Sering kali, dunia gaming dilambakkan dengan kisah klise protagonis dewasa bersifat heroik yang terpaksa melindungi kanak-kanak yang lemah di dunia pasca-kiamat. PRAGMATA keluaran Capcom mengambil naratif yang biasa didengari ini, meletakkannya di permukaan bulan yang sepi, dan mengubah sepenuhnya dinamik tersebut.
Apabila terputus hubungan dengan pangkalan kajian di bulan secara tiba-tiba, seorang askar rookie bernama Hugh mendapati dirinya terkandas dan buntu. Dia kini perlu bergantung harap kepada seorang budak android penuh misteri, Diana, dan begitu juga sebaliknya.

Ini membentuk asas kepada sebuah game aksi sci-fi yang bukan sahaja mencabar daripada segi mekanik, malah mempunyai penceritaan yang penuh dengan emosi. Tanpa berlengah lagi, inilah ulasan penuh kami.
Kisah Hugh dan Diana Bukan Klise

PRAGMATA mengambil tempat pada masa hadapan, bertahun-tahun selepas umat manusia menjumpai ‘lunum ore’ dan mengeksploitasinya untuk menghasilkan Lunafilamen: sebuah bahan yang mampu meniru apa-apa sahaja struktur asalkan data mengenainya wujud.
Kisah ini bermula saat Bumi hilang segala bentuk komunikasi dengan stesen penyelidikan mereka di bulan. Pasukan tindak balas telah dihantar bagi menyiasat insiden tersebut, dengan Hugh Williams sebagai salah seorang ahlinya.
Namun, keadaan menjadi kacau-bilau apabila gempa bulan yang dahsyat melanda, memisahkan kru tersebut dan mengakibatkan Hugh cedera teruk. Pada ketika itulah dia bertembung dengan Diana, sebuah android kanak-kanak misteri yang dibina sepenuhnya daripada Lunafilament.

Apa yang membuatkan watak Hugh unik ialah dia tidak bermula sebagai wira yang hebat. Dalam skuadnya, dia lebih ketara sebagai seorang rookie yang kurang pengalaman. Sewaktu gempa berlaku dan krunya hilang, dia jelas ketakutan dan amat bergantung kepada ketua pasukannya untuk kekal rasional.
Menemui Diana mengubah perspektifnya. Tiba-tiba, dia ada tujuan untuk terus berjuang: melindungi budak perempuan ini dan mencari jalan untuk berhubung semula dengan Bumi.

Kehidupan terasing di bulan inilah yang mengukuhkan ikatan antara mereka. Game ini berjaya lari daripada stereotaip watak lelaki gagah yang sekadar menjadi pengasuh kepada budak yang tidak berdaya. Di sini, Hugh dan Diana adalah rakan seperjuangan sebenar.
Hugh mengambil alih tugas bertarung dan menggunakan kekuatan fizikal, sementara Diana pakar dalam kerja-kerja penggodaman (hacking). Tanpa satu sama lain, peluang mereka untuk terus hidup adalah mustahil.
Kebergantungan antara satu sama lain inilah yang membuatkan perhubungan mereka terasa sangat natural, dan ikatan ini diterjemahkan dengan sangat baik ke dalam gameplay.
Mengurus Pilihan Senjata, Pertahanan & Taktikal
Asas combat Hugh bersandarkan kepada sistem senjata yang mempunyai empat slot.

Slot pertama sentiasa dikhaskan untuk senjata utama. Di permulaan, anda akan dibekalkan dengan Grip Gun, yang didatangkan dengan peluru infiniti serta fungsi auto-reload yang perlahan. Ini memastikan anda sentiasa bersedia dan tidak dibiarkan tanpa sebarang senjata.
Di pertengahan permainan, anda boleh mendapatkan Pulse Carbine untuk slot ini. Ia mengekalkan ciri auto-reload tetapi menawarkan kadar tembakan yang laju sebagai ganti kepada damage tembakan yang lebih rendah, sekali gus merubah corak combat anda.
Penukaran antara dua senjata ini boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian keadaan.

