Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER – Misi Berjaya, Hasil Remake Ternyata Lebih “Solid”!

Razin Syafiq by Razin Syafiq
August 22, 2025
in Action, Artikel, Berita, Game Review, PC, PS5, Review, Stealth, Steam, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER – Misi Berjaya, Hasil Remake Ternyata Lebih “Solid”!
Share on FacebookShare on Twitter

Selama dua dekad, Metal Gear Solid 3: Snake Eater telah dikenali sebagai sebuah karya perintis genre stealth-action dan titik permulaan yang penting untuk memahami dunia penceritaannya yang kompleks.

Kini, METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER bermatlamat untuk menjadi versi definitif bagi pemain baharu dan satu pengalaman nostalgia yang hebat bagi peminat veteran.

Sebagai sebuah remake penuh, pemain akan kembali menyaksikan transformasi Naked Snake menjadi Big Boss. Walaupun Konami menekankan usaha untuk mengekalkan pengalaman teras dengan mengekalkan barisan pelakon suara dan naratif asal, kawalan moden dan kualiti visual yang dipertingkatkan merupakan satu evolusi yang signifikan.

Ini menjadikan projek tersebut satu ujian yang menarik: untuk melihat sama ada semangat original dapat dihidupkan semula dengan sempurna tanpa penglibatan Hideo Kojima, pengarah asalnya. Tanpa melengahkan masa, inilah ulasan kami.

Di Mana Semuanya Bermula… Operasi Snake Eater, 1964

Walaupun dipersembahkan sebagai remake game ketiga yang mungkin kelihatan pelik bagi pemain kasual, cerita METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER sebenarnya adalah yang paling awal dalam francais ini jika anda ingin mengikutinya secara kronologi.

Siri ini menampilkan beberapa versi watak Snake yang berbeza, yang agak mengelirukan kerana persamaan dalam reka bentuk kostum dan juga raut wajah. Tetapi dalam ansuran ketiga ini, anda mengikuti kisah Naked Snake yang juga dikenali sebagai Jack.

Kredit: Konami

Berlatarkan zaman Cold War pada tahun 1964, Naked Snake yang merupakan ahli unit FOX dihantar dalam misi untuk menyelamatkan seorang saintis dan pembangun senjata Soviet bernama Nikolai Stepanovich Sokolov dan membawanya dengan selamat ke Amerika Syarikat.

Sokolov adalah kunci kepada pembinaan senjata nuklear berbahaya dipanggil Shagohod, yang berpotensi menamatkan Cold , tetapi jika jatuh ke tangan yang salah, ia boleh mencetuskan perang dunia yang baharu.

Oleh kerana misi ini membawa risiko yang sangat tinggi dan boleh mengancam hubungan antara kedua-dua negara, CIA hanya boleh menghantar seorang ejen sahaja ke wilayah Soviet. Aksi hendap menjadi pendekatan terbaik untuk Snake, yang turut ditekankan dalam aspek gameplay.

Kredit: Konami

Cerita game ini sebahagian besarnya kekal sama dengan beberapa pendedahan plot penting di awal permainan, jadi saya tidak akan mengulas butiran plot secara mendalam.

Game ini jelas berfungsi sebagai titik permulaan saga Metal Gear Solid, terutamanya meliputi tahun-tahun awal Naked Snake sebelum dia menjadi figura legenda yang dikenali sebagai Big Boss. Ini bukan sahaja merangkumi dirinya, tetapi juga watak-watak penting lain yang kekal relevan dalam game-game seterusnya.

Kredit: Konami

Sebelum memulakan pengembaraan, saya suka bagaimana Konami menambah satu bahagian yang bertanya kepada pemain tentang kebiasaan mereka dengan francais Metal Gear Solid dan ansuran mana yang paling mereka sukai.

Ini bukan sekadar gimik kerana jawapan anda akan mempengaruhi gameplay, khususnya peralatan bonus istimewa yang boleh anda perolehi. Ini menambah nilai main semula bersama dengan akses kepada tahap kesukaran “European Extreme” yang hanya boleh dibuka selepas menamatkan game pada tahap “Extreme.”

Semuanya Dihidupkan Semula oleh Unreal Engine 5

Kredit: Konami

Sebelum mendalami aspek gameplay, kami ingin menonjolkan salah satu ciri yang paling utama iaitu grafiknya. Dibangunkan menggunakan Unreal Engine 5, Konami jelas memanfaatkan teknologi baharu untuk mencipta visual yang jauh lebih imersif.

Setiap aset telah dicipta semula dari awal dalam kualiti tinggi, pencahayaan sangat memukau dan kaya dengan kesan visual, dan persekitaran hutan pun padat dengan butiran untuk dilihat.

