Walaupun arc Elbaph sudah berlangsung selama beberapa bulan dalam manga One Piece, fokus akhirnya tertumpu kepada salah satu watak yang paling misteri. Sejak diperkenalkan, para peminat tidak henti-henti membuat spekulasi tentang Manmayer Gunko; seorang wanita misteri berambut biru yang muncul bersama Shamrock Figarland (abang kepada Shanks).
Eiichiro Oda akhirnya memberikan jawapan dalam bab terbaharu. Ternyata Gunko bukan pengikut Imu yang kejam, tetapi sebenarnya adalah Princess Shuri… seorang individu yang berkaitan dengan Brook sewaktu dia masih bergelar manusia dahulu.
Kemunculan Pertama

Sejak kemunculan pertama, Gunko digambarkan sebagai watak antagonis utama. Sebagai sebahagian daripada Holy Knights, dia diberi tugas untuk menawarkan posisi buat Loki dalam organisasi elit mereka. Penampilannya pun agak unik dengan separuh wajah berbalut, serta memiliki devil fruit Aro Aro no Mi (Arrow-Arrow Fruit).
Ini memberinya kebolehan untuk menghasilkan dan mengawal anak panah berbentuk vektor yang mampu memanipulasi pergerakan serta sifat-sifat sasaran. Namun, bab terbaharu menceritakan hal sebenar. Nama “Gunko” hanyalah identiti palsu yang dipaksakan oleh Imu.
Hubungan Dengan Brook
Kejutan paling besar adalah apabila Brook mengenali wanita tersebut. Walaupun Brook kini hanya sebingkai rangka dan Shuri pula tampak tidak berusia, ikatan yang mereka kongsi berdekad lalu masih lagi segar.
Melalui flashback, pembaca dapat melihat Brook memegang tangan Shuri semasa dia masih kanak-kanak. Malah, apabila tidak dikawal oleh Imu, kami dapat melihat dia sering mendengar muzik Brook.

Dalam bab terkini; Brook yang biasanya tenang, kali ini bertindak mengikut perasaan dan meninggalkan rakan-rakannya demi mengejar Shuri. Apabila mereka akhirnya bersemuka, Brook memanggilnya dengan nama “Princess Shuri,” tetapi suara Imu yang keluar daripada mulut wanita itu.

Imu memperlekehkan Brook dengan mengatakan mustahil wanita muda itu adalah Shuri, kerana jika dia masih hidup, dia sepatutnya sudah berumur 80 tahun dan mustahil mengenali sekeping rangka. Namun, bukti fizikal seperti warna rambut biru, warna mata yang berbeza, serta kaitannya dengan Marijoa tidak dapat disangkal lagi.

Brook menjerit dan melabel Shuri sebagai “Father-Killing Princess” kerana telah meragut nyawa lelaki yang sangat dihormati oleh Brook. Tuduhan itu menyebabkan Shuri tersedar seketika daripada kawalan minda Imu. Pada saat itu, dia melonggarkan ikatan anak panah pada Brook dan mendesaknya supaya segera melarikan diri.

Malangnya, saat kebebasan itu tidak lama. Imu kembali menguasai tubuh Shuri dan menyebabkan anak panah tersebut menangkap kaki Brook.
Brook menuntut penjelasan tentang identiti sebenar dan mengapa dia menyelamatkannya, namun Imu terus menyerang sambil mempersoalkan bagaimana seorang lanun “bawahan” boleh mempunyai kaitan dengan “alat” miliknya.

Dengan Imu yang memegang kawalan, perbualan antara Brook dan Shuri nampaknya sukar berlaku selagi pertarungan masih berlangsung. Walau bagaimanapun, Oda kini telah membuka ruang untuk kita mengenali Shuri… terutamanya misteri di sebalik kematian bapanya dan bagaimana dia menjadi boneka bagi Imu.









Discussion about this post