Sekiranya anda mencari PC baru, ia mestilah cemerlang dan meningkatkan pengalaman gaming dan produktiviti. Dicipta oleh Acer, Orion 3000 (Predator PO3-620) dan Predator XB253QGZ adalah produk terbaru yang boleh masuk “wishlist” anda. Predator Orion 3000 sangat sesuai untuk gamers PC yang tidak mempunyai masa atau minat untuk mengumpul satu-satu perkakasan seperti pemproses dan grafik bagi memainkan permainan video kegemaran mereka manakala Predator XB253QGZ adalah untuk mereka yang mahu pengalaman terbaik dalam aspek paparan. Kami dijemput oleh Acer untuk mencuba dua produk terbaru ini, dan saya akan jelaskan tentang Orion 3000 terlebih dahulu.
Orion 3000
Saya menjaminkan bahawa Orion 3000 mempunyai kuasa untuk menyelesaikan setiap tugas, dengan pemproses dan kad grafik yang cukup kuat untuk melancarkan permainan video terkini. Acer Predator Orion 3000 kecil, tetapi dipenuhi dengan komponen-komponen yang mantap. Pilihan tersebut termasuk kad grafik GeForce RTX 2060 Super yang boleh pergi hingga RTX 2070 Super dan Intel Core i7-10700H CPU @2.90GHz. Itu sudah terlebih daripada cukup untuk membolehkan kesan visual yang hebat pada resolusi 4K.
Penampilan
Reka bentuk casis Orion 3000 amat berbeza dengan PC gaming lain di pasaran, di mana ia seimbang antara “simple” dan “gaming”. Ia memiliki muka depan bertekstur yang menyala dengan dua LED biru yang terletak di depan, lampu di belakang kipas casis depan dan butang kuasa segitiga di bahagian atas. Satu penambahan baru yang kita boleh lihat ialah Orion 3000 baru kini mempunyai panel kaca di sisi. Ciri ini tidak hadir di versi lama dan mungkin Acer ingin wajah baru untuk pilihan desktop mereka.
Jika anda bermain permainan video atau mendengar muzik dengan menggunakan headset, Orion memiliki satu ciri menarik. Di bahagian depan, anda boleh menarik pemegang headset jatuh untuk menggantungkan periferal apabila tidak digunakan. Ini bantu menjimatkan ruang meja dan tidak bersepah.
Predator Orion 3000 mungkin kelihatan kecil, tetapi ia sama kuat dengan mana-mana desktop yang lebih besar. Itu termasuk pilihan yang besar untuk menghubungkan periferal kegemaran anda. Di belakang, Orion menyokong HDMI, tiga penyambung DisplayPort, empat port USB-A 2.0, dua USB-A 3.1 Gen 1, port USB-C, port Ethernet RJ-45, dan port input/output audio. Di bahagian depan, ia mempunyai port USB-C, port USB-A, dan jek speaker/mikrofon.
Prestasi
Orion 3000 yang kami uji ini dilengkapi dengan memori GeForce RTX 2060 Super, Intel Core i7-10700H CPU @2.90GHz bersama 8GB DDR4, dengan 256GB SSD serta hard disk 1TB untuk gamers sekalian. RTX 2060 Super adalah kad grafik yang baik untuk permainan 4K, dan membolehkan anda memainkan sejumlah game yang mempunyai Ray Tracing. Saya tidak ingin cakap panjang, jadi mari lihat game-test di bawah:
Keputusan di atas hanya menunjukkan sebahagian daripada kemampuan Orion 3000. Permainan video dengan grafik seperti Doom dan Rainbow Six Siege dapat dimainkan pada tetapan maksimum tanpa sebarang masalah. Walaupun mengaktifkan V-Sync, anti-aliasing tertinggi, resolusi FHD, dan lain-lain, setiap permainan masih berjalan dengan lancar. Saya tidak berpeluang untuk membuktikan teori ini tetapi saya yakin Orion 3000 boleh bermain permainan video dengan grafik yang lebih kompleks seperti Battlefield V atau Assassin’s Creed Odyssey.
Bagi kebanyakan gamers, prestasi RTX 2060 Super yang kuat dalam resolusi 1080p atau 1440p untuk pelbagai permainan video lain sudah lebih daripada mencukupi. Gamer yang melampau boleh menguji lagi prestasi dengan bermain permainan 4K pada tetapan tertinggi, tetapi pastikan anda mempunyai monitor yang mampu menyokong tetapan ini. (mungkin Predator XB3?)
Walaupun dipasarkan sebagai sistem permainan video, Orion 3000 juga dapat berfungsi sebagai sebuah “workstation” untuk tugas kreatif yang intensif pada GPU. Sekiranya memerlukan “workstation” berkebolehan untuk menjalankan pekerjaan kreatif, Orion 3000 sangat mampu untuk penyuntingan foto, penghasilan video dan “rendering” yang pantas.
