Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melihat banyak laptop gaming yang nipis dipasarkan oleh pelbagai syarikat. Acer mengikuti trend ini dan memperkenalkan sebuah peranti premium yang sama nipis iaitu Triton 500. Sekiranya anda tidak suka komputer riba yang terlalu besar, dan berat , maka Triton 500 mungkin sesuai untuk anda. Inilah ulasan saya.
Penampilan
Dengan Acer Predator Triton 500, Acer pada dasarnya ingin menjadi yang paling nipis dan terbaik. Apa yang menjadikan Triton 500 menarik adalah ia direka untuk kekal kuat tanpa kehilangan kuasa walaupun mempunyai reka benuk nipis. Triton 500 mempunyai casis logam berwarna ‘abyssal black’ dan model yang kami uji amat menonjol dengan beberapa pencahayaan biru di logo Predator, lubang udara dan kekunci WASD.
Papan kekuncinya agak senyap dan selesa untuk digunakan semasa menaip atau semasa sesi permainan. Ia berfungsi dengan baik di bawah tekanan dan bertindak balas mengikut kepantasan yang sepatutnya. Daripada segi lampu RGB di papan kekunci, Triton 500 tidak begitu maju atau fleksibel seperti laptop gaming lain di mana ia terbahagi kepada tiga zon. Anda boleh memilih daripada pelbagai kesan pencahayaan asas, tetapi sejujurnya, tidak ada apa-apa yang mengagumkan di sini.
Paparan & sambungan I/O
Acer telah memasukkan panel IPS 1080p 144Hz berukuran 15.6 inci dengan nisbah skrin-ke-tubuh sebanyak 81.3%. Hasilnya adalah sebuah komputer riba nipis yang terasa jauh lebih besar (daripada segi ruang skrin). Warna di dalam paparan cukup menonjol, dan ia menawarkan sudut pandangan yang baik dan cukup terang untuk dilihat daripada luar.
Satu bahagian yang Acer Predator Triton 500 tidak mengecewakan adalah di sambungan I/O. Di sebelah kanan, anda mempunyai 2x USB 3.1, 1x port Thunderbolt 3, 1x mini DisplayPort 1.4 dan 1x Kensington Lock. Itu sudah cukup untuk menyambungkan beberapa monitor dan satu tetikus. Di sebelah kiri, anda mempunyai port USB 3.1, 1x port HDMI 2.0, Ethernet dan jek untuk headset, mikrofon dan pengecas.
Prestasi
Seperti yang anda jangkakan pada harga ini, Acer Predator Triton 500 adalah mesin yang terlebih daripada mampu. Siri GPU Nvidia terkini bermaksud anda mempunyai keupayaan untuk bermain game AAA dan ray tracing pada tetapan maksimum.
Di dalam, Triton 500 dilengkapi dengan CPU Intel Core i5-9300H, 16GB RAM DDR4 , 512GB SSD, dan Nvidia GeForce RTX 2060. Saya yakin bahawa spesifikasi di atas mampu menjalankan kebanyakan game terbaru pada tetapan ultra. Satu perkara lagi yang bagus adalah storan NVMe SSD yang bertindak sebagai storan utama. Satu-satu kelemahannya ialah saiz hanya 512GB dan ini memang cukup pantas untuk penuh jika anda mempunyai perpustakaan game yang besar. Baiklah! Mari kita lihat keputusan benchmark dan game yang diuji:
PCMARK 10
3D MARK
CINEBENCH R20
Valorant
Monster Hunter World
Grand Theft Auto 5
Ia berjaya menangani semua game di atas tanpa sebarang masalah khusus. Walaupun ray-tracing dan DLSS diaktifkan di Monster Hunter World dan Grand Theft Auto V, Triton 500 masih kekal atas 60FPS secara konsisten dan visualnya memang memuaskan. Pada game lain yang kurang intensif daripada segi visual seperti Valorant, ia berjaya mencapai hingga 90 ke 144FPS. Seperti yang anda lihat pada benchmark di atas, Triton 500 menghasilkan rata-rata 60FPS dan mencapai skor atas purata. Anda harus ingat! Ini bukan laptop gaming super dan saya sendiri pun terkejut melihat keputusan kerana menganggap markahnya ialah lebih rendah.
