Bandai Namco dan pembangun Dokidoki Grooveworks telah mengumumkan Tales of Xillia Remastered, sebuah versi moden bagi RPG popular tersebut dari tahun 2011.
Game ini akan membuat pelancaran pada 30 Oktober 2025, untuk PlayStation 5, Nintendo Switch, dan Xbox Series X|S. Versi PC pula akan menyusul sehari kemudian, dilancarkan pada hari Jumaat, 31 Oktober 2025, melalui Steam.
Asalnya dilancarkan untuk PlayStation 3, Tales of Xillia Remastered mempelawa pemain baharu dan lama untuk merasai pengalaman penceritaan epik dan sistem combat dinamiknya pada perkakasan generasi terkini buat pertama kalinya.

Game ini berlatarkan Rieze Maxia, sebuah dunia di mana manusia dan roh telah lama hidup bersama dalam keharmonian. Walau bagaimanapun, keamanan ini terancam apabila kerajaan Rashugal yang berkuasa mula menggunakan sebuah peranti misteri yang menyerap mana dunia—sumber utama kehidupan.

Pada permulaan pengembaraan, pemain boleh memilih untuk mengambil peranan sebagai salah seorang daripada dua protagonis: Jude Mathis, seorang pelajar perubatan yang pintar dari ibu kota, atau Milla Maxwell, seorang wanita misteri yang diiringi oleh empat ‘great spirit’.
Bertekad untuk menghentikan kemusnahan, Milla dan Jude memulakan misi yang mencabar untuk menyelamatkan dunia mereka.

Tales of Xillia Remastered menampilkan sistem combat, “Dual Raid Linear Motion Battle System,” yang menawarkan pertempuran aksi secara masa nyata.
Pemain perlu menguasai strategi dan koordinasi, bekerjasama dengan sekutu untuk melancarkan serangan kombo yang dahsyat dan membuka skil sokongan khas untuk menewaskan musuh.

Versi baharu ini didatangkan dengan beberapa kemas kini untuk meningkatkan pengalaman gameplay. Penambahbaikan utama termasuk grafik yang dipertingkat, ciri auto-save, keupayaan untuk mengaktifkan atau mematikan pertembungan dengan musuh, dan akses awal kepada kedai dalam game.
Selain itu, versi remastered ini akan mengandungi koleksi DLC yang dilancarkan bersama game asal, termasuk kostum tambahan, barangan berguna, dan pelbagai lagi kandungan ekstra. Bandai Namco memaklumkan bahawa beberapa kandungan boleh dimuat turun berlesen terpilih tidak akan disertakan dalam keluaran ini.









Discussion about this post