PokéPark Kanto, sebuah destinasi berskala besar bertemakan Pokémon, akan dibuka pada musim bunga 2026 (antara Mac hingga Jun) di Yomiuriland: sebuah taman tema terkenal yang terletak di kawasan Tama Hills, Tokyo, wilayah Kanto.
Projek berinspirasi tinggi ini merupakan hasil kerjasama antara The Pokémon Company, Yomiuri Land Co., Ltd., dan akhbar The Yomiuri Shimbun, dan bertujuan menghidupkan semula suasana ikonik wilayah Kanto daripada game Pokémon Red, Green, Blue, dan Yellow.
Dengan keluasan sekitar 26,000 meter persegi (bersamaan 2.6 hektar), PokéPark Kanto akan mengubah kawasan Yomiuriland menjadi dunia Pokémon yang penuh warna-warni.
Para pengunjung akan dapat menerokai pelbagai tarikan serta “bandar-bandar sibuk”, di samping bertemu dengan lebih 600 jenis Pokémon daripada Kanto dan rantau-rantau lain.

Taman ini dibahagikan kepada dua zon utama yang direka khusus untuk membawa pelawat menyelami dunia Pokémon. Zon pertama dikenali sebagai Pokémon Forest, sepanjang kira-kira 500 meter, menampilkan pengembaraan alam liar melalui laluan berbukit, rumput tinggi, terowong, dan denai berbatu.
Di sini, landskap dipenuhi dengan patung Pokémon—termasuk kemungkinan animatronik—yang memaparkan aksi mereka di habitat semula jadi seperti berlari, bertarung, atau berkongsi makanan.

Zon kedua pula, Bandar Sedge, merealisasikan suasana bandar-bandar meriah dalam siri permainan Pokémon. Pelawat akan berasa seolah-olah menjadi trainer sebenar apabila melangkah masuk ke Pokémon Center, berkunjung ke Poké Mart, atau mencabar Pokémon Gym.
Tarikan utama di sini ialah Primarina Fountain, sebuah air pancut yang menampilkan Primarina, Pokémon jenis Water yang anggun, sebagai mercu tanda dan lokasi interaksi. Trainers’ Market pula menjual pelbagai barangan bertemakan Pokémon seperti topi dan baju-T, manakala Pokémon Parade akan menghidupkan suasana bandar.
Dua lagi tarikan di Bandar Sedge masih dirahsiakan dan akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pembukaan.

Maklumat lanjut berkaitan harga tiket dan butiran lain akan dikongsikan menjelang tarikh pelancaran rasmi taman ini.

![[Eksklusif] Sejarah di Sebalik Penubuhan Massive Monster Bersama Co-Founder Jay Armstrong](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/Jay-Armstrong_IWX-2026_FI-350x250.jpg)







Discussion about this post