GSC Movies dan ODEX telah mengumumkan bahawa filem ke-29 dalam francais ini, Detective Conan: Fallen Angel of the Highway, akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 10 September 2026.
Bagi mereka yang tidak sabar untuk menyaksikan kes ini lebih awal, tayangan eksklusif ODEX Fan Screening telah dijadualkan sebelum tayangan umum, lengkap dengan pelbagai barangan cenderamata edisi terhad untuk para penonton.
- Tarikh & Masa: Sabtu, 5 September 2026, jam 3:00 petang
- Lokasi: GSC LaLaport BBCC, Kuala Lumpur
- Harga Tiket: RM160
Setiap pembelian tiket fan screening bernilai RM160 merangkumi set cenderamata eksklusif filem:
- 1x Baju T Acara (saiz terhad mengikut ketersediaan)
- 1x Lencana Logam Peringatan
- 1x Set Tiket Koleksi (menampilkan 6 reka bentuk watak)
- 1x Kad Ilustrasi A5
- 1x Poster UV A3
Tiket bagi tayangan peminat boleh ditempah melalui laman web rasmi dan aplikasi GSC.
Detective Conan: Fallen Angel of the Highway asalnya ditayangkan di Jepun pada 10 April lalu, susulan teaser di penghujung filem sebelum ini, Detective Conan: One-eyed Flashback.
Diarahkan oleh Takahiro Hasui (Detective Conan: The Black Iron Submarine), filem ke-29 memberi tumpuan utama kepada Chihaya Hagiwara, ketua Kanagawa Prefectural Police Traffic Enforcement Unit yang cukup dikenali dengan gelaran “Goddess of the Wind”.
Kisahnya bermula apabila Conan, Ran, Sonoko, dan Kogoro menuju ke Minato Mirai di Yokohama bagi menghadiri Festival Motosikal Kanagawa bersama peminat tegar motosikal, Masumi Sera.
Perjalanan mereka terganggu apabila sebuah “Motosikal Hitam” misteri meluncur laju dan melompat melepasi bumbung kereta mereka. Chihaya terus mengejar suspek, namun aksi kejar-mengejar tersebut berakhir dengan motosikalnya rosak teruk manakala suspek berjaya melepaskan diri.
Di festival, pihak polis memperkenalkan “Angel”, sebuah motosikal peronda yang dilengkapi teknologi serba canggih. Keadaan bertukar huru-hara tidak lama kemudian apabila motosikal hitam itu muncul semula di Tokyo dan berjaya melarikan diri daripada Polis Metropolitan. Pihak penyiasat mendapati motosikal misteri itu hampir seiras dengan “Angel”, lalu menggelarnya sebagai “Lucifer” the Fallen Angel.
Ketika Conan berusaha membongkar identiti serta motif sebenar pelaku, insiden ini turut menyentuh kenangan silam Chihaya terhadap arwah adiknya, Kenji Hagiwara, serta rakan sekelas dari Police Academy, Jinpei Matsuda.









Discussion about this post