Tiga slot selebihnya dibahagikan kepada Attack, Defense, dan Tactical Units. Anda bebas menyesuaikannya mengikut gaya permainan peribadi, tetapi setiap kategori hanya boleh diletakkan dalam slot khususnya. Anda bermula dengan kapasiti satu senjata untuk setiap jenis, tetapi had ini akan bertambah seiring dengan kemajuan pemain.
Harus tahu, game ini tidak membenarkan penggunaan senjata pendua; jadi anda tidak boleh memakai dua Attack Unit yang sama serentak.

Attack Units berfungsi sebagai damage utama. Shockwave Gun bertindak seakan-akan shotgun, memberikan damage yang sangat tinggi pada jarak dekat. Charge Piercer memerlukan kita mengecas tembakan sebelum melepaskan serangan armor-piercing yang dahsyat.
Sementara itu, Photon Laser juga perlu dicas, tetapi memancarkan laser berterusan yang mampu mencairkan musuh. Ketiga-tiga senjata ini menawarkan pengalaman penggunaan yang sangat berbeza.

Defense Unit pula lebih menumpukan pada aspek survival dan mencipta ruang untuk pemain. Sebagai contoh, Decoy Generator akan memancarkan hologram untuk mengalih tumpuan musuh, memberikan kita ruang untuk bernafas ketika combat mula menjadi kelam-kabut.

Tactical Unit direka khas untuk crowd control. Stasis Net mampu mengurung musuh dalam medan tenaga berbentuk separuh bulatan. Sebaliknya, Riot Blaster berfungsi ibarat grenade launcher dengan kawasan letupan yang luas.
Ada juga Sticky Bomb yang mempunyai fungsi spesifik untuk membantu Diana; ia menghapuskan barisan atau lajur tertentu pada panel godaman musuh, sekali gus memudahkan urusan hacking untuknya.
Ancaman Musuh & Eksploitasi Persekitaran Medan

Jumlah musuh telah ditambah secara drastik berbanding versi previu. Musuh berbentuk robot sfera kini datang dalam beberapa varian: jenis terbang yang agresif memburu kita, jenis jarak jauh yang melepaskan peluru berpandu, serta varian melee yang berputar dengan laju untuk memberikan damage jarak dekat.
Robot berbentuk humanoid gergasi pula mempunyai aura menyeramkan dan memaksa kita mengatur strategi yang lebih terancang. Robot ini mampu mengaktifkan perisai yang menyekat cubaan Diana untuk menggodam mereka.
Bagi menembusinya, Hugh mesti memusnahkan perisai di wajah mereka menggunakan serangan fizikal terlebih dahulu.

Dalam versi penuh, pemain akan diperkenalkan dengan musuh jenis robot labah-labah. Robot ini bijak melindungi titik kelemahan mereka dengan melipat kelapan-lapan kaki di bahagian dada, dan apa yang lebih menggerunkan, mereka mampu ghaib daripada pandangan. Satu-satunya petunjuk hanyalah sedikit pergerakan halus di udara.
Jika ditangkap oleh musuh ini, Diana terpaksa melakukan proses speed-hack ke atas sistem musuh dengan segera untuk melepaskan anda, atau Hugh akan menanggung kesan damage kedua yang amat parah.

Elemen persekitaran turut memberi impak besar dalam combat. Diana boleh menggodam suis yang ada di sekeliling untuk mengaktifkan grid laser, yang mampu memusnahkan sekumpulan musuh secara serentak.
Medan elektrik yang bocor juga boleh dijadikan sebagai senjata dengan memancing musuh ke arahnya untuk menyebabkan litar pintas. Walau bagaimanapun, ancaman paling bahaya di persekitaran adalah Jammers. Alat ini memancarkan isyarat gangguan yang mematikan terus fungsi penggodaman Diana.
Ini bermaksud anda tidak boleh menggodam pintu, perangkap, mahupun musuh sehinggalah alat tersebut dimusnahkan. Menyingkirkan Jammers perlulah sentiasa diletakkan sebagai keutamaan tertinggi.
Pertarungan Bos Berskala Epik dan Memerlukan Taktik Berbeza
Reka bentuk setiap pertarungan bos di dalam PRAGMATA adalah sangat unik, teliti, dan tidak terasa repetitif.

