Bagi mereka yang tidak tahu, anime Naruto ini mengisahkan seorang hero shinobi bernama Uzumaki Naruto yang inginkan pengiktirafan daripada semua orang diseluruh kampungnya dan mempunyai impian untuk menjadi Hokage. Sempena ulang tahun ke 20 Naruto, mari saya kongsikan kisah Uzumaki Naruto ini dari awal hingga bagaimana dia berjaya menjadi hero.
Pada 12 tahun lalu, seekor musang berekor sembilan iaitu Kyuubi telah menyerang Kampung Konoha lalu mengakibatkan suasana menjadi huru-hara dan menyebabkan ramai penduduk kampung terkorban. Namun, kejadian itu berjaya dihentikan oleh Hokage Keempat yang bernama Namikaze Minato dan beliau bertindak menggunakan jutsu terlarang untuk mengunci Kyuubi ke dalam tubuh anaknya, Uzumaki Naruto.
Sebaik sahaja berjaya mengurung Kyuubi, pada saat-saat akhir sebelum Kyuubi dikunci sepenuhnya, musang berekor sembilan tersebut berjaya menusuk perut Minato dan isterinya Kushina hingga menyebabkan mereka berdua meninggal dunia tanpa sempat melihat Naruto membesar.
Selepas 12 tahun, Naruto telah membesar dan menjadi budak paling nakal di kampung. Keadaan ini berubah apabila dia menamatkan pengajian di Akademi Ninja dengan menggunakan Kage Bunshin no Jutsu untuk menyelamatkan Cikgu Iruka daripada serangan Mizuki.
Naruto berjaya masuk ke dalam Team 7 bersama Haruno Sakura, Uchiha Sasuke dan diketuai oleh Hatake Kakashi. Misi pertama mereka adalah mengiring Tazuna ke Nami no Kuni yang dinilai pada tahap C tetapi berubah ke tahap A apabila mereka berlawan dengan Zabuza dan Haku.
Semasa Ujian Chunin, musuh utama Kampung Konoha iaitu Orochimaru, (salah seorang Three Sannin) telah mengganggu ujian tersebut. Hokage ketiga mengalahkan Orochimaru tetapi malang sekali dia tumpas.
Selepas kematian Hokage Ketiga, Naruto dikenalkan dengan Jiraiya, (salah seorang Three Sannin) dan mengembara bersamanya untuk mencari Tsunade dan menjadikannya Hokage kelima. Sepanjang pengembaraan mereka, Jiraiya telah mengajar Naruto jutsu Kuchiyose dan teknik yang dicipta oleh Hokage keempat iaitu Rasengan.
Setelah berjaya membawa Tsunade pulang dan menjadi Hokage kelima, Sasuke telah dihasut oleh pengikut Orochimaru untuk menyertainya dan meninggalkan Kampung Konoha. Naruto bersama-sama Kiba, Neji, Shikamaru dan Choji telah diberikan misi untuk membawa Sasuke balik ke Kampung Konoha dan namun mereka gagal. Naruto berazam untuk berlatih bersungguh-sungguh dan menjadi lebih kuat dibawah bimbingan Jiraiya.
Dua setengah tahun kemudian, Naruto kembali ke Kampung Konoha selepas selesai latihan bersama Jiraiya. Organisasi Akatsuki yang diketuai oleh Uchiha Obito telah mula menculik hos Jinchuriki yang menyimpan raksasa berekor yang kuat, Naruto juga tidak terkecuali dalam pemburuan organisasi ini.
Beberapa ninja daripada Konoha, termasuk Team 7, berlawan dengan anggota Akatsuki dan mencari rakan sepasukan lama mereka, Sasuke. Akatsuki berjaya menangkap sejumlah Bijuu dan Jinchuriki mereka telah mati ketika proses mengeluarkannya kecuali Gaara dan Killer Bee.
Sasuke telah mengkhianati Orochimaru dan berlawan dengan Itachi untuk membalas dendam. Selepas Itachi mati dalam pertempuran, Sasuke mendengar kisah sebenar tentang Itachi daripada Tobi bahawa Itachi telah diarahkan oleh pemimpin Konoha untuk memusnahkan puak Uchiha untuk mencegah rusuhan daripada berlaku. Sedih selepas dengar sebahagian rahsia abangnya, Sasuke menyertai Akatsuki untuk membalas dendam ke atas pembunuhan kaum Uchiha.
