Jika anda mengikuti perkembangan game survival crafting kebelakangan ini, anda pasti tahu betapa padatnya genre ini sekarang. Witchspire hasil Envar Games cuba tampil berbeza bukan melalui saiz peta yang mega, tetapi dengan mempertaruhkan visual dan gaya yang tersendiri.
Mengambil peranan sebagai ahli sihir yang terdampar di dunia fantasi ala buku cerita, elemen magik dalam game ini diterapkan ke dalam hampir semua aspek mekanik… malah boleh dirasakan seawal langkah pertama penerokaan.
Berikut adalah ulasan kami untuk Witchspire versi Early Access.
Kumpul Bahan, Bina dan Teroka Memakai Magik

Secara asas, Witchspire mengekalkan formula biasa survival: anda perlu meluangkan masa menebang pokok, melombong batu, dan mengumpul pelbagai sumber. Namun, apa yang membezakannya adalah penggunaan magik untuk mengurangkan fasa grinding yang membosankan.
Sebaik sahaja menaik taraf peralatan sihir dan wand, proses mengumpul bahan menjadi lebih pantas. Malah, ada naik taraf yang membolehkan kita menjatuhkan sebatang pokok dengan satu tembakan berbanding menebangnya berulang kali.
Pendekatan berorientasikan magik ini diterapkan dalam semua aspek, daripada aktiviti berkebun sehinggalah sistem navigasi peta. Ini membuatkan fantasi menjadi seorang ahli sihir terasa cukup hidup, bukannya hiasan visual semata-mata.

Daripada awal permainan, anda boleh memilih beberapa class ahli sihir berbeza. Setiap class datang dengan senjata asas, tema, dan playstyle tersendiri. Sebagai contoh, anda boleh memilih untuk bertarung jarak dekat dengan Spellblade, atau menyerang dari jauh menggunakan wand.
Ini adalah pengenalan awal yang baik untuk menentukan gaya pertarungan kegemaran sebelum meneroka dunia dengan lebih jauh.

Sistem building pula merupakan antara mekanik yang paling menonjol. Anda boleh terapung di udara semasa membina base. Ini sangat memudahkan kerja kerana kita tidak perlu membina tangga sementara semata-mata untuk sampai ke bumbung yang tinggi.
Anda bebas meletakkan dinding, bumbung, mahupun hiasan di mana-mana sahaja di udara. Malangnya, kebebasan ini hadir dengan isu yang agak menjengkelkan. Disebabkan barangan boleh diletakkan di mana-mana sahaja, anda mungkin tidak sengaja meletakkan blok atau hiasan di kawasan yang tidak boleh dicapai.
Jika ini berlaku, anda akan tersangkut dengan objek terapung yang salah letak, tanpa sebarang cara untuk menghampiri, memadam, atau berinteraksi dengannya.

Sesi eksplorasi juga sangat menyeronokkan, terutamanya selepas anda berjaya mendapatkan penyapu terbang. Terbang sahaja sudah mengubah cara kita bergerak sepenuhnya; perjalanan jarak jauh yang dahulunya membosankan bertukar menjadi pantas dan menghiburkan.
Pada masa yang sama, anda juga akan membuka pelbagai pilihan customization untuk mengubah penampilan watak dan reka bentuk rumah.

Untuk membuka kandungan baharu, anda akan menggunakan sistem Luminary. Ini merupakan satu skill tree yang sangat luas dan bercabang, serta memberikan kebebasan untuk pemain memilih hala tuju naik taraf sendiri.
Anda boleh memilih untuk membuka crafting station baharu, meningkatkan kualiti senjata dan wand, atau mengaktifkan ‘passive boost’ seperti tambahan damage. Sistem ini turut menawarkan naik taraf pergerakan seperti double jump yang sangat membantu ketika menavigasi rupa bumi yang curam.
Walaupun masih di peringkat awal, game ini sentiasa memberikan matlamat jelas pada setiap sesi permainan; sama ada untuk mendapatkan alat pengumpul bahan yang lebih cekap, sihir baharu, mahupun resipi crafting terbaharu.
Cara Combat dan Menjinakkan Haiwan Magik

Sistem combat berkait rapat dengan tarikan utama game ini iaitu Familiar (haiwan peliharaan magik). Sebagai ganti kepada aksi dodge roll, anda akan melakukan teleportasi singkat (atau blink) ke arah hadapan mengikut pandangan watak untuk mengelak serangan musuh.
Sistem ini sangat serasi dengan tema magik dan memberikan kelainan pada corak pergerakan semasa bertarung berbanding game survival biasa.

