Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Previu Silent Hill f – Kengerian Baru Lagi Maut Berputik Dari Jepun Era Showa!

Razin Syafiq by Razin Syafiq
August 1, 2025
in Artikel, Berita, Epic Store, Microsoft, PC, Preview, PS5, Seram, Steam, Xbox Series X|S
0 0
0
Previu Silent Hill f – Kengerian Baru Lagi Maut Berputik Dari Jepun Era Showa!
Share on FacebookShare on Twitter

Francais Silent Hill sudah sekian lama sebati dengan imej kabus tebal dan suasana reput. Namun, setelah kami meluangkan masa selama lima jam mencuba sendiri Silent Hill f, jelas sekali siri ini bersedia untuk menempuh era baharu.

Judul utama pertama yang berlatarkan Jepun ini mengetepikan koridor-koridor sempit yang usang, sebaliknya memperkenalkan landskap tenang yang penuh dengan bungaan. Ia menyajikan satu bentuk yang sama sekali berbeza… sesuatu yang kelihatan cantik, namun terselit kengerian.

Mengambil tempat di Jepun pada era Shōwa sekitar tahun 1960-an, game ini mengadun elemen seram psikologi yang menjadi identiti francais dengan elemen dongeng Jepun. Hasilnya, ia mewujudkan satu atmosfera yang unik, di mana debaran bukan terhasil daripada bunyi, sebaliknya daripada keindahan aneh proses pereputan itu sendiri.

Ulasan awal ini adalah berdasarkan sesi hands-on kami selama lima jam, dan kami akan berkongsi pandangan pertama mengenai naratif, dunia, dan mekanik gameplay tanpa mendedahkan sebarang spoiler.

Pekan Diselubungi Kabus dan Bunga

Kredit: Konami

Game ini mengikuti Shimizu Hinako, seorang pelajar sekolah tinggi yang menjalani kehidupan di sebuah pekan pergunungan bernama Ebisugaoka. Hidupnya yang dibelenggu masalah buli dan perasaan sunyi selepas kakaknya berkahwin, berubah sepenuhnya apabila kabus misteri mula menyelubungi pekan mereka.

Laluan yang dahulunya biasa kini bertukar wajah menjadi mimpi ngeri, para penduduk mula lesap seorang demi seorang, dan entiti-entiti aneh mula berkeliaran di sebalik kabus.

Kredit: Konami

Perjalanan Hinako membawanya semakin jauh ke dalam dunia yang ganjil. Dia kerap beralih antara realiti dan dimensi lain ‘Otherworld’—sebuah alam yang dihuni oleh entiti pelik yang dilitupi flora dan simbolisme spiritual Jepun.

Seorang lelaki penuh misteri kemudian muncul seakan-akan untuk membimbingnya melalui landskap menakutkan ini, namun niat sebenarnya masih menjadi tanda tanya. Penceritaannya bergerak perlahan, lebih mementingkan membina atmosfera berbanding penyampaian maklumat secara terus.

Pemain perlu menyusun sendiri kepingan teka-teki mengenai rahsia Ebisugaoka dan masa lalu Hinako melalui pemerhatian yang tajam serta usaha untuk terus hidup, menjadikan setiap langkah ke hadapan seperti satu pendedahan dan juga amaran ngeri.

Kredit: Konami

Pertarungan Hanya Jarak Dekat

Silent Hill f mengubah suai sistem combat secara besar-besaran, memberi fokus sepenuhnya kepada pertempuran jarak dekat. Tiada lagi pistol atau shotgun; untuk terus hidup, pemain perlu bijak mengatur serangan, menjaga ‘timing’, dan menguruskan sumber dengan cermat. Sistem ini berpandukan tiga statistik utama:

  • Health (HP): Menentukan tahap nyawa watak.
  • Stamina: Daya tenaga yang digunakan untuk berlari, mengelak, dan menyerang. Jika habis, watak akan menjadi penat dan terdedah kepada serangan.
  • Kewarasan (Sanity): Satu sumber kritikal yang diperlukan untuk mengaktifkan “Focus Mode”. Ia akan menurun apabila diserang oleh musuh tertentu. Jika mencecah sifar, nyawa Hinako akan mula menyusut.
Kredit: Konami

Combat di dalam game ini boleh dikatakan sebagai ujian antara risiko dan ganjaran. Sistem Perfect Counter memberi peluang kepada pemain untuk menghasilkan damage besar dengan melakukan serangan balas yang tepat pada masanya, iaitu ketika musuh terdedah dalam satu tempoh masa yang singkat.

