SEGA telah mengumumkan secara rasmi Ujian Beta Tertutup untuk game simulator pengurusan bola sepak, SEGA Football Club Champions.
Game baharu ini, yang dijadualkan untuk keluar di PlayStation 4, PlayStation 5, iOS, Android, dan Steam, akan memberi peluang kepada sebilangan pemain terpilih untuk merasai pengalaman awal game ini pada bulan Ogos nanti.
Sesi Ujian Beta Tertutup ini akan berlangsung dari jam 2:00 petang pada 7 Ogos 2025 sehingga jam 4:00 petang pada 18 Ogos 2025. Ujian pra-pelancaran ini adalah eksklusif untuk pengguna peranti iOS dan Android sahaja.
Peminat bola sepak yang berminat untuk menguruskan kelab impian mereka boleh mula memohon untuk menyertainya sekarang. Pendaftaran akan ditutup pada jam 10:00 pagi, 28 Julai 2025.

Dalam SEGA Football Club Champions, pemain akan memegang peranan sebagai pengurus sebuah kelab bola sepak yang baru ditubuhkan.
Teras gameplay berkisar tentang pencarian bakat (scouting) dan pembangunan pemain-pemain muda, sambil membimbing mereka mengharungi pelbagai cabaran untuk mengubah sebuah skuad amatur tempatan menjadi pasukan gergasi bertaraf dunia.
Pemain bebas memilih kelab yang berpangkalan di bandar kelahiran atau bandar kegemaran mereka untuk memulakan perjalanan epik ke puncak persada bola sepak global.

Game ini menjanjikan tahap keaslian yang tinggi, disokong oleh lesen rasmi daripada Meiji Yasuda J.League yang merangkumi kesemua 60 kelab dari divisyen J1, J2, dan J3. Selain senarai penuh pemain J.League, pemain juga boleh merekrut lebih 5,000 pemain bola sepak sebenar dari liga-liga utama Eropah, FIFPRO, K League, dan banyak lagi.
Sebagai tarikan tambahan, SEGA turut mengumumkan jalinan kerjasama strategik dengan kelab ternama dunia, Manchester City FC.

Untuk maklumat lanjut atau untuk mendaftar bagi Ujian Beta Tertutup, sila layari laman web rasmi SEGA Football Club Champions di: https://segafcchampions.sega.com/en/









Discussion about this post