Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

“Kelemahan Diri Sendiri Yang Membuatnya Menakutkan” – Interviu Di Sebalik Tabir Silent Hill f

Razin Syafiq by Razin Syafiq
August 1, 2025
in Artikel, Berita, Epic Store, Microsoft, PC, PS5, Seram, Steam, Temuramah, Xbox Series X|S
0 0
0
“Kelemahan Diri Sendiri Yang Membuatnya Menakutkan” – Interviu Di Sebalik Tabir Silent Hill f
Share on FacebookShare on Twitter

Pengumuman rasmi Silent Hill f telah mencetuskan rasa keterujaan yang bercampur-baur dengan seribu satu tanda tanya di kalangan para peminat setia siri seram terkemuka ini.

Dengan membuat anjakan berani daripada latar belakang dunia Barat yang sudah sinonim dengan francais ini, game akan datang ini bakal membawa pemain mengembara ke negara Jepun pada era 1960-an.

Ia menjanjikan sebuah perspektif baharu yang bukan sahaja indah dari segi visual, tetapi juga amat menggerunkan dalam penyampaian seram psikologinya.

Dari kiri ke kanan: Albert Lee (Producer) Al Yang (Game Director) Motoi Okamoto (Producer), Ryukishi07 (Scriptwriter), Akira Yamaoka (Composer) | Kredit: Digital Braves

Kami telah diberikan kesempatan untuk menemu bual barisan tulang belakang pasukan pembangunan—termasuklah penerbit Konami, Motoi Okamoto; penerbit NeoBards, Albert Lee; pengarah permainan NeoBards, Al Yang; komposer legenda siri, Akira Yamaoka; dan penulis skrip tersohor, Ryukishi07—bagi merungkai rahsia di sebalik hala tuju baharu ini.

Kengerian dalam Lipatan Sejarah Shōwa

Elemen yang paling mencuri tumpuan dalam Silent Hill f sudah tentunya adalah peralihan latarnya. Penetapan naratif di Jepun pada dekad 1960-an merupakan satu pilihan yang dibuat secara sedar dan teliti agar selari dengan tema-tema utama yang ingin diterokai oleh game ini.

Menurut pandangan Ryukishi07, era Shōwa berfungsi sebagai kanvas yang sempurna untuk kisah yang mahu mereka sampaikan. “Era di mana game ini berlatarkan adalah di sempadan antara apa yang dirasakan seperti masa kini dan masa lampau, di mana fantasi dan mitologi seakan-akan wujud,” jelasnya.

“Inilah era di mana kedua-dua konsep ini boleh wujud bersama.”

Kredit: Konami

Latar belakang yang segar ini turut membuka peluang untuk memperluaskan lagi dunia siri ini tanpa perlu terikat dengan kesinambungan cerita yang telah sedia ada. Penerbit siri, Motoi Okamoto, turut mengiyakan bahawa langkah ini merupakan satu keputusan yang disengajakan.

“Sejak dari awal lagi, apabila kami memutuskan untuk memilih latar Jepun untuk game ini, kami percaya ia akan membolehkan kami menyimpang daripada canon sedia ada dan meneroka lebih banyak lagi lore,” katanya.

Kredit: Konami

Bersama lokasi yang baharu, maka datanglah pendekatan seram yang turut diperbaharui. Ryukishi07 berkongsi bahawa beliau berdepan dengan cabaran untuk mentakrifkan semula apa yang menjadikan sebuah game itu terasa seperti Silent Hill tanpa kehadiran bandar ikonik dari Amerika yang menjadi judulnya.

Jawapan yang ditemuinya adalah dengan memberikan penekanan yang jauh lebih mendalam terhadap landasan psikologi siri tersebut. “Saya memutuskan untuk memberi tumpuan kepada aspek-aspek yang lebih psikologi dan pergolakan yang disimpan oleh watak-watak di dalam fikiran mereka,” kongsinya.

“Selagi kami berpegang teguh pada aspek-aspek psikologi tersebut, sama ada di Jepun atau di mana-mana persekitaran sekalipun, ia masih boleh dirasakan seperti Silent Hill.”

Kredit: Konami

Teras naratifnya akan berkisar pada seorang watak gadis remaja, dengan penceritaan yang menyelami tekanan-tekanan peribadi dan sosial hebat yang terpaksa dihadapinya. Tumpuan terhadap jantina dan alam remaja ini sememangnya disengajakan.

