kawalan pergerakan asas sangatlah terhad. Tanpa mekanik memanjat atau melompat, kita selalu dipaksa patah balik di jalan mati. Masalah bug dengan aggro musuh pula hanya menambahkan lagi kekecewaan semasa bermain.

Bagi peminat tegar Sword Art Online, peluang untuk mencipta watak sendiri, mengharungi kisah permainan maut ini dari awal, serta mencuba sistem co-op Switch pasti masih mempunyai daya tarikan tersendiri.
Namun, sekiranya anda mencari sebuah action RPG yang hebat dengan eksplorasi yang menarik serta jalan cerita yang rancak, Echoes of Aincrad masih mempunyai perjalanan yang jauh.
Game ini akan datang bermula 9 Julai 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan juga PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
The Review
Echoes of Aincrad
Meskipun Echoes of Aincrad cemerlang dengan combat mantap, pelbagai senjata, co-op "Switch", dan sistem "EX-MOD", kelebihannya terjejas kerana dunia kosong, cerita lambat, watak membisu, serta aggro musuh yang menjengkelkan. Tiada mekanik memanjat juga memaksa aktiviti backtracking yang leceh, lantas membuatkan game ini hanya berbaloi buat peminat tegar Sword Art Online berbanding pemain action RPG umum.
PROS
- Variasi senjata dengan "skill tree" tersendiri dan sistem combat yang menyeronokkan
- Pembinaan watak yang fleksibel, proses menaik taraf dengan weapon fusion), serta sistem EX-MOD yang menarik
CONS
- Dunianya luas tetapi sangat kurang aktiviti yang boleh dilakukan, yang merupakan kelemahan terbesar game ini
- Safe zone susah dicari, memaksa kita berdepan laluan mati, berpatah balik, dan mengambil lencongan jauh kerana tiada mekanik memanjat
- Musuh mengejar tanpa henti dan adakalanya mensasarkan kita menembusi dinding, menyebabkan anda terperangkap dalam mod combat
- Dialog yang meleret-leret, perkembangan plot yang lambat, dan penggunaan "silent protagonist" yang merosakkan keasyikan bermain








Discussion about this post