Anda boleh menangkap dan melatih hampir semua musuh yang dilawan seakan-akan dalam Pokémon atau Palworld, tetapi mekanik tangkapannya mempunyai keunikan tersendiri. Di sini, anda tidak perlu membaling bola atau memasang perangkap.
Sebaliknya, musuh yang tewas akan meninggalkan satu bebola cahaya di atas tanah, dan anda perlu menghampirinya untuk memulakan proses tangkapan. Untuk memudahkan urusan ini, anda boleh mencari atau menghasilkan ‘essence’ yang memastikan orb tersebut bertahan lebih lama di atas tanah.
Ciri ini membuatkan aktiviti menangkap sebagai sesuatu yang memerlukan strategi dan persiapan, bukannya sahaja bergantung kepada nasib semata-mata di tengah-tengah pertarungan.

Menariknya, makhluk-makhluk ini pun tampil dengan reka bentuk unik yang sangat serasi dengan estetika fantasi, berbanding meniru raksasa daripada game lain. Buat masa ini, ada sekitar 30 familiar yang boleh dikumpul.
Walaupun ini adalah jumlah yang baik untuk fasa Early Access, mereka yang gemar mengumpul ratusan makhluk unik mungkin akan merasakan pilihan sedia ada agak terhad.
Masalah Sasaran Spellblade, Bug & Peta Kosong
Memandangkan game ini masih berada dalam fasa Early Access, kita perlu bersedia menghadapi beberapa kelemahan. Sistem combat jarak dekat menggunakan spellblade terasa agak perlahan dan kaku.
Lebih memburukkan keadaan, sistem sasaran kurang tepat: serangan sihir daripada spellblade akan dilepaskan ke arah mana watak anda sedang menghadap, bukannya ke arah crosshair. Ini sangat mengelirukan dan memerlukan masa untuk membiasakan diri.

Isu bug juga kerap berlaku, terutamanya selepas respawn. Ada kalanya kita akan tersangkut pada satu tempat dan terpaksa menggunakan arahan ‘unstuck’ atau menutup dan membuka semula game sepenuhnya. Hal ini sangat mengganggu momentum bermain, namun itulah risiko biasa bagi sebuah game Early Access.

Walaupun petanya agak luas, kadar spawn makhluk agak kurang, menyebabkan beberapa kawasan terasa kosong. Kita kerap berlari di kawasan lapang yang luas tanpa menemui sebarang musuh untuk dilawan atau sumber untuk dikumpul, lantas mengurangkan keseronokan meneroka.

Sistem crafting juga mempunyai beberapa kelemahan. Menu crafting berserta pembantu AI agak sukar untuk digunakan, sekali gus membuatkan tugasan mudah terasa rumit. Selain itu, pilihan perabot dan hiasan juga agak terhad buat masa ini, jadi anda mungkin akan cepat kehabisan idea untuk menghias base di peringkat awal.
Navigasi peta juga agak menjengkelkan kerana tiada pilihan untuk meletakkan ‘custom marker atau ping’ pada peta. Apabila digabungkan pula dengan ketiadaan sistem quest marker, pemain akan mudah sesat atau lupa apa yang patut dilakukan seterusnya.
Pendapat

Witchspire muncul dengan identiti yang kuat dan hala tuju yang sangat jelas. Variasi class, sistem bina sambil terapung, elemen penerokaan, dan mekanik familiar semuanya digabungkan dengan cukup baik. Walau bagaimanapun, ia tidak lari daripada kelemahan sebuah game Early Access.
Pengalaman bermain sedikit terjejas disebabkan oleh aksi pertarungan jarak dekat yang lambat, isu tersalah letak barang ketika membina, kehadiran bug, serta peta luas yang kadangkala terasa sunyi.
Namun, jika anda peminat tegar genre survival dan tidak kisah dengan beberapa kekurangan kecil ini, ia merupakan sebuah game menawan yang sangat berbaloi untuk diperhatikan sepanjang proses pembangunannya.
The Review
Witchspire
Walaupun versi Early Access bagi game survival crafting Witchspire masih dibelenggu isu combat kaku, bug, peta kosong, dan navigasi lemah, tetapi mekanik penyapu terbang, membina sambil terapung, serta menangkap familiar unik menjadikannya sebuah game magik yang berbaloi untuk terus diperhatikan.
PROS
- Dunia berkonsepkan buku cerita fiksyen yang unik dan menawan
- Terbang dengan penyapu membuat perjalanan pantas dan menyeronokkan
- Variasi class ahli sihir dengan senjata dan playstyle tersendiri
- Sistem kemajuan yang memuaskan dan berbaloi
- Sistem menangkap familiar yang unik menggunakan orb dan essence.
CONS
- Combat jarak dekat terasa perlahan dan kaku, serta isu sasaran pada spellblade
- Bug yang agak kerap berlaku, terutamanya selepas mati dan respawn
- Dunia yang luas tetapi kadangkala terasa kosong dan kurang padat
- Menu crafting dan UI yang kurang mesra pengguna
- Kebebasan membina boleh menyebabkan objek salah letak di tempat yang tidak boleh dicapai








Discussion about this post