Ryukishi07 menghuraikan, “Memandangkan protagonisnya seorang gadis, dari perspektifnya hubungan yang paling penting adalah antara keluarganya dan rakan-rakannya. Saya percaya terutamanya hubungan yang dikongsi bersama keluarganya adalah yang paling intim, dan ini adalah bahagian yang ingin kami terokai secara mendalam.”

Kredit: Konami

Berkenaan judulnya yang penuh teka-teki, Okamoto mengambil pendekatan untuk terus mengunci mulut, sebaliknya mahu para pemain meneroka dan mencari maknanya sendiri. “Huruf ‘f’ itu boleh mempunyai banyak makna yang berbeza,” usiknya.

“Sudah tentu ada beberapa makna berbeza yang kami bayangkan untuk ‘f’, jadi kami ingin pemain mengambil masa dan cuba menemuinya sendiri.”

Corak Gameplay dengan Pertarungan Lebih Terfokus

Bagi membentuk corak gameplay masa hadapan, pasukan pembangun di NeoBards telah menoleh kembali kepada legasi siri ini untuk dijadikan panduan. Pengarah permainan, Al Yang, menamakan Silent Hill 1 dan Silent Hill 4 sebagai sumber inspirasi terkuat, khususnya dari segi rentak gameplay dan sistem combat.

“Silent Hill f adalah game yang sangat tertumpu pada pertempuran melee,” kata Yang, “dan kami benar-benar mahu meniru semula jenis ketegangan dan kerumitan yang ada dalam judul-judul tersebut, sambil memastikan ia terasa segar dan dikemas kini untuk penonton yang lebih moden.”

Kredit: Konami

Matlamat utamanya bukanlah untuk mengejutkan pemain dengan jump scare, sebaliknya untuk membina suasana ketegangan yang meresap dan berpanjangan. Yang yakin bahawa apa yang benar-benar meninggalkan kesan kepada pemain ialah penantian dan jangkaan terhadap rasa takut itu sendiri.

Pasukan ini berusaha menyemai perasaan ini melalui tekanan yang diurus dengan rapi.

“Kekurangan sumber menjadi punca ketakutan utama: item penyembuhan yang terhad, pergerakan yang terkekang, ruang dalaman yang sempit… semua ini mewujudkan tekanan. Walaupun anda melihat ancaman, kelemahan diri anda sendirilah yang membuatnya menakutkan,” katanya.

Kredit: Konami

Penyingkiran mekanik combat jarak jauh yang tradisional merupakan satu keputusan reka bentuk yang fundamental bagi memperhebatkan lagi perasaan terancam ini. Dengan memaksa setiap pertembungan untuk berlaku dalam lingkungan jarak dekat, pemain tidak akan pernah merasa selamat sepenuhnya.

“Apabila semuanya berada dalam jarak dekat, anda sentiasa berada dalam keadaan tegang,” jelas Yang.

Elemen-elemen strategik yang lazimnya didapati dalam mekanik membidik dan menembak telah diadaptasi ke dalam sistem combat jarak dekat yang baharu, contohnya seperti keupayaan untuk memfokus dan menyasarkan beberapa musuh secara serentak.

Rentak gameplay pula dikawal melalui pengurusan sumber, seperti bar stamina yang mengehadkan pemain daripada mengelak serangan secara berterusan, lantas mendorong corak gameplay yang lebih berwaspada dan penuh pemerhatian.

Kredit: Konami

Falsafah reka bentuk ini turut diterapkan dalam rekaan teka-teki. Pasukan ini menyasarkan pendekatan seolah-olah “pelancongan maya,” iaitu dengan mempersembahkan elemen-elemen yang kelihatan lazim pada permukaannya, tetapi pada masa yang sama terasa asing dan janggal.

Teka-teki pula direka agar mudah difahami secara universal, tidak mengira apa jua latar belakang budaya pemain. “Orang-orang sawah adalah contoh yang bagus,” kata Yang. “Ia mempunyai elemen budaya Jepun yang sangat kuat, tetapi ia masih mudah difahami secara universal.”

Keindahan Seni dan Audio Terkandung dalam Kengerian

Kredit: Konami

Daya tarikan visual Silent Hill f yang menawan tetapi pada masa yang sama menggelisahkan ini adalah hasil daripada pertembungan teliti antara keindahan dan kengerian, sebuah konsep yang bukan sahaja meresapi aspek visual malah turut diserap ke dalam rekaan bunyinya.

Komposer legenda, Akira Yamaoka, telah melakukan penyesuaian terhadap gaya muziknya yang ikonik demi menghasilkan sebuah pengalaman yang benar-benar asli untuk latar Jepun. “Untuk Silent Hill f, saya mengetepikan semua penyesuaian itu [untuk penonton Barat] dan mengubahnya menjadi pengalaman Jepun,” katanya.

