Ubisoft mencetuskan perdebatan hangat selepas mempertahankan penggunaan transaksi mikro dalam game premium berasaskan single-player.
Dalam laporan kewangan tahunannya yang terbaru, Ketua Pegawai Eksekutif Yves Guillemot menyatakan bahawa transaksi mikro mampu memperkayakan pengalaman pemain dengan menawarkan pilihan penyesuaian dan mempercepatkan kemajuan dalam gameplay, sambil menegaskan bahawa semua pembelian kekal sebagai pilihan dan bukannya kewajipan.
Namun, kenyataan ini tidak disenangi oleh ramai peminat, yang sejak sekian lama mengkritik kewujudan transaksi mikro dalam game berbayar penuh.
Transaksi mikro sudah menjadi komponen utama dalam industri gaming moden, terutamanya dalam game percuma. Menurut laporan industri 2024, sebanyak 58% daripada hasil game PC tahun lalu diperoleh melalui transaksi mikro, dengan judul besar seperti Call of Duty: Black Ops 6 mendahului senarai.
Meskipun praktik ini lebih diterima dalam game percuma, pendekatan Ubisoft untuk memasukkan transaksi mikro ke dalam game premium single-player seperti Assassin’s Creed Valhalla telah menerima kritikan keras.
Penjualan ‘XP Boost’ dalam Valhalla, misalnya, menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemain yang merasakan mereka dipaksa berbelanja lebih walaupun telah membeli game dengan harga penuh.

Menurut Guillemot, transaksi mikro membolehkan pemain “menyesuaikan avatar atau meningkatkan kemajuan dengan lebih pantas,” menjadikan pengalaman bermain lebih menyeronokkan.
Namun, ramai pemain tidak bersetuju, dengan mengatakan bahawa ciri-ciri ini mencemari intipati gameplay single-player, seolah-olah menggalakkan model pay-to-win atau menekan pemain untuk berbelanja demi menikmati pengalaman sepenuhnya.
Kritikan ini kerap tular di media sosial, dengan ramai peminat meluahkan rasa kecewa terhadap kos tambahan dalam game yang telah mereka miliki.

Dari segi keuntungan, transaksi mikro terbukti sangat lumayan. Assassin’s Creed Valhalla sahaja dilaporkan berjaya meraih pendapatan melebihi $1 bilion, sebahagian besarnya hasil daripada pembelian dalam game. Ini menjelaskan mengapa Ubisoft terus mengaplikasikan model ini walaupun dibelenggu kontroversi.
Melihat ke hadapan, Ubisoft nampaknya tidak akan berundur daripada strategi ini. Penerbit itu kini sedang membangunkan beberapa projek besar seperti Prince of Persia: The Sands of Time Remake dan Assassin’s Creed: Codename Hexe, yang dijangka turut menyertakan elemen transaksi mikro, sama ada dalam mod single-player atau multiplayer.
Walau bagaimanapun, laporan kewangan tersebut turut menyebut bahawa Ubisoft sedang membentuk pasukan khas untuk menilai semula strategi monetization mereka dan risiko berkaitannya — satu petunjuk bahawa syarikat ini sedar akan potensi kerugian jangka panjang sekiranya amalan ini terus menjarakkan mereka daripada komuniti pemain.









Discussion about this post