Pendapat
Ini menunjukkan bahawa barisan “desktop gaming” Acer telah mencapai satu tahap yang bagus, dengan reka bentuk dan spesifikasi serba boleh. Predator baru semestinya patut dipertimbangkan jika anda sedang mencari sebuah gaming PC baru.
Walaupun Predator Orion 3000 tidak memecahkan apa-apa rekod besar, nilai sebenarnya ialah untuk prestasinya yang mantap dalam gaming yang pasti akan memenuhi permintaan dan citarasa setiap gamer – tidak kisah casual atau tegar.
Predator XB253QGZ
Mari kita teruskan ke sebuah lagi produk yang sangat istimewa di dalam senarai ujian saya iaitu Predator XB253QGZ. Ia adalah monitor 25″ inci dengan refresh rate 240 Hz yang sangat tinggi dengan response time serendah 1 ms. Secara keseluruhan, ini adalah spesifikasi yang bagus untuk bermain permainan video pada tahun 2020. Dengan sokongan G-Sync, mari kita lihat bagaimana monitor ini benar-benar berfungsi.
Penampilan
Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ketika melihat monitor adalah betapa agresif dan garang reka bentuknya terutama Stand-nya yang berdiri dengan tiga kaki. Nasib baiklah monitor yang berat ini boleh mengubah posisi menggunakan mekanisme laras. Ia boleh berubah ketinggian, kecondongan (dari -5 hingga 20 darjah), berputar (20 darjah ke setiap sisi), dan akhirnya – berpusing. Selain itu, engsel menawarkan pivot 90 darjah ke setiap sisi. Selain itu, ia juga miliki laras gantung headset di bahagian belakang.
Hampir semua sambungan I/O diletakkan di bahagian belakang. Di sana anda akan jumpa pengecas kuasa, dua penyambung HDMI, satu DisplayPort, bicu audio, port USB Type-B, serta dua soket USB Type-A. Di sebelah kiri, anda akan temu dua port USB Type-A.
Kualiti paparan & RGB LightSense
Predator XB253QGZ dilengkapi dengan panel jenis IPS, refresh rate maksimum 240 Hz, dan response time serendah 1 ms. Itulah fokus utama saya di sini. Butiran di skrin sangat teliti dengan warna dan ketajaman yang benar-benar menonjol serta mempunyai kualiti setaraf dengan mana-mana monitor 4K lain.
Dengan resfresh rate 240Hz, response time 0.5 ms, dan teknologi Nvidia G-Sync, frame rate yang diberi sangat licin dan lancar. Bagi pemain yang kompetitif, saya jamin anda tidak akan ketinggalan semasa bermain permainan multiplayer seperti Valorant dengan response time 0.5ms. Walaupun monitor ini sudah hebat, sekiranya anda tidak mempunyai sekurang-kurangnya GPU Nvidia GeForce GTX 1080, anda tidak akan memanfaatkan sepenuhnya kemampuan refresh rate 240 Hz milik Predator XB253QGZ.
Seperti yang anda lihat pada panel bawah, ia menempatkan sejalur lampu RGB yang dapat dikendalikan. Terdapat sembilan warna dengan 4 mod berbeza. Mod Basic Sync adalah tetapan ‘default’ untuk semua peranti yang serasi. Dengan mod Music Sync, aplikasi ini mengesan irama dan kelantangan muzik, filem, atau permainan anda dan mengubah warna dan kesan pencahayaan yang sesuai. Mod Screen Sync meniru warna yang muncul di paparan anda dan perlahan-lahan menyebar ke periferal anda, untuk memberi aliran warna dan kesan semula jadi yang organik. Mod Game Sync pula memberi anda pengalaman permainan yang mendalam dengan menyatukan corak pencahayaan mengikut peristiwa dalam permainan. Yang tinggal hanya untuk anda nikmati saja.
Pendapat
Secara keseluruhan, Predator XB253QGZ terbukti ialah satu monitor yang canggih. Ia mempunyai panel IPS yang sangat pantas, dan bagus daripada segi ‘refresh rate’ dan response time. Mengikut ukuran, monitor ini cukup besar untuk diletakkan di mana-mana meja kerja tajam dan merangkumi lebih dari 100% sRGB. Ini ialah aspek “penting” untuk gamers, kerana menghasilkan gambar yang jelas dan tajam. Untuk maklumat anda, ini bukanlah monitor yang murah tetapi menurut pandangan saya, memberikan hampir semua perkara yang anda perlukan.
@gamersantaimy
Discussion about this post