CD Projekt RED mengesahkan bahawa The Witcher IV sedang menyasarkan pelancaran pada tahun 2028. Game open-world RPG ini akan dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC.
Maklumat ini dikongsikan oleh Michał Nowakowski selaku Ketua Pegawai Eksekutif bersama CD Projekt RED. Walaupun peminat perlu menunggu dua tahun lagi untuk bermain game ini, Nowakowski mengesahkan bahawa Ciri akan mengambil alih peranan utama sebagai protagonis bagi saga serba baharu ini.
Lebih daripada 500 pembangun kini sedang giat menghasilkan The Witcher IV di ibu pejabat studio tersebut. Membawa nama kod Project Polaris, judul ini menandakan permulaan sebuah trilogi baharu untuk francais tersebut. Ia juga merupakan game Witcher berskala besar pertama yang dibangunkan menggunakan Unreal Engine 5 daripada Epic Games, beralih daripada enjin proprietari mereka (REDengine) bagi meningkatkan prestasi open-world dan kualiti visual.
“The Witcher IV membawa dunia open-world yang luas dan immersive, gameplay penuh aksi yang hebat, serta jalan cerita mendalam dan berimpak tinggi yang kami harap akan kekal dalam ingatan anda. Senang kata, ini adalah game terbesar, paling berani, dan paling bercita-cita tinggi pernah kami hasilkan setakat ini,” kata Nowakowski.
Mengulas tentang jadual pelancaran, Nowakowski meminta para peminat untuk bersabar sementara proses pembangunan diteruskan.
“Saya tahu anda semua tidak sabar untuk tahu bila ia akan tiba… Walaupun kami tidak akan menunjukkan The Witcher IV di acara ini (gamescom 2026) dan belum bersedia untuk berkongsi tarikh rasmi, ini yang boleh saya beritahu: The Witcher IV sasarkan tempoh pelancaran pada tahun 2028. Saya faham penantian ini agak lama dan anda mahu memainkannya lebih awal, tetapi berilah ruang kepada pasukan kami untuk menyiapkannya dengan sempurna. Ia pasti berbaloi untuk dinantikan.”








Discussion about this post