Kami bukan sahaja menerima pengesahan bagi siri sekuel baharu, malah francais ikonik ini turut kembali dengan anime remake Dragon Ball Super: Beerus, sebuah edisi “enhanced” bagi anime original Dragon Ball Super yang dijadualkan untuk tayangan pada September-November 2026.
Projek ini dilihat bukan sekadar satu remaster biasa. Selama bertahun-tahun, para peminat sering memperkatakan tentang kualiti animasi yang tidak konsisten. Dragon Ball Super: Beerus ingin menangani rungutan tersebut secara total.
Menurut Produser Eksekutif Akio Iyoku, yang tampil di pentas bersama pelakon suara Masako Nozawa (Goku) dan Koichi Yamadera (Beerus), projek ini telah diusahakan secara senyap selama beberapa tahun.

Iyoku menyifatkan anime ini sebagai satu “rombakan” bagi jalan ceritanya. Pasukan produksi telah merujuk draf asal yang ditulis oleh mendiang pencipta Akira Toriyama bagi membina naratif yang lebih setia kepada visi asal beliau.
Fokus utama penceritaan ini ialah watak Beerus; di mana edisi “enhanced” berhasrat untuk menampilkan God of Destruction tersebut sebagai ancaman yang jauh lebih menakutkan berbanding apa yang diingati oleh penonton.

Bagi menjayakan hasrat ini, Toei Animation telah memulakan semula proses lakaran. Studio tersebut bukan sekadar mengemaskan rakaman lama. Mereka telah menghasilkan semula babak-babak tertentu, melukis animasi yang baharu sepenuhnya, dan meningkatkan kualiti visual babak sedia ada.
Matlamatnya adalah untuk memanfaatkan teknologi visual terkini bagi menjadikan babak pertarungan lebih berimpak.

Audio turut diubah. Siri ini akan menampilkan lakonan suara yang dirakam semula, berserta muzik baharu dan kesan bunyi yang dikemas kini agar seiring dengan visual yang telah dimodenkan.
Sinopsis rasmi untuk Dragon Ball Super: Beerus:
Beberapa tahun telah berlalu sejak pertarungan menentang Majin Buu, dan Bumi akhirnya kembali aman buat seketika. Walau bagaimanapun, Beerus, God of Destruction, terjaga daripada tidur yang panjang.
Apabila Beerus mendengar khabar angin mengenai seorang Saiyan yang berjaya menewaskan Frieza, dia mencari Goku, sekaligus meletakkan Bumi dalam bahaya kerana menjadi sasaran makhluk terkuat di alam semesta.
Francais ini juga mengesahkan anime Dragon Ball Super: The Galactic Patrol. Siri ini akan menjadi sekuel terus kepada anime Dragon Ball Super, bersambung selepas tamatnya “Universe Survival Arc” (Tournament of Power).









Discussion about this post