Daripada tergesa-gesa menyelesaikan misi, ada kalanya saya berhenti di kawasan tertentu hanya untuk melihat pemandangan sekeliling, yang dicantikkan lagi dengan adanya Photo Mode.

Kredit: Konami

Tetapi di sebalik semua itu, bahagian yang paling saya suka tentang peningkatan grafik ini ialah model watak 3D dan kualiti animasinya. Saya masih ingat rupa Metal Gear Solid 3 di PS2, dan remake ini memberikan apa yang saya anggap sebagai versi terbaik bagi setiap watak.

Snake khususnya kelihatan sama seperti yang saya bayangkan dalam versi moden, dan tiada wakil 3D yang lebih baik daripadanya. Ini juga benar untuk hampir setiap watak lain; mereka terasa berbeza, namun jelas jauh lebih baik berbanding versi asal mereka.

Mencipta semula watak-watak ikonik dalam sebuah remake sentiasa menjadi cabaran besar kerana peminat mempunyai jangkaan dan kebiasaan yang kuat dengan watak asal, jadi pencapaian pasukan reka bentuk untuk remake ini patut dipuji.

Kredit: Konami

Selain model watak, terdapat peningkatan besar dalam kualiti animasi dalam kedua-dua babak cutscene dan gameplay. Untuk babak cerita, game ini masih menggunakan data motion capture asal yang dibawa secara natural ke dalam grafik baharu.

Pergerakan watak amat lancar, dan banyak babak terasa sinematik sehinggakan saya boleh katakan ia setanding dengan game AAA moden. Walaupun begitu, ada ketikanya watak kelihatan kaku, terutamanya semasa meluahkan emosi di mana pergerakan atau ekspresi muka kadangkala terasa tidak natural.

Tetapi secara keseluruhan, saya rasa pembangun telah memaksimakan kualiti babak penceritaan dengan hebat, dan mereka juga memberikan ekspresi wajah yang jauh lebih ekspresif berbanding sebelum ini.

Kredit: Konami

Animasi gameplay adalah di mana perbezaannya paling ketara. Salah satu aduan terbesar mengenai versi asal ialah pergerakan watak yang kaku, yang menjadikan babak aksi hendap (ataupun stealth) kurang lancar dan kadangkala membawa kepada kesilapan yang tidak sepatutnya.

Remake ini menjadikan pergerakan Snake lebih lancar, hingga mengingatkan saya kepada The Phantom Pain. Animasi gameplay yang dipertingkatkan bukan sahaja kelihatan lebih baik tetapi juga menambah baik kawalan secara keseluruhan, menjadikan gameplay lebih menyeronokkan dan responsif.

Biar Kita Yang Memburu, Jangan Jadi Yang Diburu

Setiap game utama Metal Gear Solid membawa gameplay uniknya yang tersendiri, tetapi apa yang menyatukan kesemuanya sudah tentu adalah aspek stealth. Setiap pertarungan memaksa anda untuk berfikir secara strategik dan bukannya sekadar menumpaskan semua musuh seperti game shooter aksi biasa.

Ini bukan sahaja untuk menewaskan musuh dengan cekap, tetapi juga cara anda bergerak melalui kawasan yang dipenuhi perangkap dan laluan rahsia. Saya bermain pada tahap Normal yang agak mudah, tetapi apa yang menjadikan game ini mencabar ialah sejauh mana anda boleh melaksanakan setiap pertarungan dengan baik.

Kredit: Konami

Anda boleh sahaja merempuh masuk, headshot, dan berlari menghapuskan semua orang, tetapi berbuat demikian membuatkan anda kelihatan seperti pemain amatur, terutamanya apabila musuh boleh menembak sekali sahaja dan Snake terus tumbang mati.

Faktor “cool” watak itu hilang disebabkan itu, dan menjadi jelas bahawa game ini tidak sepatutnya dimainkan secara melulu. Walaupun bermain secara agresif masih menjadi pilihan, menyusup masuk ke pangkalan musuh tanpa dikesan adalah jauh lebih memuaskan dan bermanfaat.

Kredit: Konami

Snake Eater memperkenalkan salah satu inovasi paling menarik dalam aksi hendap francais ini dengan sistem Camouflage. Anda boleh menyembunyikan kehadiran Snake bergantung pada persekitaran.

Sebagai contoh, musuh masih boleh mengesan anda di bawah air, jadi anda perlu menyesuaikan penyamaran anda menggunakan corak Air untuk kawasan bawah air, Belang Harimau untuk hutan, Splitter untuk zon bandar, dan sebagainya.

