Susulan pengumuman jenama penerbitan baharu baru-baru ini, Toei Games secara rasmi mendedahkan tiga game pertama yang akan menerajui barisan projek permainan video mereka.
Ketiga-tiga game ini sudah pun boleh dimasukkan ke dalam wishlist di Steam, menandakan fasa pertama bagi apa yang dipanggil oleh Toei sebagai “cerita hidup” melalui media interaktif.
Berikut adalah butiran lanjut mengenai tiga projek tersebut:
KILLA – Kill the “La”
Projek pertama, KILLA, merupakan sebuah game 3D mystery adventure yang dibangunkan oleh Black Tangerine. Kisahnya berpusat pada Valhalla, seorang wanita muda yang didorong oleh satu matlamat: mencari pembunuh mentornya. Bagi Valhalla, mentor tersebut bukan sekadar guru, malah merupakan satu-satunya keluarga yang dia miliki.
Misi balas dendamnya membawa Valhalla ke sebuah pulau terpencil yang aneh, di mana kebenaran tersembunyi di sebalik sebuah pentas “indah namun kejam”.
Untuk menyelesaikan misteri ini, pemain perlu menggunakan abiliti “Resonance” milik Valhalla. Mekanik ini membolehkan anda menyelami memori para suspek untuk mengumpul serpihan mimpi mereka.
Di pulau yang penuh rahsia ini, anda harus mengenal pasti siapa sebenarnya watak misteri bergelar “La” di antara penduduk di situ untuk menebus keadilan.
HINO
Beralih ke genre 2D dark fantasy, HINO adalah sebuah pengembaraan penuh atmosfera. Dunia game ini dilukis sepenuhnya menggunakan pen mata bulat oleh artis bernama Yatara, memberikan kesan tekstur buatan tangan yang sangat padan dengan dunianya yang diselubungi bayang-bayang.
Dibangunkan oleh UnGloomStudio, game ini mengikuti perjalanan seorang gadis bernama Hino dan teman uniknya, Monimoni Skeleton.
Bersama, mereka perlu menjelajah dunia yang penuh dengan raksasa menyeramkan dan perangkap berbahaya demi mencari tempat perlindungan yang selamat. Sepanjang pengembaraan ini, pemain akan membongkar kebenaran pahit di sebalik dunia yang gelap ini.
Naratifnya direka untuk bersifat reaktif, di mana setiap pilihan yang anda buat akan menentukan pengakhiran yang bakal dicapai oleh Hino.
DEBUG NEPHEMEE
Pendedahan terakhir adalah DEBUG NEPHEMEE, sebuah game top-down 2D adventure berlatarkan dunia berwarna-warni tetapi penuh ralat yang dipanggil Nepherum. Dalam alam semesta ini, makhluk yang dikenali sebagai Nephemees sedang menderita akibat jangkitan “bug” yang merosakkan personaliti dan memadamkan memori mereka.
Game ini menampilkan sistem combat yang lebih menyerupai teka-teki psikologi berbanding aksi tradisional. Daripada mencederakan lawan, pemain akan “menyerang” dengan menggodam nilai dan falsafah hidup para Nephemee. Dengan meneroka memori dan memahami jati diri mereka, anda akan berusaha untuk “debug” dunia tersebut.
Ia merupakan sebuah perjalanan yang memfokuskan kepada pertemuan dengan pelbagai watak dan usaha mengembalikan identiti mereka yang hilang.
Ketiga-tiga game ini akan dilancarkan di Steam buat masa ini, tetapi anda boleh mendapatkan maklumat lanjut untuk setiap tajuk di laman web rasmi Toei Games.









Discussion about this post