Marvelous bersama pembangun First Studio hari ini telah mengumumkan pelancaran sebuah demo percuma untuk game akan datang, Daemon X Machina: Titanic Scion.
Para pemain kini berpeluang untuk mengalami sendiri aksi sekuel ini di platform PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, serta PC melalui Steam.
Melalui versi ‘free trial’ ini, pemain akan dapat merasai sebahagian besar kandungan awal permainan, merangkumi sembilan bab terawal dalam kempen utama. Semua data demo, termasuk customization watak dan komponen mecha yang telah dikumpul, juga boleh dipindahkan terus ke versi penuh apabila ia dilancarkan nanti.

Demo ini turut memberi peluang kepada pemain untuk mencuba pelbagai ciri gameplay. Pemain boleh meneroka sebuah planet asing yang luas sambil menentang musuh mekanikal dan juga organik.
Antara tarikan utamanya ialah sistem customization sut mecha “Arsenal”, membolehkan pemain mengubahsuainya menggunakan pelbagai komponen dan senjata yang ditemui.
Sistem ini juga ditambah baik dengan mekanik baharu yang dipanggil “Fusion”, yang membenarkan pemain menyerap sifat musuh yang dikalahkan untuk mendapatkan abiliti istimewa.

Aspek co-op turut diberi penekanan, di mana demo ini menyokong mod online sehingga tiga pemain bagi menyelesaikan misi penceritaan dan menentang bos bersama-sama. Ciri cross-platform juga disertakan, memastikan pemain dari platform berbeza boleh membentuk pasukan tanpa sebarang sekatan.

Bagi yang kurang tahu, Daemon X Machina: Titanic Scion merupakan sekuel kepada game aksi mecha yang popular pada tahun 2019. Kisahnya berlatarkan sebuah dunia di mana umat manusia sedang berpecah.
Pemain akan menggalas watak sebagai seorang “Reclaimer”, sebahagian daripada kumpulan “Outers” yang telah berevolusi melampaui keupayaan manusia biasa. Misi mereka adalah untuk menentang puak Axiom yang kejam dalam konflik antara penduduk Ground” dan mereka yang mendiami langit, “Garden”.

Projek ini dikendalikan oleh pasukan pembangunan yang berpengalaman, diketuai oleh penerbit Kenichiro Tsukuda yang dikenali melalui siri Armored Core, serta menampilkan rekaan mecha oleh pereka legenda, Shoji Kawamori, yang masyhur dengan francais Macross.
Game ini akan membuat pelancaran rasminya di pada 5 September 2025. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post