Bos pertama yang ditemui di dalam stesen angkasa merupakan sebuah mecha pertempuran dengan senjata berat. Bos ini akan meluru ke arah pemain dan melepaskan bom tangan. Ia bertindak sebagai ujian bagi memastikan anda benar-benar menguasai asas mekanik combat setakat ini.

Pertarungan bos kedua pula berlangsug di replika bandar raya New York versi holografik di permukaan bulan, dan dibahagikan kepada berbilang fasa. Ada satu bahagian di mana bos tersebut akan melancarkan serangan bertubi-tubi yang mengebom keseluruhan peta.
Satu-satunya jalan selamat adalah dengan memanjat salah sebuah bangunan pencakar langit dan bertahan di situ sehingga tembakan reda. Tempoh masanya amat sempit, lantas menjadikan situasi ini agak mendebarkan.

Bos ketiga pula tampil dengan rekaan hibrid pelik antara kala jengking dan sotong. Apa yang membuatkan entiti ini sukar dilupakan adalah fizikalnya yang tidak menyerupai mesin seratus peratus; seperti ada bahagian yang nampak daging, lalu menimbulkan rasa seram dalam sebuah game yang rata-ratanya menampilkan estetika sci-fi.
Kesemua pertarungan bos ini dilengkapkan dengan reka bentuk bunyi dan kesan visual berskala besar yang membuat pengalaman lebih epik serta sangat sinematik.
Hacking Berlaku Di Tengah-Tengah Combat
Sambil rancak menembak menggunakan Hugh, kita juga turut ditugaskan mengawal operasi penggodaman Diana secara real-time. Setiap musuh mempunya panel teka-teki tersendiri, yang bermakna anda perlu ligat menyelesaikan teka-teki sambil lincah mengelak tembakan musuh.
Kejayaan menggodam musuh akan melucutkan perisai mereka dan menyebabkan mereka terdedah kepada damage yang jauh lebih tinggi.

Bagi proses hacking, pemain perlu menggerakkan kursor dari titik mula sehingga ke titik penamat berwarna hijau.
Di sepanjang laluan tersebut, anda boleh menyambungkan nod berwarna biru untuk menggandakan tahap damage serta memanjangkan tempoh godaman, namun permain harus bijak menilai sama ada menyambung setiap nod ini berbaloi dengan risiko nyawa yang dihujani peluru.

Selain itu, ada nod kuning yang menawarkan pelbagai abiliti istimewa jika dihubungkan, seperti menurunkan sistem pertahanan musuh, menggodam beberapa sasaran secara serentak, membekukan pergerakan musuh seketika, ataupun menggodam sistem sasaran supaya mereka saling menyerang antara satu sama lain.
Kemunculan nod kuning ini bergantung kepada loadout gear yang dibawa oleh Hugh, dan penggunaannya akan menolak stok terhad yang ada. Menguruskan bekalan ini serta mengetahui masa yang paling sesuai untuk menggunakannya memberikan satu lagi lapisan taktikal.

Bukan itu sahaja, jika anda menggodam musuh yang sememangnya sudah terdedah, sebuah panel khas yang dikenali sebagai “Offense Mode” akan muncul. Menyelesaikan panel ini akan menyimpan damage bonus untuk sesi penggodaman seterusnya.

Setiap godaman yang berjaya akan memenuhkan Hacking Gauge milik Diana, yang turut boleh ditambah dengan mengutip barangan tertentu di lapangan. Sebaik sahaja meter ini penuh, pemain boleh melakukan skil Overdrive.
Abiliti ini membenarkan Diana menggodam setiap perisai musuh di sekelilingnya secara serentak dan membuatkan mereka stun. Ini merupakan penyelamat apabila kita dikerumuni musuh.
Pemain juga akan memperoleh ciri auto-hack yang menyedut sebahagian kecil gauge ini untuk meringankan sedikit beban tugas multitasking yang terlalu ‘intense’.

Sistem penggodaman ini juga tidak terhad kepada musuh sahaja. Pintu terkunci, perangkap persekitaran, malah peluru berpandu musuh juga boleh digodam oleh Diana. Merampas kawalan peluru berpandu musuh yang sedang melayang di udara dan menembaknya tepat ke arah tuannya memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga.
Malah, dalam pertarungan sengit di kawasan “Red Zone”, taktik ini sering kali menjadi jalan penyelesaian terbaik dan paling efisien untuk menumbangkan unit musuh di udara.
Penerokaan & Sistem Naik Taraf di ‘Shelter’
Aspek penerokaan dalam PRAGMATA diusahakan dalam cara yang cukup natural dan selesa. Game ini tidak membanjiri kita dengan checklist yang meleret atau memaksa pemain mencari collectible merapu.
Sebaliknya, setiap eksplorasi dihalakan ke arah mencari sumber bahan dan naik taraf (upgrade), di mana ganjaran yang ditawarkan sentiasa dirasakan cukup lumayan untuk usaha meneroka.

Pusat operasi di antara setiap misi dinamakan sebagai Shelter. Ketika meneroka, anda akan terjumpa pelbagai ‘Escape Hatch’ yang membolehkan fungsi fast-travel terus ke pangkalan. Di sini, anda boleh menambah bekalan ‘Repair Cartridge’ bagi membaiki sut Hugh dan menguatkan gear.

Setiap kali berjaya menumpaskan bos utama di sesebuah kawasan, Shelter akan naik taraf dan kita akan dianugerahkan dengan Shelter License Key.
Kunci ini akan meningkatkan had capaian bagi setiap upgrade sedia ada dan membuka fungsi pangkalan baharu secara progresif, seperti Training Simulator untuk latihan dan ganjaran, Bot Database untuk meneliti kelemahan musuh, dan Outfit Storage untuk menukar kosmetik.
Apa yang asalnya sekadar sebuah safe room perlahan-lahan berkembang menjadi ibu pejabat berteknologi tinggi.

Bagi peningkatan stat terus, pemain perlu mencari blok kuning bernama ‘Upgrade Component’. Komponen ini boleh dilaburkan untuk menguatkan tahap damage tembakan serta daya tahun sut Hugh, ataupun menguatkan damage godaman dan memanjangkan tempoh masa pendedahan musuh oleh Diana.

Sumber lain yang wajib dikumpul ialah Lunafilament, yang perlu disuap masuk ke dalam Unit Printer di dalam Shelter. Mesin pencetak 3D ini membina, menaik taraf, atau membuka senjata dan nod penggodaman baharu yang kita kesan di dalam permainan.
Mesin pencetak ini juga mengembangkan slot auto-hack dan mengurus slot penambahan gear.

Tetapi, meningkatkan abiliti Diana mempunyai pendekatan berbeza. Anda tidak perlu membelanjakan sebarang mata wang untuk perkembangannya; sebaliknya abiliti baharunya akan dipelajari secara beransur-ansur seiring dengan jalan cerita. Ini membuatkan perkembangannya terasa selari dan amat terikat dengan naratif.

Sistem Cabin juga merupakan satu lagi sistem perkembangan yang unik. Terdapat sebuah robot comel bernama Cabin yang menghuni Shelter, di mana anda boleh menggunakan mata wang Cabin Coin yang dijumpai semasa meneroka untuk bermain minigame berbentuk papan bingo.
Menyelak jubin-jubin pada papan bingo ini akan memberikan bermacam-macam ganjaran seperti item, data musuh, kunci akses ke kawasan maut Red Zone, mahupun barangan kosmetik untuk Hugh dan Diana.
Jika berjaya melengkapkan satu barisan mendatar atau menegak, ganjaran Bingo yang lebih memuaskan akan diberikan.

Menariknya, sistem Cabin memiliki sebuah rahsia yang tidak diberitahu oleh game secara terang. Kadangkala sewaktu menjelajah anda mungkin akan terdengar bunyi “Ta-da!” dari jauh. Itu bukanlah masalah audio, tetapi petanda bahawa ada sebuah patung mini Cabin yang disorok di sekitar.
Selepas mengesan dan menembaknya, patung tersebut akan dipamerkan di pangkalan Shelter. Jika Resident Evil ada patung Mr. Raccoon, PRAGMATA juga mempunyai patung mininya sendiri yang memberikan ganjaran untuk penjelajahan teliti.
Hubungan Bersama Diana, Mencari Erti Kemanusiaan di Angkasa

Melebihi segala elemen sci-fi dan aksi, jantung kepada game ini sebenarnya tertumpu pada hubungan antara Hugh dan Diana. Di persekitaran bulan yang sunyi itu, dia satu-satunya peneman yang berjuang bersama anda, dan hakikatnya, memang amat mudah untuk pemain menjalin rasa sayang pada budak kecil ini.
Naratif permainan tidak cuba menyuapkan elemen emosi secara paksa; ia membina hubungan itu secara perlahan-lahan menerusi detik-detik natural, yang akhirnya menjadi lebih bermakna berbanding apa-apa babak cutscene.

Semasa eksplorasi, pemain berpeluang menjumpai item istimewa bernama REM (Read Earth Memories).
Apabila barangan ini dibawa pulang dan dimasukkan ke dalam mesin REM Replicator di Shelter, mesin ini akan mencetak versi 3D objek-objek harian yang sangat biasa di Bumi tetapi tidak pernah wujud di bulan, seperti papan gelongsor taman permainan, glob dunia, atau televisyen CRT lama.
Memandangkan Diana langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke Bumi, dia sentiasa terpegun dan kagum terhadap hal ini. Dia akan bermain dengan objek tersebut sambil bertanya Hugh tentang apa fungsi asal barangan berkenaan di Bumi.

Selain itu, jika anda sering berinteraksi dengannya setiap kali pulang ke Shelter, ia akan menaikkan meter ‘affinity’. Sebaik sahaja melepasi aras tertentu, Diana akan memanggil dan menghadiahkan Hugh dengan sebuah lukisan yang dicontengnya sendiri; yang memancarkan sifat tulus seorang kanak-kanak.
Lukisan-lukisan ini perlahan-lahan akan ditampal di sekeliling dinding Shelter, lalu perlahan-lahan mengubah suasana pangkalan yang asalnya dingin kepada sebuah ruang ‘rumah’.
Evolusi Visual Daripada Makmal Kosong Ke Hutan Neon
Dari aspek teknikal, game ini berjalan dengan sangat lancar dan cantik di konsol PS5.
Ia menawarkan pilihan antara mod Quality dan Performance, malah mod Quality sekalipun mampu mengekalkan frame rate yang teguh dengan sangat meyakinkan tanpa frame drop ketara walaupun di tengah-tengah fasa pertarungan yang paling sesak dan huru-hara. Secara ringkas, aspek optimization sangat solid secara menyeluruh.

Reka bentuk landskap dan persekitarannya juga wajar diberikan pujian. PRAGMATA bermula di dalam fasiliti bulan yang diwarnai warna putih, di samping seni bina yang membentuk asas kepada suasana sains fiksyen. Paparan ini terus memberikan gambaran seoertu babak permulaan di dalam mana-mana filem angkasa bajet besar.

Apa yang mengekalkan pengalaman visualnya daripada dirasakan meleret dan bosan ialah game ini pantas menukar rupanya. Ketibaan di replika bandar raya New York versi bulan membawa perubagan visual yang sangat mendadak: limpahan cahaya neon berlaga dengan latar belakang bulan yang kelabu.
Ini membina satu suasana yang dirasakan sarat dengan kehidupan namun pada masa yang sama memberi aura pasca-kiamat.

Game ini kemudian mengulangi magik visualnya. Kawasan utama seterusnya memperkenalkan sebuah peta yang dilitupi hidupan liar seperti pokok menjalar, lumut belukar, segalanya dilitupi tumbuh-tumbuhan hijau.
Setelah berjam-jam disuap dengan besi sejuk dan permukaan kelabu, tiba-tiba kita melangkah masuk ke kawasan menghijau dan ia benar-benar memberikan perubahan yang mempesonakan. Peta kawasan ini malah merangkumi pantai laut buatan.
Secara tidak langung, kami faham: sesiapa sahaja bekas penghuni di sini, amat merindukan dan mendambakan Bumi sehinggakan mereka mencuba sedaya upaya untuk membina ‘Bumi’ di bulan. Ini adalah contoh environmental storytelling yang cemerlang tanpa menggunakan sepatah dialog pun.

