Bermula awal Jun 2026, Roblox akan melancarkan sistem akaun berasaskan umur yang direka khas untuk mencipta “persekitaran terlindung” bagi kanak-kanak. Sistem ini akan menghadkan pelbagai aspek, daripada jenis game yang boleh diakses hinggalah kepada siapa yang boleh mereka hubungi.
Secara lebih khusus, ia memperkenalkan dua kategori akaun yang berbeza: Roblox Kids untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 8 tahun, dan Roblox Select untuk mereka yang berusia 9 hingga 15 tahun.

Sistem ini menggunakan teknologi pengesahan umur Roblox (termasuk ID verification dan akaun yang disahkan oleh ibu bapa) untuk meletakkan pengguna ke dalam kategori yang sesuai secara automatik.
Roblox Kids (Umur 5–8 Tahun):
Kanak-kanak di lingkungan umur ini akan berada dalam persekitaran yang dipantau dengan sangat ketat. Aplikasi mereka akan mempunyai warna latar belakang yang berbeza, membolehkan ibu bapa melihat dengan sekali imbas.
- Kandungan: Hanya game dengan rating “Minimal” atau “Mild” sahaja yang dibenarkan.
- Sosial: Semua fungsi komunikasi dan ciri chat akan ditutup secara automatik.
- Keselamatan: Akaun ini hanya boleh melihat game yang telah melepasi proses penapisan tiga peringkat yang ketat.
Roblox Select (Umur 9–15 Tahun):
Bagi golongan pra-remaja dan remaja awal, platform ini menawarkan lebih kebebasan sambil mengekalkan ciri keselamatan tambahan.
- Kandungan: Akses diperluaskan untuk merangkumi kandungan bertaraf “Moderate.”
- Sosial: Tetapan komunikasi akan kekal mengikut tetapan asal sedia ada, namun ibu bapa akan mempunyai pengawasan tambahan sehingga anak mereka berumur 16 tahun.
- Reka Bentuk: Akaun ini juga akan mempunyai paparan visual yang unik untuk membezakannya daripada akaun standard.
Apabila pengguna mencapai usia 16 tahun, akaun mereka akan bertukar secara automatik kepada pengalaman Roblox yang standard.
Paling penting, mana-mana pengguna yang belum melengkapkan pengesahan umur akan dihadkan kepada tahap keselamatan “Roblox Kids” secara automatik sehingga mereka membuktikan umur sebenar mereka.

Tanggungjawab Lebih Besar buat Pembangun
Roblox juga meletakkan tanggungjawab yang lebih besar kepada pembangun game. Untuk membolehkan sesuatu game muncul dalam akaun “Kids” atau “Select,” pembangun kini mesti memenuhi kriteria baharu yang ketat:
- Pengesahan: Pencipta kandungan mestilah sudah melalui ID verification dan mempunyai langganan Roblox Plus.
- Pemantauan Masa Nyata: Roblox akan menggunakan AI dan moderator manusia untuk memerhati bagaimana pemain yang lebih dewasa berinteraksi dengan sesuatu game sebelum membenarkan kanak-kanak memainkannya.
- Sekatan Automatik: Beberapa jenis game yang berisiko tinggi terhadap keselamatan (seperti game berkonsep “social hangout” dan “free-form drawing”) akan disekat secara automatik untuk semua pengguna bawah 16 tahun.
Kuasa di Tangan Ibu Bapa

Selain itu, kawalan ibu bapa turut diberikan peningkatan. Ibu bapa kini boleh:
- Meluluskan Game Secara Manual: Jika seorang anak mahu bermain game yang dihadkan oleh kategori umur mereka, ibu bapa boleh menyemak dan “membuka” game tersebut secara manual.
- Sekatan Terperinci: Ibu bapa boleh menyekat game tertentu secara spesifik atau menguruskan tetapan direct chat sehingga anak mereka berumur 16 tahun.
- Ketelusan: Dashboard baharu akan menunjukkan kepada ibu bapa dengan siapa anak mereka berkawan dan berapa banyak masa yang dihabiskan dalam game tertentu.









Discussion about this post