Anime yang panjang selalunya mempunyai pelbagai jenis “content” supaya sirinya kekal menarik di mata penonton. Ini terserah kepada pencipta untuk menguruskan setiap elemen naratif demi mendapatkan kesimpulan yang memuaskan. Namun, kadangkala ada beberapa anime yang menjadi terlalu panjang sehingga mencapai sehingga beratus-ratus episod. Antara contoh terkenal ialah Naruto dan Yu-Gi-Oh. Selepas membuat kajian sendiri, saya mendapati sebenarnya ada banyak lagi anime panjang yang mengambil masa berzaman untuk tonton sehingga habis dan berikut adalah hasilnya!
*Siri anime di bawah tidak menepati senarai rasmi untuk “anime dengan episod terbanyak” kerana kebanyakan hanya ditayangkan di Jepun. Siri yang saya pilih adalah berdasarkan ‘anime yang pernah ditayangkan di Malaysia’ supaya netizen lebih mengenali francais-francais yang saya sebutkan di bawah.*
One Piece (1098 episod)
Rasanya anime ini tidak perlu apa-apa pengenalan tetapi biar saya jelaskan untuk mereka yang kurang tahu. One Piece adalah siri anime berdasarkan manga dengan nama yang sama oleh Eiichiro Oda dan mengisahkan pengembaraan Monkey D. Luffy, seorang budak lelaki yang badannya memperoleh sifat getah setelah tidak sengaja memakan Devil Fruit. Bersama krew lanunnya bernama Straw Hat Pirate, Luffy menjelajah dunia demi mencari harta karun yang dikenali sebagai “One Piece” untuk menjadi Pirate King seterusnya.
Dihasilkan oleh Toei Animation, One Piece ditayangkan di TV Fuji (Jepun) pada bulan Oktober 1999, dan kini mempunyai sebanyak 993 episod. Di Jepun, One Piece secara konsisten tergolong sebagai salah satu animasi paling popular menurut penilaian penonton, lantas menjadikannya anime paling popular pada setiap tahun. One Piece juga pernah ditayangkan di ntv7 pada tahun 2009, tetapi terpaksa berhenti pada episod 27. Anime ini kemudian diadaptasikan bersama alih suara Bahasa Melayu untuk saluran Astro Ceria pada tahun 2011 di mana pihak Astro membuat keputusan untuk berhenti pada episod 61.
Detective Conan (1118 episod)
Detective Conan merupakan manga dan anime genre detektif oleh Gosho Aoyama yang mengisahkan pengembaraan Shinichi Kudo, seorang detektif muda yang telah, secara tidak sengaja, berubah menjadi kanak-kanak selepas mengalami keracunan.
Siri anime Detektif Conan telah dihasilkan oleh syarikat televisyen Yomiuri TV dan TMS Entertainment. Diarahkan oleh Yasuichiro Yamamoto (1999-2003, 2012-kini), sebanyak 1020 episod telah ditayangkan di Jepun semenjak siaran perdana pada 8 Januari 1996 lalu menjadikannya sebagai siri anime yang ke-15 belas paling lama di negara tersebut. Selain itu, anime ini pernah disiarkan di TV3 dan Astro Ceria manakala lima buah filem telah ditayangkan di Golden Screen Cinemas.
Crayon Shin-chan (1162 episod)
Crayon Shin-chan (dikenali sebagai Dik Cerdas di Malaysia) merupakan siri manga dan anime oleh Yoshito Usui yang mengisahkan gelagat seorang budak berumur lima tahun dan keluarganya yang berlatarkan bandar Kasukabe, Saitama, Jepun. Crayon Shin-chan mula ditayangkan di Jepun oleh TV Asahi pada 13 April 1992 di mana animasinya telah dihasilkan oleh studio Shin’ei Doga. Anime-nya masih berterusan di beberapa rangkaian televisyen di seluruh dunia dan kini mempunyai sebanyak 1099 episod dan 26 filem spin-off rasmi.
