Bandai Namco secara rasminya telah mengumumkan Dragon Ball New Game Project AGE 1000. Akan dilancarkan pada tahun 2027, game baharu ini membawa pemain ke era alam semesta Dragon Ball yang belum pernah diterokai sebelum ini.
Ia bakal menampilkan watak-watak original serta latar dunia yang diilhamkan sendiri oleh mendiang pencipta siri ini, Akira Toriyama.
Menurut pengumuman tersebut, game ini telah berada dalam fasa pembangunan selama enam hingga tujuh tahun. Tempoh ini merangkumi kerja-kerja konsep bersama Toriyama sebelum pemergian beliau pada tahun 2024.
Era Baharu dan Wira Misteri

Nama sementara projek ini, “AGE 1000,” merujuk kepada satu tempoh masa spesifik dalam garis masa Dragon Ball; iaitu kira-kira 216 tahun selepas tamatnya arc Majin Buu.
Peminat setia mungkin mengenali era ini sebagai latar bagi Dragon Ball Online (yang kini telah ditutup perkhidmatannya), sekaligus mengacah tentang masa depan di mana segelintir penduduk Bumi kini berketurunan Saiyan dan Namekian.

Pengumuman tersebut turut disertakan dengan teaser yang menonjolkan protagonis misteri: seorang pemuda berambut kelabu yang memakai sut Capsule Corporation. Pihak penerbit mengesahkan bahawa watak ini telah direka khas untuk game ini oleh Toriyama sendiri.
“Saya telah meminta Toriyama-sensei untuk mencipta watak ini khusus untuk game ini,” kata produser Hirano semasa pendedahan tersebut. “Kami telah meluangkan masa yang lama menghasilkan projek ini dengan teliti demi memastikan ia menepati visi beliau.”
Penglibatan Akira Toriyama bukan sekadar pada rekaan satu watak sahaja. Bandai Namco menegaskan bahawa pencipta tersebut terlibat secara mendalam dalam pembinaan dunia serta penciptaan barisan watak “sepenuhnya original” yang bakal membuat kemunculan sepanjang permainan.
Maklumat penuh, termasuk tajuk rasmi game tersebut dan kemungkinan gameplay pertamanya, akan didedahkan di acara Dragon Ball Games Battle Hour 2026. Acara tersebut akan berlangsung dari 18 hingga 19 April 2026 di Los Angeles.









Discussion about this post