Permainan bersifat “city-building” atau “building simulator” adalah sesuatu yang seronok dan santai, tetapi apabila pengalaman itu dipindahkan ke langit, ia terasa lebih ajaib dan unik. Airborne Kingdom oleh studio The Wandering Band mengambil elemen “city-building” dan gameplay strategi lalu menggabungkannya menjadi satu.
Bandar kita adalah kerajaan di langit, dan pemain harus terbang ke seluruh dunia demi mencari sumber dan pekerja bagi mengembangkan kubu awan anda. Bakal dilancarkan di PC melalui Epic Games Store, saya ingin menjelaskan serba sedikit tentang Airborne Kingdom, yang mengagumkan saya daripada segi imaginasi dan skala dunia. Mari kita mulakan ulasan ini!
Misi mengembalikan Tamadun Manusia
Pemain akan mengendalikan sekumpulan pengembara berani yang terjumpa bekas mesin terbang daripada sebuah tamadun kuno. Dengan sumber makin berkurangan, mereka memilih untuk pergi ke langit untuk mencari makanan, air, sumber, rakan-rakan dan tamadun lain. Pemain akan memandu kerajaan mereka di sekitar peta luas sambil membina bandar mereka dan menguruskan tenaga kerja dan sumber daya. Peta itu sendiri dibentangkan secara jubin-jubin (tile). Susuan peta pula dihasilkan secara prosedural, lantas membolehkan Airborne Kingdom mengikuti standard reka bentuk yang tinggi sambil mengalukan unsur “replayability“. Beberapa alam persekitaran juga ditambahkan, termasuk hutan, lautan, gunung, gurun dan tundra.
Setelah menyelesaikan bahagian tutorial, pemain akan berhadapan dengan jalan cerita, di mana misi anda adalah untuk menyatukan semua kerajaan yang hilang, dan hampir pupus. Beberapa kerajaan memiliki simpanan mineral yang besar manakala yang lain mempunyai bekalan air, tetapi kerana landskap mengalami banyak perubahan, laluan perdagangan kini menjadi terlalu bahaya untuk sesiapa merentasi.
Tidak ada peperangan yang berlau dalam permainan ini; sebaliknya, pemain perlu menyelesaikan misi untuk membina laluan peradangan bagi kerajaan jiran. Apabila tiba di sebuah kerajaan, pemain akan disambut oleh wakil atau pemimpinnya sendiri dan melihat beberapa dialog. Dari apa yang saya main, dialognya tidak terlalu banyak, tetapi ditulis dengan baik. Kawasan padang pasir menerapkan budaya Arab dan kita boleh lihat setiap budaya dan gaya berubah mengikut persekitaraan di peta.
Bina Empayar anda untuk Umat Sejagat
Bagi gameplay asas Airborne Kingdom, anda harus menjelajah dunia demi mencari sumber dan peninggalan sambil mengembangkan bandar dan memperoleh kerjasama daripada 15 kerajaan. Sepanjang perjalanan ini, dapatkan lah kepuasan sendiri apabila melihat tamadun terapung anda berkembang.
Airborne Kingdom memikat hati saya dengan kecantikannya, di mana dunia kelihatan seperti peta, dengan nama-nama bandar dan lokasi-lokasi menarik tersebar di sekitar. Kemudian, kita ada bandar terapung kesayangan. Tugas utama kita adalah untuk mengembangkan bandar comel ini kepada sebuah empayar. Oleh kerana bandar kita terapung di langit, setiap bangunan baru harus dihubungkan dengan infrastruktur lain, tidak kira sama ada bangunan atau jalan.
Setiap penduduk memerlukan rumah. Itu adalah perkara biasa untuk genre permainan ini, tetapi ia bertambah menarik apabila kita harus mendirikan rumah di langit. Sudah tentu, kita memerlukan sumber untuk mendirikan rumah, tetapi pemain juga perlu bimbang tentang keseimbangan keseluruhan. Sekiranya anda mendirikan terlalu banyak infrastruktur di satu sisi, kerajaan kita akan mula bercondong atau senget. Ini akan menghasilkan penduduk yang tidak gembira, lantas membuat permainan lebih sukar untuk merekrut penduduk baru. Bandar kita sendiri tidak akan pernah jatuh walaupun terlalu condong, tetapi menjadikannya sukar untuk kembang dan kekal produktif.
