Para pemain bakal berdepan bahaya baharu kerana ZeniMax Online Studios hari ini melancarkan pek dungeon The Elder Scrolls Online: Feast of Shadows dan kemas kini percuma kepada game asas, Update 47, bagi semua pemain PC dan Mac.
Kandungan baharu ini akan tiba di konsol Xbox dan PlayStation pada 3 September 2024.
DLC Feast of Shadows meneruskan saga utama Seasons of the Worm Cult, dengan memperkenalkan dua dungeon PvE empat pemain baharu: Black Gem Foundry dan Naj-Caldeesh.
Terletak jauh di dalam pulau Solstice, dungeon-dungeon ini menugaskan pemain untuk berhadapan dengan necromancer-necromancer jahat dan memusnahkan kilang-kilang pencuri roh.
Kedua-dua dungeon ini menampilkan cerita unik, bos-bos baharu yang mencabar, dan pelbagai ganjaran dalam game, termasuk set item dan barang koleksi baharu. Peristiwa dalam DLC ini akan membina debaran untuk Writhing Wall Event yang akan melibatkan seluruh server, yang dijadualkan tiba pada akhir tahun ini.

Pemain boleh mengakses pek dungeon Feast of Shadows melalui langganan ESO Plus atau dengan membelinya sebagai sebahagian daripada The Elder Scrolls Online 2025 Content Pass atau 2025 Premium Edition.

Turut tiba bersama dungeon baharu ini ialah Update 47, satu kemas kini percuma yang tersedia untuk semua pemain ESO. Tarikan utama kemas kini ini ialah fungsi Mount Swimming, yang membolehkan pemain untuk kekal menunggang haiwan tunggangan mereka semasa merentasi kawasan berair.

Update 47 juga membawakan penambahbaikan quality-of-life yang signifikan. Pemain kini akan mendapati bahawa Survey Reports boleh disusun bertindan, satu perubahan yang amat diperlukan untuk melapangkan ruang inventori yang berharga.
Penambahbaikan lain termasuklah keupayaan untuk memainkan semula dialog misi untuk mengimbas kembali detik-detik penting dalam cerita dan penambahbaikan pada kompas dalam game.
The Elder Scrolls Online: Feast of Shadows dan Update 47 kini tersedia di PC dan Mac. Untuk maklumat lanjut mengenai kandungan baharu ini, layari laman web rasmi ESO.









Discussion about this post