Pain berjaya membunuh Jiraiya, berita ini membuatkan Naruto berasa amat sedih. Beliau mengambil keputusan untuk berlatih di Gunung Myoboku iaitu tempat di mana dia belajar Senjutsu. Ketika sedang berlatih, Pain telah menyerang Kampung Konoha kerana ingin menangkap Naruto.
Setelah berjaya menguasai Senjutsu, Naruto pulang ke Konoha dan mendapati kampungnya sudah hancur kerana perbuatan Pain. Perlawanan yang sengit berlaku di antara Naruto dan Pain tetapi kemenangan berpihak kepada Naruto lalu mencari Nagato yang mengawal Pain dari jarak jauh. Mereka berdebat tentang keamanan dan Nagato mengaku kalah. Sebelum Nagato menghembus nafasnya yang terakhir, dia menggunakan jutsu untuk menghidupkan semula semua penduduk kampung yang mereka bunuh. Naruto kembali ke Konoha dan dipanggil sebagai seorang hero di sana.
Selepas pemergian Nagato, Tobi telah menyamar sebagai Uchiha Madara kerana ingin mendapatkan kesemua Bijuu untuk melaksanakan Genjutsu yang membolehkan dia mengawal semua manusia. Ketua dari lima kampung ninja bergabung tenaga untuk berhadapan dengan Tobi dan sekutu-sekutunya.
Hal ini menyebabkan berlakunya Perang Dunia Ninja ke-4 yang dianggotai seluruh ninja menentang Akatsuki. Naruto dan Killer Bee, telah menuju ke medan perang menolak arahan daripada Tsunade dan Raikage untuk bersembunyi. Semasa peperangan, Tobi telah mendedahkan identiti sebenarnya iaitu Uchiha Obito, bekas rakan sepasukan Kakashi yang sebenarnya telah mati, tetapi diselamatkan oleh Uchiha Madara.
Ketika peperangan sedang berlaku, Sasuke telah belajar sejarah Konoha dari abangnya dan bekas Hokage yang dibangunkan dengan jutsu terlarang Edo Tensei lalu memutuskan untuk melindungi kampung Konoha. Sasuke bergabung kembali dengan Naruto dan Sakura untuk menghentikan rancangan Madara dan Obito.
Setelah Juubi (Ten Tails) dikalahkan, tubuh Madara akhirnya dimiliki oleh Ootsutsuki Kaguya, seorang puteri purba yang berniat untuk menundukkan seluruh umat manusia. Obito mengorbankan dirinya untuk membantu Team 7 yang baru sahaja bersatu kembali untuk menghalang Kaguya.
Kaguya berjaya dikalahkan oleh Team 7, tetapi Sasuke telah memutuskan untuk mengambil kesempatan daripada keadaan ini dan mengawal semua Bijuu untuk musnahkan sistem dunia ninja dan mengenalkan sistem yang baru. Naruto berdepan dengan Sasuke untuk menghalangnya buat kali terakhir dan selepas mereka hampir membunuh antara satu sama lain dalam pertempuran sengit, Sasuke akhirnya mengakui kekalahannya dan berubah.
Selepas peperangan ini, Kakashi dipilih untuk menjadi Hokage Keenam dan memberi pengampunan kepada Sasuke ke atas jenayah lampaunya. Beberapa tahun kemudian, Kakashi memilih bersara daripada jawatan Hokage dan Naruto mengambil alih tempatnya menjadi Hokage Ketujuh.
Begitulah kisah Naruto di dalam anime ini, daripada watak yang tiada apa-apa sehingga menjadi hero kampung sendiri dan menjadi Hokage. Studio Pierrot telah mengeluarkan video animasi yang di naiktaraf di Youtube rasmi mereka:
Jika anda ingin tahu tentang game, anime dan banyak lagi boleh ikuti Gamer Santai.
@gamersantaimy
Discussion about this post