PlayStation Portal menandakan kemunculan semula Sony dalam dunia handheld gaming sejak PS Vita, dengan fokus untuk memberikan pengalaman unik kepada pemain agar kekal terhubung dengan PS5 mereka.
Direka sebagai peranti remote play dan bukan konsol kendiri, Portal menawarkan kemudahan bermain game PlayStation kegemaran anda dari mana sahaja.
Dengan reka bentuk elegan, kawalan DualSense yang sudah biasa, serta skrin LCD bersaiz 8 inci, PlayStation Portal telah menarik perhatian ramai dan mencetuskan perbincangan hangat di kalangan gamer.
Tetapi, adakah ia mampu memenuhi jangkaan sebagai aksesori gaming yang relevan dan inovatif? Berikut adalah reviu lengkap kami mengenai PlayStation Portal, merangkumi reka bentuk, prestasi, serta peranannya dalam dunia gaming masa kini.
Skrin dan Kualiti Visual
Portal dilengkapi dengan skrin LCD 8 inci yang menyokong resolusi 1080p dan kadar penyegaran 60Hz. Pada pandangan pertama, spesifikasi ini mungkin kelihatan biasa-biasa saja dan mungkin kurang memuaskan bagi pemain yang biasa dengan paparan ultra definisi tinggi.
Namun, apabila digunakan, pengalaman visual yang ditawarkan sangat memuaskan.
Paparan visualnya tajam, warna-warna terang, dan adegan bergerak dikendalikan tanpa sebarang ghosting atau blur. Jika dibandingkan dengan menggunakan telefon pintar untuk Remote Play, skrin yang lebih besar pada Portal memberikan pengalaman yang lebih asyik, dengan kejelasan dan sudut pandang yang lebih luas.
Sama ada berdiri, duduk, atau bersandar, paparan Portal tetap mengekalkan kualiti visual, membolehkan anda bermain dengan selesa dalam hampir setiap posisi.
Walaupun tablet mempunyai skrin yang lebih besar, ia memerlukan controller tambahan dan kadangkala stand, yang menyukarkan kemudahan penggunaan.
Sebaliknya, reka bentuk all-in-one pada Portal menggabungkan skrin dan kawalan dengan sempurna, menjadikannya pilihan yang sangat baik untuk sesi santai di sofa, katil, atau semasa perjalanan.
Prestasi skrin di dalam juga sangat memuaskan di bawah pelbagai keadaan pencahayaan, terutamanya dengan tetapan kecerahan yang boleh disesuaikan. Namun, penggunaan di luar rumah agak mencabar kerana pantulan terang pada skrin, menjadikannya sukar dimainkan di bawah cahaya matahari yang terik.
Oleh itu, Portal lebih sesuai digunakan di dalam persekitaran rumah.
Reka Bentuk dan Kemudahan Alih
Portal mengekalkan reka bentuk yang serupa dengan controller DualSense yang terkenal dan ergonomik. Dengan bahagian tengah yang diperbesar menjadi skrin 8-inci, ia menawarkan cengkaman yang selesa dan lebih serasi.
Susunan butangnya juga hampir sama dengan DualSense, memastikan pengguna PS5 dapat menggunakannya dengan lancar.
Dengan berat sekitar 530 gram, peranti ini mencapai keseimbangan antara cukup ringan untuk penggunaan jangka panjang dan cukup berat untuk terasa kukuh. Sama ada bermain sambil berbaring di atas katil atau bersantai di sofa, pengagihan berat Portal memberikan pengalaman gaming yang cukup selesa.
Namun, panjang Portal menimbulkan sedikit cabaran untuk dibawa ke mana-mana. Ia sering kali tidak muat dalam beg bersaiz standard, memerlukan beg galas yang lebih besar.
Selain itu, skrin yang terdedah mudah tercalar, menjadikan pembelian sarung pelindung satu keperluan penting bagi pengguna yang kerap membawanya semasa perjalanan.
Portal juga mengekalkan ciri ikonik DualSense seperti haptic feedback dan adaptive trigger. Fungsi-fungsi ini memberikan pengalaman gaming yang lebih “immersive”, setanding dengan bermain terus di PS5.
Tahap maklum balas yang boleh disesuaikan (Weak, Medium, Standard) menambah fleksibiliti untuk memenuhi keutamaan pengguna yang berbeza.
Prestasi Network Dalam Pelbagai Situasi
Proses persediaan Portal memerlukan pengguna mengaktifkan Remote Play pada PS5. Panduan yang disediakan cukup jelas dan mesra pengguna baharu, walaupun proses sambungan awal mungkin mengambil sedikit masa.
Selepas berjaya disambungkan, kadangkala berlaku masalah sambungan, tetapi kebiasaannya dapat diselesaikan dengan memulakan semula peranti.