Bahagian yang sering mempunyai masalah oleh komputer riba nipis adalah pada aspek penyejukan. Rangka yang padat selalunya memberi ruang yang kecil untuk kipas dan aliran udara namun pengalaman saya bersama Triton 500 menunjukkan bahawa ia masih boleh berfungsi dengan baik. Walaupun masih panas di bahagian bawah ketika bermain atau membuat tugas berat seperti rendering, Triton 500 tidak menjadi terlalu panas sehingga membuat saya tidak selesa.
Bunyi kipas juga tidak terlalu menjengkelkan. Jika digunakan pada mod biasa, bunyi pun saya tidak sedar. Anda boleh tingkatkan kuasa pada kipas untuk mengeluarkan potensi sepenuhnya, tetapi saya beri amaran. Di sini, ia mula bising, dan mungkin anda memerlukan headset untuk menapis bunyi kipas.
Bateri
Satu-satunya kelemahan di sini ialah jangka hayat bateri. Saya mendapati bahawa baterinya yang 5400mAh hanya mampu menghidupkan Triton 500 selama tiga atau empat jam – dan itu pun, saya aktifkan mod pengoptimuman bateri, dengan mematikan lampu RGB dan menetapkan kecerahan skrin kepada minimum. Anda perlu mengecas untuk bermain permainan video dan jangan lupa untuk membawa kabel kuasa jika ingin menggunakan peranti ini di luar.
Perisian
Selain keseluruhan estetika reka bentuk dan kekuatan perkakasan, terdapat beberapa perkara yang menarik tentang perisian. Salah satunya ialah PredatorSense, yang memberi kuasa dan kawalan pada kipas, pencahayaan papan kekunci, menjaga prestasi monitor dan banyak lagi. Ia dapat dilancarkan dengan cepat melalui butang di sebelah kanan papan kekunci atau melalui Windows.
Ciri paling menonjol ialah pada tetapan ‘Overclocking‘ dan ia direka untuk memberi peningkatan yang cepat dan mudah untuk menguatkan prestasi kipas dan perkakasan. Butang Turbo di atas kiri papan kekunci dapat diklik untuk mengaktifkan mod overclocking ini. Jika anda ingin mengubah tetapan, pergi ke PredatorSense dan mengubah suai mengikut keinginan anda.
Anda juga boleh melancarkan sistem Waves MaxxAudio, yang membolehkan pengguna mengubah kelantangan pembesar suara dan memilih daripada pelbagai profile audio. Apabila anda memasang headset dan menghidupkan fitur ‘camera tracking‘, ia menggunakan webcam Triton 500 untuk menghidupkan Waves NX yang boleh menyampaikan “audio 3D“. Kamera mengesan pergerakan kepala anda dan mengubah suai audio untuk memberi sebuah pengalaman alam maya 3D.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, agak susah untuk mencari kekurangan Triton 500. Ini adalah mesin gaming yang sangat bagus dengan beberapa fitur yang hebat, pembesar suara yang berkualiti tinggi dan kekuatan yang tinggi pada perkakasan.
Saya mungkin lebih suka produk ini jika papan kekuncinya lebih canggih dan boleh diubah suai, tetapi Triton 500 adalah satu gaming laptop yang mantap pada harga RM6,399. Skrin 144Hz-nya cukup menakjubkan dan ia sendiri sangat selesa dan mudah untuk digunakan di mana sahaja selagi anda dekat dengan soket kuasa. Ingin sesuatu yang nipis dan ringan untuk dibawa tetapi masih kuat untuk tugas-tugas yang berat? Pilihlah Predator Triton. Maka, tamatlah ulasan ini. Jika anda berminat, layari laman web rasmi Predator untuk maklumat lanjut.
@gamersantaimy
Discussion about this post