Crayon Shin-chan diperkenalkan di Malaysia pada pertengahan 1990-an melalui komik yang diterjemah kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Cina dan akhirnya muncul di televisyen tempatan dengan alih suara Bahasa Melayu yang disiarkan oleh ntv7 pada tahun 2002. Bersama Doraemon, anime Shin-chan merupakan antara rancangan televisyen yang paling popular antara penonton Malaysia, sungguhpun terpaksa melalui penapisan yang ketat.
Chibi Maruko-chan (1426 episod)
Chibi Maruko-chan adalah manga shoujo yang dihasilkan oleh Momoko Sakura dan memaparkan kehidupan seorang budak perempuan kecil bernama “Maruko” di pinggir kota Jepun pada era 70-an. Siri ini diadaptasikan kepada anime oleh Nippon Animation dan disiarkan di saluran Fuji Television dari tahun 1990 sehinggalah 1992.
Musim pertama anime telah meraih jumlah penonton yang banyak, dan kemudian diteruskan untuk musim kedua yang memulakan tayangan sejak tahun 1995 sehinggalah sekarang. Buat masa ini, anime Chibi Maruko-chan mempunyai sebanyak 1307 episod. Anime ini telah lama disiarkan di Malaysia melalui saluran ntv7. Sebelum ini, ia pernah disiarkan di 8TV pada tahun 2004 tetapi dalam alih bahasa Bahasa Mandarin dengan sarikata Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, pada pertengahan 2005, anime ini telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu di ntv7 sehingga Julai 2007.
Doraemon (1787 episod)
Doraemon adalah sebuah manga Jepun yang dihasilkan oleh Fujiko F. Fujio dan mengisahkan tentang seorang kanak-kanak bernama Nobita Nobi yang pemalas, kurang bijak dan selalu dibuli oleh rakan sekolahnya. Tiba-tiba muncul sebuah robot berbentuk kucing bernama Doraemon yang datang untuk membantu Nobita dalam kesusahan dan menyelamatkan masa depannya.
Siri adaptasi anime pertama Doraemon dihasilkan oleh TMS Entertainment dan mula ditayangkan pada 1 April sehingga 30 September 1973 di saluran Nippon TV sebanyak 25 buah episod. Selepas siri ini tamat, siri adaptasi anime kedua Doraemon dihasilkan oleh Shin-Ei Animation dan mula ditayangkan pada 2 April 1979 sehingga 18 Mac 2005 di saluran TV Asahi. Siri telah ditayangkan sebanyak 1787 buah episod dan menjadi sebagai salah satu anime dengan episod paling banyak di Jepun.
Anime Doraemon juga disiarkan dengan alih suara Malaysia yang menampilkan Ruhaiyah Ibrahim sebagai pelakon suara watak Doraemon. Di Malaysia, siri Doraemon mula-mula disiarkan menerusi di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak tahun 1988 lalu berpindah ke ntv7 pada Januari 2003.
Nintama Rantarō (2473 episod)
Nintama Rantarou merupakan siri anime yang diterbitkan oleh syarikat NHK bagi program pendidikan dan hiburan kanak-kanak Jepun. Ceritanya berasaskan dari manga bertajuk “Rakudai Ninja Rantarou” (Kegagalan Ninja Rantarou) oleh Amako Soubee. Ia mula muncul pada tahun 1993 dan masih ditayangkan sehingga hari ini dengan sebanyak 2245 jumlah episod. Plot setiap episod sering berkisar tentang Rantarou dan rakan-rakannya yang cuba untuk menyelesaikan semua masalah bagi sesiapa yang mereka jumpa.
Di Malaysia, anime ini lebih dikenali sebagai “Ninja Boys” atau Ninja Boy Rantaro dan pernah ditayangkan di TV2, ntv7 dan Astro Ceria. Nintama Rantarō merupakan anime terpanjang di saluran NHK dan siri anime kedua terpanjang sepanjang sejarah.
Maka, tamatlah senarai saya bagi “anime panjang yang mengambil masa berzaman untuk tonton sehingga habis!” Apa pendapat anda? Anime mana yang pernah menghiasi zaman kanak-kanak anda? Jom kongsikan dengan saya di ruang komen! Untuk segala liputan kami tentang anime, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post