Senario Network
- Sambungan Wi-Fi Sama:
- Prestasi cenderung stabil dengan latency yang minimum, terutama dalam kawasan Wi-Fi yang kuat. Namun, jika isyarat lemah di lokasi seperti bilik tidur atau dapur, masalah seperti skrin kabur dan sambungan terputus boleh berlaku.
- Sambungan LAN ke PS5:
- Kaedah ini menawarkan kestabilan hampir sempurna dengan latency yang sangat rendah. Ia adalah pilihan terbaik untuk prestasi paling lancar.
- Penggunaan Wi-Fi Berbeza (Cross Wi-Fi):
- Prestasi Portal lebih bergantung kepada kekuatan sambungan PS5 berbanding peranti itu sendiri. Jika sambungan PS5 stabil, pengalaman gaming akan tetap lancar.
- Mobile Hotspot:
- Hasilnya tidak menentu kerana bergantung pada kelajuan dan kestabilan sambungan hotspot. Masalah sambungan gagal sering berlaku dalam situasi ini.
Apabila sambungan network stabil, latency hampir tidak terasa untuk kebanyakan game. Untuk genre seperti game kasual atau strategi, pengalaman tidak akan terjejas. Namun, untuk game aksi pantas, latency menjadi lebih ketara.
Sebagai contoh, dalam fighting game, kelewatan boleh memberi kesan kepada ketepatan masa dalam melakukan blok atau counter.
Ujian game co-op seperti It Takes Two menunjukkan kehebatan Portal dalam memberikan pengalaman multiplayer. Selepas Portal disambungkan ke PS5, pemain kedua boleh masuk menggunakan akaun tetamu atau akaun alternatif.
Walaupun dalam situasi ini, Portal tetap menawarkan sambungan yang stabil dan lancar, memperlihatkan kebolehpercayaannya dalam game multiplayer.
Kualiti Audio
Pembesar suara terbina dalam Portal menyediakan kualiti audio yang memadai untuk gaming santai. Audionya cukup kuat, tetapi isu mula terdengar apabila dilaraskan ke tahap maksimum. Kesan stereo memberikan sedikit elemen keasyikan, namun secara keseluruhan, prestasi audio dianggap sederhana dan tidak begitu menonjol.
Portal menyokong headphone berwayar melalui sambungan 3.5mm, yang menawarkan kualiti audio yang sangat baik. Walau bagaimanapun, ia tidak menyokong Bluetooth standard dan hanya boleh digunakan dengan peranti yang serasi dengan PlayStation Link seperti PULSE Explore dan PULSE Elite.
Ketiadaan sokongan Bluetooth pasti akan menyusahkan pengguna yang biasa menggunakan headset Bluetooth konvensional.
Jangka Hayat Bateri
Dalam penggunaan biasa (kecerahan pada 70%, kelantangan pada 30%, dan sambungan network yang stabil), Portal mampu bertahan antara 4 hingga 4.5 jam untuk game seperti FC25, Romancing Saga 2, Astro Bot, dan Zenless Zone Zero.
Prestasi ini selaras dengan jangkaan untuk peranti yang menggunakan skrin resolusi tinggi dan ciri controller canggih.
Portal dicas dengan cekap menggunakan pengecas 20W, mengambil masa sekitar dua jam untuk mencapai cas penuh dari 9%. Jika bermula dari 30%, masa pengecasan hanya sekitar 1 jam 40 minit, menjadikannya sesuai untuk kebanyakan keperluan pengguna harian.
Pendapat
Secara keseluruhan, PlayStation Portal menawarkan keseimbangan yang baik antara kemudahan dan prestasi, dengan visual yang tajam, kawalan yang cekap, serta fungsi yang kukuh dalam reka bentuk yang praktikal. Kejelasan skrin dan integrasi lancar ciri DualSense memastikan pengalaman gaming yang autentik dan seronok.
Reka bentuknya yang serba lengkap menjadikan Portal sesuai untuk sesi permainan di mana-mana, terutama bagi pengguna PS5 yang menghadapi cabaran berkongsi skrin di rumah.
Namun, kebergantungan pada network yang stabil adalah kekurangan utama, ditambah pula dengan ketiadaan sokongan Bluetooth standard yang mungkin menyulitkan sesetengah pengguna.
Walaupun ada kelemahan ini, Portal tetap menyerlah dalam memberikan fleksibiliti kepada pemain PS5 untuk bermain di pelbagai lokasi. Ia adalah pilihan berharga bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman teras PlayStation tanpa terikat pada satu lokasi.
Jika berminat, peranti ini bernilai sebanyak RM999 dan, anda boleh dapatkannya di pengedar tempatan terdekat di SINI. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi mereka.
@gamersantaimy
Discussion about this post