“Ia bukan terletak pada instrumen semata-mata, tetapi pada rentak dan cita rasa muzik Jepun yang saya fikirkan membuat perbezaan.”

Kredit: Konami

Konsep dualiti ini turut menjadi tunjang kepada identiti visual permainan. Ryukishi07 telah menggunakan satu analogi yang cukup menarik bagi menghuraikan pendekatan mereka: “Jika anda melihat kedua-dua sisi yang indah dan sisi yang mengerikan secara serentak—itulah saatnya anda dapat melihat kebenaran yang tersembunyi di dalamnya.”

Falsafah ini telah dimantapkan sejak peringkat awal pembangunan lagi, terutamanya apabila sambutan positif daripada para peminat terhadap imejan bunga-bungaan dalam teaser pertama telah memberikan galakan kepada pasukan untuk lebih cenderung kepada estetika floral yang indah namun mengganggu itu.

Menyemarakkan Sebuah Legasi

Silent Hill f dibangunkan dengan dua matlamat: untuk menjadi gerbang pengenalan yang mesra bagi pemain yang baru mengenali siri ini, sambil pada masa yang sama memberikan kepuasan kepada para peminat tegar. “Kami mahu mencipta sesuatu yang sesuai untuk kedua-dua pemain baharu dan peminat sedia ada,” sahut Okamoto.

Beliau percaya bahawa untuk memastikan hayat dan relevansi francais ini berterusan, adalah amat penting untuk “menyuntik nafas baharu ke dalam siri ini” melalui sebuah judul yang benar-benar segar.

Kredit: Konami

Apabila diajukan soalan tentang apakah makna “Silent Hill” pada kaca mata mereka, jawapan yang diberikan oleh setiap ahli pasukan mendedahkan betapa pelbagai dan mendalamnya identiti siri ini. Bagi penerbit Albert Lee, ia adalah tentang ketakutan yang berpunca dari dalam diri.

Bagi pengarah Al Yang pula, ia adalah “suasana” atau “vibe” yang menyeluruh. Manakala bagi Okamoto, ia melambangkan evolusi dan keperluan untuk mengelakkan kitaran pengulangan yang sama. Namun, mungkin Ryukishi07 yang menyimpulkannya dengan cara yang paling puitis:

“Bagi saya, Silent Hill ibarat pai—seramnya adalah apa yang menyelubungi kebenaran yang lebih mendalam di dalamnya. Apabila pemain ‘menggigitnya,’ mereka akan menemui apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh cerita itu.”

Kredit: Konami

Bagi para peminat yang tidak sabar, Silent Hill f akan datang pada 25 September untuk platform PlayStation 5, Xbox Series X|S, serta PC melalui Steam, Epic Games Store dan Microsoft Store. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut, anda boleh melayari laman web rasminya.

Tags: interviuSilent Hill f
ShareTweetSend
Previous Post

Previu Silent Hill f – Kengerian Baru Lagi Maut Berputik Dari Jepun Era Showa!

Next Post

Demo Percuma SHINOBI: Art of Vengeance Kini Tersedia, Serlahkan Semangat Ninja Anda!

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

animate KL Bakal Anjur Sonic the Hedgehog 35th Anniversary Fair & Gratte Cafe Bermula 6 Jun!
Jom Singgah!

animate KL Bakal Anjur Sonic the Hedgehog 35th Anniversary Fair & Gratte Cafe Bermula 6 Jun!

June 5, 2026
Reviu Farming Simulator 26 (Nintendo Switch) – Pertanian Santai “On-The-Go,” Tapi Grafik Pula Kurang Menjadi
Review

Reviu Farming Simulator 26 (Nintendo Switch) – Pertanian Santai “On-The-Go,” Tapi Grafik Pula Kurang Menjadi

Pokémon Center Singapore Bakal Dibuka Semula 1 Julai 2026 – Wajah Baru, Merchandise Baru!
Jom Singgah!

Pokémon Center Singapore Bakal Dibuka Semula 1 Julai 2026 – Wajah Baru, Merchandise Baru!

June 5, 2026
Next Post
Demo Percuma SHINOBI: Art of Vengeance Kini Tersedia, Serlahkan Semangat Ninja Anda!

Demo Percuma SHINOBI: Art of Vengeance Kini Tersedia, Serlahkan Semangat Ninja Anda!

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd