RED ONE, diarahkan oleh Jake Kasdan, adalah filem aksi-komedi bertema Krismas yang menampilkan dua bintang besar Hollywood—Dwayne Johnson dan Chris Evans—dalam misi menyelamatkan musim perayaan.
Apabila Santa Claus (J.K. Simmons) diculik menjelang Krismas, ketua keselamatan Kutub Utara, Callum Drift (Johnson), terpaksa berganding bahu dengan Jack O’Malley (Evans), seorang penggodam handal, untuk mencari dan menyelamatkannya. Bersama-sama, pasangan yang tidak disangka ini melalui pengembaraan Krismas yang penuh aksi, humor, dan keajaiban.
Santa Mana Santa?
Jalan cerita filem ini berpusat pada misi berisiko tinggi untuk menyelamatkan Santa pada malam Krismas. Callum, ketua keselamatan di Kutub Utara, berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Santa yang telah diculik oleh Gryla yang jahat. Jadi, Callum mengupah Jack, seorang penggodam hebat, dengan menggandakan bayarannya demi mendapatkan bantuannya.
Jack pada awalnya ragu-ragu, namun akhirnya bersetuju dan berjaya mengesan lokasi Santa dengan menggodam alat pengukur gempa bumi. Sepanjang misi ini, mereka menghadapi pelbagai cabaran dan momen komedi, hingga mencapai pertarungan akhir di mana mereka menewaskan Gryla dan berjaya menyelamatkan Krismas tepat pada waktunya.
Jalan cerita bergerak dengan lancar, walaupun ada satu subplot—di mana Callum dan Jack mendapatkan bantuan daripada abang Santa, Krampus (bekas kekasih Gryla)—yang terasa sedikit tidak perlu. Adegan ini tidak memberi banyak sumbangan kepada plot utama dan sedikit mengalih perhatian dari misi utama. Secara keseluruhan, RED ONE mengikuti jalan cerita yang mudah dijangka namun menyeronokkan, menggabungkan elemen perayaan Krismas dengan aksi-komedi yang biasa.
Walaupun fokus filem ini lebih kepada aksi dan humor, perkembangan watak agak terhad. Latar belakang Callum tidak begitu jelas; walaupun dia telah bekerja untuk Santa selama lebih 500 tahun, asal-usulnya tidak dijelaskan. Rakan sekerjanya pula terdiri daripada kakitangan berbentuk manusia serta makhluk antropomorfik seperti beruang, rusa, dan tupai, yang menunjukkan sisi mistik Kutub Utara, tetapi elemen ini tidak diterokai sepenuhnya.
Watak Santa juga agak mengelirukan. Walaupun digambarkan sebagai figura berkuasa yang Gryla perlukan untuk mengawal “naughty list,” kuasanya tidak diterangkan, dan dia mudah ditangkap. Kekurangan ini menjadikan watak Santa terasa kurang memberi impak, melemahkan sedikit logik dalam naratif.
Komedi Lebih Seronok Daripada Aksi
Untuk filem seperti RED ONE, adegan aksi dan unsur komedi menjadi fokus utama. Namun, adegan aksinya kurang memberikan rasa mendebarkan. Callum dan Jack kerap kali berada dalam situasi sukar dan selalu menjadi mangsa, yang menjadikan pasukan keselamatan Santa nampak lemah dan sedikit mengecewakan untuk ditonton.
Walau bagaimanapun, kesan khas—terutamanya dalam adegan kejar-mengejar di awal filem bersama Callum—dilaksanakan dengan baik dan menarik secara visual, menambah elemen keseronokan semasa menonton.
Dari sudut komedi, RED ONE lebih berjaya. Reaksi Jack terhadap dunia Santa, memandangkan dia tidak percaya dengan mitos perayaan itu, menghasilkan banyak momen lucu. Keinginannya untuk memahami dunia tersebut dan keraguannya menarik perhatian kami, menjadikannya watak yang mudah disukai dan difahami. Namun, jenakanya agak ringan dan kadangkala basi, tanpa momen komedi yang benar-benar menonjol.
Sebagai filem bertema Krismas, RED ONE menyatukan elemen Krismas dan tokoh mitologi seperti Krampus, Gryla, dan manusia salji sebagai antagonis. Walaupun penambahan ini membantu mengikat filem kepada tema Krismas, ia terasa agak cetek, kerana kami rasa jalan ceritanya masih boleh berfungsi tanpa elemen-elemen tersebut.
Pendapat
Secara keseluruhan, RED ONE ialah sebuah pengembaraan perayaan yang ringan, menggabungkan semangat Krismas dengan aksi dan komedi dalam cara yang mudah dinikmati.
Walaupun plotnya ringkas dan beberapa wataknya kurang dikembangkan, filem ini berjaya mencapai matlamatnya sebagai hiburan ringan. Sebagai aksi-komedi, ia tidak menuntut banyak pemahaman dari penonton—pesonanya terletak pada suasana ceria.
Meskipun aksi mungkin sederhana, kesan khas dan unsur komedi membantu mengekalkan mood yang ceria, dengan beberapa detik yang lucu dan menarik. Satu lagi kekuatan filem ini tumpu pada keserasian antara Johnson dan Evans, menjadikannya pilihan tontonan yang ideal untuk malam filem yang santai.
Jika berminat, filem ini secara rasmi sudah mula tayangan di Malaysia.
@gamersantaimy
The Review
RED ONE
Secara keseluruhan, RED ONE ialah sebuah pengembaraan perayaan yang ringan, menggabungkan semangat Krismas dengan aksi dan komedi dalam cara yang mudah dinikmati. Walaupun plotnya ringkas dan beberapa wataknya kurang dikembangkan, filem ini berjaya mencapai matlamatnya sebagai hiburan ringan. Sebagai aksi-komedi, ia tidak menuntut banyak pemahaman dari penonton—pesonanya terletak pada suasana ceria.
PROS
- Nada komedi yang ringan
- Efek visual yang mengagumkan
- Beberapa adegan yang menghiburkan
CONS
- Plot mudah diramal
- Perkembangan watak yang cetek
- Adegan aksi agak sederhana
- The Rock masih berlakon watak yang biasa dilakonkan
Discussion about this post