Satu lagi tambahan untuk aspek animasi, rambut Diana yang asalnya agak keras dan kaku pada trailer, kini lebih bersemula jadi; di aman ia jatuh beralun dengan setiap pergerakannya.
Pendapat
Sinergi combat yang sangat ketat antara asakan peluru dan asakan sistem godam, ditambah dengan lapisan pelbagai sistem perkembangan yang sentiasa mempunyai nilai ganjaran, di samping alam sekitar yang pantas dan cantik berevolusi, kemudian diikat teguh oleh tali emosi antara Hugh dan Diana… kesemuanya diadun sebati dalam PRAGMATA.

Biarpun begitu, sistem gameplay sebegini tidak sesuai untuk setiap gamer. Tugas memaksa otak kita untuk mengawal aksi si Hugh menembak musuh, serentak dengan mengatur kerja hacking Diana adalah suatu ‘skill barrier’ serta multitasking yang tinggi.
Ciri auto-hack yang dibuka di pertengahan permainan sememangnya berupaya memapaskan sedikit kengerian sistem tersebut, namun buat segelintir pemain aksi yang lebih gemar gameplay yang straightforward, koordinasi mental itu akan menganggu keselesaan anda.

Begitu juga dengan peraturan yang mengehadkan pemain dari membawa lebih daripada satu jenis format senjata, itu pun mempunyai baik buruknya. Ia mendorong pemain ke membuat loadout yang lebih terancang dengan bijak. Namun kekangannya secara tidak langsung meletakkan siling buat fleksibiliti eksperimentasi serta ‘build variety’.

Tetapi akhirnya, semua yang saya sebutkan di atas merupakan keputusan yang sememangnya disengajakan oleh Capcom.
Fokus utama pembikinan game ini ialah untuk memanipulasi tekanan pemain agar mampu berfikir serta membiasakan diri bekerja di bawah beban membuat keputusan di persekitaran paling terdesak, sekali gus menyekat pemain daripada duduk di zon selesa.

Di sebalik ‘kelemahan’ tersebut, PRAGMATA menunaikan setiap janji dan cita-cita besarnya. Sekiranya anda ialah golongan gamer yang gemar menguji diri sendiri, pengembaraan di angkasa ini pastinya pengalaman berbaloi yang tidak mungkin anda lupa.
Game ini akan dilancarkan pada 17 April 2026 di PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
PRAGMATA
PRAGMATA adalah game sci-fi mantap yang menggabungkan aksi tembak dan penggodaman secara unik. Walaupun memerlukan koordinasi tinggi antara watak Hugh dan Diana, kualiti visual yang memukau serta penceritaan yang menyentuh hati menjadikannya sebuah pengembaraan bulan yang sangat berbaloi untuk dialami.
PROS
- Gabungan hebat antara aksi tembak-menembak dan penggodaman yang bergantung kepada kedua-dua watak
- Teka-teki penggodaman adalah mencabar, pelbagai, dan tidak pernah terasa berulang
- Pertarungan bos sangat berskala besar, sinematik, dan direka dengan unik
- Persekitaran yang cantik dan sentiasa berubah menjadikan game ini menarik secara visual
- Kerjasama Hugh dan Diana terasa tulen, dan menyentuh emosi
- Menaik taraf pangkalan dan gear terasa berbaloi tanpa perlu melakukan grinding memenatkan
- Penjelajahan sangat menyeronokkan dan mengelakkan objektif yang menyesakkan peta
CONS
- Memaksa pemain untuk menembak dan menggodam pada masa yang sama memberikan skill barrier yang tinggi
- Ketidakmampuan untuk melengkapkan jenis senjata pendua mengehadkan kebebasan pemain dan pilihan build









Discussion about this post