Sega dan Ryu Ga Gotoku (RGG) Studio mengumumkan bahawa game action-adventure Stranger Than Heaven akan dilancarkan pada 15 Januari 2027.
Stranger Than Heaven akan dilancarkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam, Microsoft Store). Game ini juga akan tersedia di Xbox Game Pass pada hari pertama pelancarannya. Tempahan kini telah dibuka.
Selain tarikh pelancaran, pihak pembangun turut berkongsi beberapa pengumuman barisan pelakon yang mengejutkan… paling utama, penampilan mendiang ikon hip-hop terkenal, Tupac Shakur.
Pengembaraan Merentas Jepun Selama 50 Tahun

Stranger Than Heaven merupakan IP baharu daripada pencipta francais Like a Dragon (dahulunya dikenali sebagai Yakuza). Game ini membawakan kisah sejarah sepanjang 50 tahun yang mengisahkan Makoto Daito, seorang pemuda kacukan Jepun-Amerika yang disisihkan dan bergelut untuk mencari hala tuju hidupnya di Jepun.
Jalan cerita membawa pemain ke lima bandar berbeza dalam tempoh lima dekad yang berlainan:
- 1915: Kokura, Fukuoka
- 1929: Kure, Hiroshima
- 1943: Minami, Osaka
- 1951: Atami, Shizuoka
- 1965: Shinjuku, Tokyo
Gameplay membahagikan fokus kepada pertarungan jalanan (di mana pemain mengawal bahagian kiri dan kanan badan Daito secara berasingan) dan juga sistem pengurusan “Showbiz.” Dalam mod Showbiz, pemain akan membantu Daito membina kerjaya muziknya dengan merekrut pemuzik jalanan, mengumpul bunyi-bunyi persekitaran untuk mencipta runut muzik asli, serta menganjurkan persembahan langsung.
Barisan Pelakon Terkenal Bergenerasi
Selepas tayangan trailer di Summer Game Fest 2026, Masayoshi Yokoyama (Ketua RGG Studio) disertai di atas pentas oleh penyanyi rap terkenal Snoop Dogg bersama anaknya, Cordell Broadus, yang kedua-duanya melakonkan watak dalam game ini. Pasangan bapa dan anak ini, yang juga merupakan pengasas bersama Death Row Games, telah membantu memudahkan proses membawa masuk Tupac Shakur sebagai watak bernama Amaru (nama lahir Tupac).

Bagi menjawab sebarang kebimbangan tentang “menghidupkan semula” seseorang secara digital, Sega menjelaskan bahawa wajah dan penampilan Tupac digunakan dengan kebenaran penuh serta di bawah seliaan pemegang amanah hartanya, Amaru Entertainment. RGG Studio menghasilkan model wataknya sepenuhnya tanpa menggunakan AI, sebaliknya bergantung kepada rakaman arkib dan foto lama demi menghormati legasi beliau.
Lagu tema rasmi game ini merupakan hasil kolaborasi yang menampilkan Snoop Dogg, bintang pop Jepun Ado, vokalis Official Hige Dandism Satoshi Fujihara, dan penyanyi-penulis lagu Amerika Tori Kelly… di mana kesemuanya turut menyumbang suara untuk watak-watak dalam game ini.
Barisan pelakon Jepun lain yang turut diumumkan termasuklah Takashi Ukaji, Yasukaze Motomiya, Kohei Tsuji (daripada duo komedi Nippon no Shacho), dan Takaya Kuroda, iaitu pemilik suara bagi Kazuma Kiryu dalam siri Like a Dragon. Selain itu, Ukaji akan menyumbang suara untuk Genzo Iwaki, sebuah watak yang menggunakan penampilan digital pelakon legenda mendiang Bunta Sugawara yang telah meninggal dunia pada tahun 2014.









Discussion about this post