Untuk mempermudahkannya, Focus Mode boleh diaktifkan menggunakan Sanity untuk melambatkan tempoh masa tersebut, sekaligus memanjangkan lagi masa untuk serangan balas dan membolehkan serangan ‘cas’ yang lebih kuat.

Kredit: Konami

Setiap pertembungan dengan musuh terasa sangat mencabar, apatah lagi jika jumlah mereka ramai. Kebanyakan musuh biasa boleh dielak, tetapi pertarungan menentang ‘bos’ adalah wajib dan memerlukan penguasaan mekanik combat sepenuhnya.

Walaupun impak setiap pukulan terasa sedikit kurang (tiada cukup perasaan ketika menyerang), namun tekanan yang dirasai dalam setiap pertarungan berjaya mengekalkan tahap ‘tension’.

Pengurusan Sumber adalah Kunci Kelangsungan Hidup

Kredit: Konami

Pengurusan sumber adalah satu lagi elemen yang sentiasa mewujudkan rasa cemas secara senyap. Hinako hanya dibekalkan dengan inventori terhad lapan slot untuk barangan pakai.

Item kecil seperti pembalut atau yokan (sejenis manisan jeli tradisional yang memulihkan sedikit nyawa) boleh disusun sehingga tiga unit dalam satu slot, tetapi item yang lebih berkesan seperti peti perubatan akan memakan satu slot penuh untuk dirinya sendiri.

Kredit: Konami

Senjata pula mempunyai inventori berasingan dengan tiga slot, dan lebih sukar untuk dijumpai. Setiap senjata mempunyai tahap ketahanan sendiri. Jika rosak sepenuhnya tanpa alat baik pulih, ia akan musnah selama-lamanya.

Keadaan ini memaksa pemain sentiasa berfikir: adakah wajar menggunakan senjata terkuat sekarang, atau menyimpannya untuk menghadapi ancaman yang lebih besar nanti?

Kemajuan Berpandukan ‘Faith‘ dan Penerokaan

Sistem kemajuan watak dijalin secara tematik dengan dunia permainan melalui Hokora, iaitu kuil-kuil kecil di tepi jalan yang berfungsi sebagai save point dan stesen tingkat taraf.

Dengan meneroka, pemain akan menemui barangan Enshrine—contohnya sikat kayu merah (Kushi-Kanzashi) atau ikan kering—yang boleh dipersembahkan di kuil ini untuk memperoleh Faith, iaitu mata wang tingkat taraf dalam game.

Kredit: Konami

Faith ini boleh digunakan untuk dua tujuan utama:

  • Tarik Omamori: Gunakan Faith untuk mendapatkan tangkal azimat (omamori) yang boleh dipakai. Setiap satu memberikan buff pasif, seperti menambah HP, meningkatkan damage, atau mengurangkan kebarangkalian dikesan musuh.
  • Berdoa (Pray): Belanjakan Faith untuk menaik taraf statistik asas Hinako secara kekal atau membuka lebih banyak slot untuk omamori.
Kredit: Konami

Sistem ini mengintegrasikan mekanik gameplay dengan latar budaya dan spiritual dunia ini dengan amat baik. Aspek penerokaan juga terasa sangat mengasyikkan.

Tanpa sebarang peta mini atau penanda objektif, pemain perlu bergantung sepenuhnya pada petunjuk persekitaran seperti arah cahaya, bayang-bayang, atau pokok menjalar untuk menentukan arah.

Kredit: Konami

Reka bentuk teka-teki juga terasa logik, sering kali berkait rapat dengan motif budaya Jepun, dan ia lebih menghargai pemerhatian teliti berbanding kaedah cuba-jaya. Pendekatan minimalis sebegini berjaya menyemai rasa seram yang mendalam.

Contoh terbaik ialah satu babak di mana sebuah patung berupa manusia hanya berdiri pegun menghalang laluan. Ia tidak berbuat apa-apa—tiada jumpscare, tiada pergerakan—namun perasaan gelisah ketika mendekatinya sahaja sudah cukup menakutkan, malah lebih seram daripada mana-mana raksasa sekalipun.

