Sesi closed playtest kedua untuk game aksi co-op ‘Horizon Hunters Gathering‘ bakal berlangsung dari 22 hingga 25 Mei 2026.
Selepas kejayaan ujian pertama, fasa seterusnya akan menguji kandungan baharu serta menambah baik kualiti game berdasarkan maklum balas awal daripada pemain. Jika anda terlepas peluang sebelum ini atau ingin melihat sendiri bagaimana game ini berkembang, pendaftaran kini dibuka melalui PlayStation Beta Program di PlayStation.com.
Wajah Baharu dan Wilayah Berbahaya
Ujian kali ini akan memperkenalkan dua watak baharu, menjadikan jumlah keseluruhan Hunter kepada lima orang. Menemani trio asal iaitu Rem, Sun, dan Axle adalah:
- Ensa: Seorang penyeludup Oseram yang berkarisma. Dengan latar belakang sebagai tentera upahan, Ensa membawa gaya permainan yang lasak dan licik ke dalam pasukan.
- Shadow: Seorang ejen rahsia Carja yang serba misteri. Shadow tidak berjuang sendirian; dia mengawal mesin Stalker, memberikan kelebihan taktikal unik semasa memburu.
Pemain juga berpeluang meneroka Breakers’ Bounty, sebuah wilayah baharu dengan hutan tebal dan runtuhan lama yang bersempadan dengan padang pasir. Kawasan ini menjadi latar belakang untuk Episode naratif baharu, di mana pemain perlu mempertahankan Ashwater Valley daripada serangan mesin secara besar-besaran.
Cabaran Lebih Sengit

Bagi pemain yang merasakan ujian pertama sebelum ini agak mudah, Guerrilla telah meningkatkan tahap kesukaran. Dua mod permainan utama akan kembali dengan kemas kini besar:
- Machine Incursion: Mod berintensiti tinggi ini memerlukan pasukan melawan gelombang mesin yang muncul dari pintu bawah tanah. Untuk mencabar pemain veteran, pembangun telah menambah tahap kesukaran “Hard” dan “Merciless”. Pemain yang cukup berani mungkin akan berdepan dengan Thunderjaw dan Ravager secara serentak.
- Cauldron Descent: Ujian pelbagai peringkat ini memerlukan kerjasama pasukan untuk mengharungi pertempuran mesin yang mencabar dan mencari rahsia tersembunyi. Ujian kedua ini menampilkan bilik-bilik yang lebih mencabar untuk menguji koordinasi pasukan ke tahap maksimum.
Pengalaman Lebih Baik untuk Pemain Solo
Walaupun Horizon Hunters Gathering dibina sebagai game cooperative, pembangun tidak melupakan pemain solo; playtest bulan Mei memperkenalkan Training Module untuk membantu pemain baharu memahami sistem permainan.
Paling penting, ia menambah fungsi Hunter NPC. Jika anda lebih suka bermain sendiri atau tidak mempunyai pasukan yang cukup, versi AI bagi watak Rem, Sun, atau Axle boleh membantu dalam combat dan memenuhi slot kosong dalam pasukan tiga pemain.
Setakat sekarang, tarikh pelancaran rasmi untuk Horizon Hunters Gathering masih belum diumumkan.









Discussion about this post