Seterusnya, kita harus mendapatkan sumber untuk mendirikan bangunan-bangunan seperti rumah. Oleh kerana bandar ini berada di langit, anda tidak boleh menghantar pekerja ke darat seperti biasa. Sebaliknya, kita akan membina hangar, yang mengandungi pesawat-pesawat kecil untuk mencapai sumber di tanah. Satu aspek yang penting di Airborne Kingdom adalah ia memberi kebebasan untuk pemain menjelajah dunia untuk mencari sumber-sumber penting seperti kayu dan arang batu. Semasa anda berusaha mencari sumber tersebut, kita mungkin ingin membina bandar lebih dekat supaya pekerja tidak perlu berulang-alik dengan jauh.
Sumber juga bukanlah hanya untuk membina sahaja. Arang batu amat penting untuk memastikan bandar sentiasa terapung. Oleh itu, anda perlu tahu berapa banyak arang batu yang ada semasa meneroka atau mengumpulkan bahan lain. Tahap keperluan kita pada arang batu boleh berubah bergantung pada teknologi apa yang dibina. Sebagai contoh, belon tidak memerlukan arang batu. Anda juga boleh membina sayap yang boleh digunakan oleh penduduk, jadi kita menggunakan keseluruhan populasi sebagai sumber dan bukannya arang batu. Tetapi jika anda bergantung pada “propeller” dan jet untuk memastikan bandar sentiasa di udara, anda memang memerlukan jumlah arang batu yang banyak.
Sekiranya sebuah kerajaan sangat memerlukan sejenis sumber, misalnya air, mereka mungkin ingin bersekutu dengan bandar terapung anda untuk meminta bekalan air. Ada yang mungkin dibebani dengan terlalu banyak makanan dan boleh menjualnya kepada kita pada harga yang murah. Makanan ini pula dapat diberi ke kerajaan lain yang lebih memerlukannya. Sekali lagi saya ingatkan, pengaturan kerajaan berubah dengan setiap playthrough, jadi jangan terlalu menghafal lokasi setiap sumber tertentu. Setelah bersekutu dengan sebuah kerajaan, beberapa penduduk kerajaan itu akan menyertai kerajaan anda untuk menambah jumlah penduduk. Seperti di kebanyakkan permainan “city-builder“, penduduk mempunyai meter kebahagiaan, dan memastikannya sentiasa tinggi adalah cara terbaik untuk memastikan penduduk baru tertarik dengan kerajaan anda.
Pendapat
Secara keseluruhannya, Airborne Kingdom agak menyerlah berbanding permainan “city-builder” lain kerana dedikasinya kepada sesuatu yang unik sebagai bandar terapung. Menguruskan ketinggian dan keseimbangan bandar adalah dua faktor yang sangat menarik untuk dibawa ke genre seperti ini. Saya juga amat kagum dengan dedikasi mereka ketika menulis jalan cerita kerana permainan lain dalam genre tidak akan menambah unsur ini.
Pemain yang suka elemen eksplorasi dan pengurusan pasti akan menyukai Airborne Kingdom. Jika anda berminat, dapatkan sekarang di PC melalui Epic Games Store sekarang. Itu sahaja untuk ulasan ini! Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
Gameplay
@gamersantaimy
The Review
Airborne Kingdom
Secara keseluruhannya, Airborne Kingdom agak menyerlah berbanding permainan "city-builder" lain kerana dedikasinya kepada sesuatu yang unik sebagai bandar terapung. Menguruskan ketinggian dan keseimbangan bandar adalah dua faktor yang sangat menarik untuk dibawa ke genre seperti ini.
Discussion about this post