Electronic Arts, Respawn Entertainment, dan pembangun Bit Reactor telah mengumumkan bahawa game single-player turn-based tactics Star Wars Zero Company akan dilancarkan pada 27 Ogos 2026. Game ini akan tersedia untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store.
Pengumuman ini dibuat bersama trailer gameplay baharu di acara Summer Game Fest. Bit Reactor, sebuah studio yang diasaskan oleh pencipta utama di sebalik francais XCOM dan Civilization, bekerjasama dengan Respawn (Star Wars Jedi: Survivor) untuk membawakan sebuah jalan cerita yang lebih gelap berlatarkan era penghujung Clone Wars.
Dalam Zero Company, pemain akan memegang watak Hawks, bekas pegawai Galactic Republic yang mengetuai sebuah pasukan tentera upahan profesional. Kumpulan anda terdiri daripada pelbagai watak tersisih di galaksi: antaranya termasuklah seorang Clone Trooper, seorang Mandalorian daripada Clan Verminoth, dan seorang Jedi Padawan. Bersama, mereka ditugaskan untuk mencari dan menghalang Kundri Fathom, ketua kumpulan ajaran sesat berbahaya yang bersekutu dengan pihak Separatist, dikenali sebagai Infinite Coil.

Walaupun ramai yang menggelar game ini sebagai “Star Wars XCOM,” maklumat awal menunjukkan ia menawarkan elemen role-playing (RPG) yang jauh lebih mendalam. Di antara misi-misi yang mencabar, game ini akan beralih kepada perspektif penerokaan third-person. Dari pangkalan operasi rahsia yang dikenali sebagai “The Den”, anda boleh berjalan secara fizikal, berinteraksi dengan skuad, merekrut ejen baharu, menaik taraf fasiliti, membeli kelengkapan, dan merancang langkah seterusnya di meja holografik.

Apabila berada di medan pertempuran, gameplay akan kembali kepada sistem taktikal turn-based berasaskan grid, di mana aspek kedudukan dan perlindungan amat penting. Kejayaan bergantung kepada abiliti unik ahli skuad anda. Sebagai contoh, pemain boleh menggunakan kebolehan Force Pull daripada seorang Jedi Padawan untuk menarik droid ke arah bahan letupan berbahaya, lantas membuka ruang bagi sniper Mandalorian untuk menghapuskan baki musuh yang tinggal.
Apa yang penting, pihak pembangun telah mengesahkan bahawa Zero Company membawakan ciri permadeath.

Ciri customization watak turut merupakan elemen besar dalam pengalaman game ini. Apabila merekrut Operator baharu untuk bertarung bersama Hawks, pemain boleh membina skuad mereka daripada lapan spesies Star Wars yang berbeza:
- Devaronian
- Manusia
- Neimoidian
- Ovissian
- Togruta
- Twi’lek
- Weequay
- Zabrak
Pemain boleh mengubah suai suara, pakaian, specialization, talent, dan rupa fizikal ahli skuad mereka. Apabila Operator ini dihantar menjalankan misi bersama-sama, mereka akan membina hubungan erat di medan lawan, lalu membuka abiliti sokongan aktif serta peningkatan status pasif melalui cross-training.

Skuad anda akan meneroka peta galaksi yang menampilkan lebih daripada 150 buah planet. Menurut EA, keputusan yang dibuat oleh pemain pada peta ini akan mempengaruhi bagaimana kempen berkembang, memastikan tiada sesi playthrough akan sama.
Star Wars Zero Company sedia untuk dipra-tempah di semua platform sebelum pelancarannya pada 27 Ogos 2026.









Discussion about this post