Sony telah mempatenkan teknologi baharu yang boleh memperkenalkan “Ghost Player” berkuasa AI ke dalam game PlayStation untuk membantu pemain apabila mereka tersekat.
Sistem ini, seperti yang digariskan dalam dokumen paten, akan membolehkan pemain memanggil versi “ghost” bagi watak mereka yang dijana oleh AI, untuk menunjukkan cara mengatasi cabaran atau bahkan menyelesaikan sesuatu bahagian permainan bagi pihak mereka.

Paten tersebut, yang pada asalnya difailkan pada September 2024, baru-baru ini mendapat perhatian selepas World Intellectual Property Organization menerbitkan laporan status antarabangsa mengenai paten itu minggu ini. Ciri “Ghost Player” yang dicadangkan ini akan menawarkan dua pilihan yang berbeza: “Guide Mode” dan “Complete Mode.”

Dalam “Guide Mode,” jika pemain bergelut dengan teka-teki dalam game seperti Uncharted, Nathan Drake yang dikawal oleh AI boleh muncul untuk menunjukkan penyelesaiannya, dan selepas itu pemain boleh mengambil alih semula kawalan untuk menyelesaikannya sendiri.
“Complete Mode” pula, seperti namanya, akan membiarkan AI bermain dan menyelesaikan bahagian yang mencabar itu untuk pemain.

Konsep ini dilihat sebagai evolusi daripada sistem “Game Help” pada PlayStation 5, yang menawarkan petunjuk melalui imej dan video untuk judul-judul yang disokong. Ciri tersebut sangat popular dalam kalangan trophy hunter yang ingin bantuan dalam game tanpa memerlukan peranti berasingan.

Aspek utama teknologi yang baru dipatenkan ini ialah model AI tersebut tidak akan bergantung pada input pembangun yang telah dirakam terlebih dahulu. Sebaliknya, ia akan dilatih menggunakan rakaman gameplay sedia ada, membolehkannya belajar dan menunjukkan penyelesaian secara dinamik.
Paten itu mencadangkan sistem tersebut boleh menyediakan overlay yang menunjukkan input controller atau watak “ghost” itu boleh berinteraksi dengan dunia game seperti rakan kongsi co-op yang menunjukkan cara penyelesaian.
Penting untuk tahu bahawa kewujudan sesebuah paten tidak menjamin bahawa Sony akan melaksanakan teknologi “Ghost Player” ini dalam console atau game pada masa hadapan. Syarikat-syarikat sering memfailkan paten untuk idea-idea inovatif yang mungkin tidak akan pernah dikeluarkan kepada umum.









Discussion about this post