HoYoverse telah mengumumkan tarikh permulaan rasmi untuk ujian beta tertutup pertama game life simulation bertemakan alam kosmik, Petit Planet. Fasa beta yang digelar “Coziness Test” ini akan dilancarkan pada 7 November untuk platform PC dan iOS.
Mereka yang berminat kini dijemput untuk mendaftar di laman web rasmi bagi merebut peluang untuk turut serta.
Game ini, yang asalnya diumumkan pada bulan September, menyajikan pengembaraan yang membolehkan pemain membangunkan planet milik mereka sendiri. Setiap planet boleh diubah suai menjadi sebuah kanvas unik untuk meluahkan kreativiti.
Dalam perjalanan, pemain akan ditemani oleh watak-watak istimewa yang dikenali sebagai “Neighbors” serta sahabat-sahabat lain dari segenap pelosok galaksi.
Gameplay Petit Planet tertumpu pada aktiviti membina dan menguruskan planet peribadi. Pengembaraan setiap pemain bermula di dunia mereka sendiri, yang kemudiannya boleh dihubungkan dengan “Planettes” milik jiran-jiran baharu.
Seiring dengan hubungan yang terjalin, daya hidup planet—dikenali sebagai “Luca”—akan bertambah, seterusnya mencorakkan landskap yang pelbagai rupa dan mengisi planet tersebut dengan semangat kehidupan.
Pemain akan berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti santai, termasuklah berkebun, memancing, mencari barangan berharga di pantai, serta mencipta resipi-resipi baharu.
Sifat ingin tahu bukan sahaja menjadi pendorong kepada aktiviti harian, malah ia turut mengukuhkan lagi persahabatan dengan watak “Neighbors” yang menghuni planet tersebut, di mana setiap daripada mereka mempunyai cerita dan cita-cita tersendiri.
Rakan-rakan ini juga bakal menjadi teman seperjuangan yang boleh diharap ketika pemain melancarkan pengembaraan “Starsea Voyages” ke “Islets” yang belum pernah dijelajahi.
Sebagai langkah sulung HoYoverse dalam genre life simulation, Petit Planet meletakkan fokus utama pada aspek gameplay sosial dan interaksi multiplayer. Dalam ujian “Coziness Test”, pemain akan diperkenalkan kepada “Galactic Bazaar,” sebuah pusat interaksi sosial yang meriah.
Di sini, pemain boleh berkenalan dan membina persahabatan, bersantai sambil menikmati kopi, serta menari bersama-sama dalam minigame.
Menurut HoYoverse, perjalanan dalam dunia Petit Planet ini hanyalah satu permulaan. Pasukan pembangun kini sedang bertungkus-lumus untuk membawa game ini ke lebih banyak platform pada masa hadapan.
Mereka juga komited untuk memperkaya elemen sosialnya demi mewujudkan sebuah pengalaman yang lebih berteraskan komuniti, sekali gus membolehkan para pemain berkongsi pengembaraan mereka dengan lebih mudah.









Discussion about this post