Dunia Rekaan Ngeri

Kredit: Konami

Dari segi visual, Silent Hill f kelihatan memukau. Imej ikonik siri ini yang penuh kotoran telah digantikan dengan satu estetika baharu yang mereka gelarkan sebagai ‘pereputan floral’. Bunga bakung labah-labah merah kelihatan mekar dari dinding-dinding yang seolah-olah berdaging.

Tumbuhan menjalar berwarna merah melata di atas lantai tatami dan merentasi pintu gerbang kuil. Rekaan raksasanya pula bersifat organik dan ngeri, diilhamkan daripada cerita domgeng Jepun, alam tumbuhan, dan anatomi tubuh yang mereput.

Kredit: Konami

Latar belakang era Shōwa terasa begitu hidup dan asli, sehinggakan ke butiran kecil seperti rekaan barangan pemulihan.

Apabila dipadankan dengan lakonan suara Jepun serta sinematik yang berkualiti, hasilnya adalah sebuah persembahan yang menyeramkan tetapi masih menghormati sumber inspirasinya.

Pendapat

Walaupun masih mengekalkan DNA seram psikologi siri ini, Silent Hill f merupakan satu langkah berani dari segi nada dan gaya. Dunia permainannya yang lebih luas, elemen seram pada waktu siang, serta sistem combat yang lebih kompleks menjadikannya satu pengalaman yang segar.

Dengan tutorial yang jelas dan penceritaan tersendiri, ia juga amat sesuai sebagai titik pengenalan bagi pemain baharu. Pihak penerbit juga telah mengesahkan bahawa game ini akan mempunyai lima penamat berbeza.

Penamat untuk sesi game pertama sudah ditetapkan, dan penamat klasik ‘UFO’ juga akan kembali, memberikan insentif untuk bermain semula bagi mereka yang ingin merungkai setiap rahsia pekan Ebisugaoka.

Kredit: Konami

Selepas lima jam bermain, kami merasakan misteri Ebisugaoka baru sahaja mula menampakkan dirinya. Persoalan mula timbul: Siapakah lelaki misteri itu? Mengapakah pekan ini ditelan oleh hidupan flora yang membawa maut ini? Dan apakah rahsia yang Hinako cuba sembunyikan daripada dirinya sendiri?

Silent Hill f nampaknya bakal menjadi sebuah game seram yang cemerlang. Kengeriannya bukan lagi terletak pada elemen kejutan, tetapi pada sesuatu yang tumbuh perlahan-lahan di bawah sedar.

Kredit: Konami

Game ini akan dilancarkan pada 25 September untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, serta PC melalui Steam, Epic Games Store dan Microsoft Store. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.

Tags: Silent Hill f
ShareTweetSend
Previous Post

Borderlands 4 Diumumkan Untuk Nintendo Switch 2, Pra-Tempahan Kini Dibuka untuk Pelancaran Oktober 2025

Next Post

“Kelemahan Diri Sendiri Yang Membuatnya Menakutkan” – Interviu Di Sebalik Tabir Silent Hill f

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Teenage Mutant Ninja Turtles: The Last Ronin – PlatinumGames Ambil Alih Produksi
Berita

Teenage Mutant Ninja Turtles: The Last Ronin – PlatinumGames Ambil Alih Produksi

June 6, 2026
Star Wars Zero Company – Akan Keluar Ogos 2026, Gabungkan Gameplay XCOM Dengan Saga Clone Wars
Berita

Star Wars Zero Company – Akan Keluar Ogos 2026, Gabungkan Gameplay XCOM Dengan Saga Clone Wars

June 6, 2026
Mafia: The Old Country – DLC ‘Man of Honor’ Dedahkan Kepulangan Don Salieri
DLC

Mafia: The Old Country – DLC ‘Man of Honor’ Dedahkan Kepulangan Don Salieri

June 6, 2026
Next Post
“Kelemahan Diri Sendiri Yang Membuatnya Menakutkan” – Interviu Di Sebalik Tabir Silent Hill f

"Kelemahan Diri Sendiri Yang Membuatnya Menakutkan" - Interviu Di Sebalik Tabir Silent Hill f

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd