Sejak pengumuman mengenai adaptasi anime SAND LAND, kami pasti ramai peminat Akira Toriyama tidak sabar untuk menonton satu lagi adaptasi anime daripada mangaka tersebut. Kami berpeluang untuk menonton episod 1-7 untuk SAND LAND: The Series lebih awal! Ini review penuh kami untuknya!
Kalau anda ingin tahu, siri Sand Land merupakan adaptasi manga dengan tajuk yang sama, yang diterbitkan pada Mei 2000 pada majalah Weekly Shonen Jump. Siri ini sudah pun mendapat adaptasi filem anime pada 2023 di Jepun. Walaupun begitu ia tidak ditayangkan di negara luar. Rupa-rupanya filem tersebut diolah semula untuk menjadi siri yang akan ditayangkan di Disney+ Hotstar pada 20 Mac ini!
Bukan setakat itu sahaja, siri anime baharu ini juga mempunyai banyak babak tambahan serta sambungan daripada filem tersebut! Untuk review kali ini, kami diberi peluang untuk menonton episod 1-7, yang merupakan bahagian yang meliputi filem tersebut. Banyak juga babak yang ditambah memandangkan adaptasi filem hanya 1 jam 46 minit.
Berbeza dengan siri shonen yang lain, Sand Land mempunyai penceritaan yang agak santai dan memberikan sebuah kisah pengembaraan yang menyeronokkan antara manusia dan demon.

Kisah mengikuti Sheriff Rao yang berjanji bahawa dia akan mencari kolam air legenda untuk menghentikan krisis air yang sedang berlaku. Apabila dia mendengar berita mengenai demon yang memberikan bantuan air, sheriff tersebut terus ke demon lair untuk bertemu dengan demon tersebut. Selepas bertemu Beelzebub, putera demon dan pembantunya Thief, mereka bertiga akhirnya memulakan perjalanan untuk mencari kolam air tersebut.
Berbeza dengan animasi 2D Jepun yang kita tonton, Sand Land merupakan sebuah animasi 3D CGI yang dihasilkan oleh Sunrise, Kamikaze Douga dan Anima. Agak kagum apabila kami menontonnya kerana animasi tersebut tidak kelihatan pelik langsung malah kalau anda screenshot babak daripada anime tersebut, ia kelihatan seperti animasi 2D biasa. Tidak nampak seperti 3D langsung sekilas pandang.

Semua pergerakan serta percakapan watak lancar sahaja tanpa kelihatan kekok. Tidak pelik juga melihat hasil animasi 3D yang hebat sebegini memandangkan studio yang menghasilkannya mempunyai latar belakang animasi 3D yang hebat. Bukan sahaja watak malah latar belakang anime juga direka semula dalam 3D dengan baik. Daripada padang pasir yang penuh dengan ancaman, oasis yang penuh dengan kehijauan dan empangan besar tentera, dunia yang dihasilkan oleh Toriyama-sensei akhirnya hidup selepas lebih 20 tahun. Bukan setakat itu sahaja, ia juga blend dengan model watak dengan begitu baik.

Tidak dilupakan juga dengan persembahan pelakon-pelakon suara watak seperti Yamaji Kazuhiro sebagai Sheriff Rao yang sangat bertanggungjawab dan Tamura Mutsumi sebagai Beelzebub yang suka bermain game video serta personalitinya yang seakan-akan kanak-kanak. Walaupun mempunyai sikap yang santai, Beelzebub juga mempunyai sisi gelapnya. Sheriff Rao juga mempunyai rasa keadilan yang agak kuat. Melihat latar belakangnya memang masuk akal kenapa dia berkelakuan seperti itu sepanjang siri. Walaupun kedua-dua watak ini susah untuk mempercayai antara satu sama lain pada awal, tetapi semuanya berjalan dengan baik sepanjang pengembaraan mereka.
Ada banyak lagi pendedahan serta rahsia yang akan dibongkarkan mengenai krisis air tersebut. Jadi anda perlu tontonnya nanti apabila ia dikeluarkan di Disney+ Hotstar.

Kesimpulan
Sejujurnya kami memang suka dengan adaptasi Sand Land ini, bukan sahaja ia sebuah adaptasi yang baik malah ia berjaya membuatkan kami berminat dengan pengembaraan mereka dalam mencari kolam air legenda tersebut. Walaupun anda tidak pernah membaca manga, kami pasti anda akan suka dan layan menonton adaptasi ini.
Walaupun hanya tujuh episod yang kami boleh tonton, kami berasa tidak puas menontonnya, lebih-lebih lagi dengan cliffhanger yang berlaku pada hujung episod tersebut. Sudah pasti ia membuatkan kami tidak sabar untuk menonton sambungannya nanti apabila episod baru keluar. Dengan animasi 3D yang hebat, pacing cerita yang baik serta lakonan mantap daripada barisan pelakon, ia sememangnya satu pengembaraan yang pasti membuatkan anda teruja!
Sand Land: The Series akan ditayangkan di Disney+ Hotstar pada 20 Mac 2024. Untuk mendapatkan segala berita mengenai anime daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post