Computer Entertainment Supplier’s Association (CESA) hari ini mengumumkan senarai pempamer untuk Tokyo Game Show 2026 (TGS2026). Sempena sambutan ulang tahun yang ke-30, ekspo gaming terkemuka ini akan dilanjutkan kepada lima hari buat kali pertama dalam sejarah, lantas menarik lebih banyak penyertaan antarabangsa berbanding sebelum ini.
Setakat hari ini, sebanyak 759 pempamer telah mengesahkan penyertaan mereka, yang terdiri daripada 484 syarikat tempatan Jepun dan 275 pempamer antarabangsa. Semuanya bakal mengisi 3,946 reruai di Makuhari Messe, Chiba. Kehadiran pempamer dari 51 buah negara dan wilayah kali ini turut mengatasi rekod tahun lepas yang mencatatkan 46 negara. Menurut Presiden CESA, Haruhiro Tsujimoto, angka ini dijangka akan terus meningkat sehingga hari pembukaan acara.
Pameran ini bakal menampilkan pelbagai platform game, daripada konsol hinggalah telefon pintar dan PC. Ruang pameran akan memfokuskan kepada pelancaran game terbaharu, judul-judul esports besar, teknologi VR dan AR, serta hasil kreatif pembangun indie. Bagi menyokong pembangun kecil , program “SELECTED INDIE 80” kembali menawarkan ruang pameran percuma kepada 80 pembangun indie terpilih dari seluruh dunia.
Dewan acara turut mempamerkan hardware gaming terkini, peralatan streaming khusus, perabot gaming ergonomik, serta solusi perniagaan-ke-perniagaan (B2B) untuk golongan profesional industri.
Senarai pempamer rasmi boleh disemak melalui laman web rasmi dalam bahasa Inggeris di SINI.
Bagi mereka yang merancang untuk hadir, tiket umum akan mula dijual pada bulan Julai 2026. Portal khas untuk pembelian tiket dari luar negara juga akan dilancarkan pada pertengahan bulan bagi memudahkan urusan pengunjung antarabangsa.
Acara akan berlangsung bermula 19 September hingga 21 September.








Discussion about this post