Ini tidak menjadikan anda halimunan sepenuhnya, tetapi sistem ini lebih berfungsi sebagai bonus statistik kepada kebolehan hendap (sesuai atau tidak uniform itu ditunjukkan oleh nilai tambah atau tolak di sebelah setiap corak). Selain daripada corak uniform, anda juga boleh meningkatkan penyamaran dengan menggunakan cat muka.

Kredit: Konami

Satu lagi ciri menonjol dalam Snake Eater ialah elemen survival di mana anda mesti memburu sumber, termasuk makanan, untuk memulihkan stamina. Memandangkan game ini berlatarkan hutan tebal, anda akan menemui banyak haiwan liar dan tumbuhan untuk digunakan sebagai makanan mentah bagi memastikan anda tidak kehabisan sumber.

Keadaan persekitaran yang teruk juga boleh mencederakan Snake; contohnya, melalui lumpur tebal boleh menyebabkan lintah melekat, jadi anda perlu merawat luka menggunakan sistem pemulihan HP unik yang memadankan jenis kecederaan dengan item tertentu.

Kredit: Konami

Semua sistem ini bergabung untuk mencipta pengalaman survival yang imersif. Walaupun terasa agak melecehkan, game ini memastikan anda mempunyai sumber yang mencukupi dan aliran gameplay tidak terlalu terganggu.

Shortcut seperti menukar penyamaran dengan cepat tanpa membuka menu Backpack juga menjadikan pengalaman lebih lancar. Untuk terus hidup, Snake dilengkapi dengan pelbagai senjata dan gajet yang membantu dalam navigasi dan mengesan musuh.

Aksi hendap lebih memihak kepada pistol dengan peluru sebenar dan ubat pelali, tetapi mendapatkan seberapa banyak senjata dan peluru yang boleh adalah penting untuk pertempuran terbuka dan pertarungan bos yang sukar, yang turut wujud dalam game ini.

Kredit: Konami

Reka bentuk tahap kekal sama dengan peta dibahagikan kepada kawasan-kawasan yang bersambung dan dipisahkan oleh skrin loading. Tiada peta mini, jadi anda sering perlu membuka peta utama untuk menentukan lokasi tertentu. Jika anda hanya memerlukan arah ke objektif utama, gajet Compass berfungsi sebagai panduan yang berkesan.

Penerokaan sangat bermanfaat dan selalunya penting, kerana ada gajet dan senjata yang hanya boleh anda temui di kawasan tertentu.

Walaupun rentak permainan terasa linear pada mulanya, game ini akhirnya menawarkan kebebasan untuk meneroka dunianya, jadi anda boleh cuba meneroka laluan lain dan bukannya hanya fokus pada objektif utama.

Kredit: Konami

Secara keseluruhan, remake ini meningkatkan pengalaman gameplay dengan ketara, walaupun ia tidaklah sempurna. Walaupun kawalan lebih lancar, sebahagian daripada kejanggalan asal masih ada yang kadangkala boleh menyebabkan kesilapan.

Isu yang paling mengecewakan bagi saya ialah stealth takedown, yang tidak konsisten kerana ia boleh mengaktifkan sama ada takedown atau chokehold tanpa mengira sama ada musuh sedar akan kehadiran anda.

Kredit: Konami

Menembak dari sebalik pelindung juga sangat terhad kerana anda hanya boleh menyasar dari sudut-sudut tertentu, dan itu pun kadangkala gagal berfungsi.

Masalah AI juga wujud; musuh mungkin tiba-tiba mengesan anda apabila mereka tidak sepatutnya boleh berbuat demikian, dan anjing peronda sentiasa berkelakuan bodoh seperti sama ada berdiri kaku atau tiba-tiba hidup semula selepas dibunuh.

Pilihan Anda Untuk Main Secara Legacy atau New Style?

Kredit: Konami

Remake ini tidak akan lengkap tanpa pelbagai ciri baharu yang direka untuk memaksimakan keselesaan dan aksesibiliti. Bermula dengan mod gameplay, pembangun telah menyertakan mod Legacy yang mengikut perspektif kamera tetap daripada game asal, dan New Style yang direka untuk terasa lebih seperti game TPS moden.

Walaupun ramai pemain mungkin lebih suka New Style, setiap mod sebenarnya mempunyai kelebihannya.

Kredit: Konami

Dalam mod Legacy, kamera tetap mengehadkan medan pandangan anda, yang menjadikan game ini secara natural lebih mencabar. Tetapi pada masa yang sama, ia membenarkan first-person shooting, yang saya dapati jauh lebih tepat daripada bergantung pada bidikan third-person.

New Style pula menjadikan eksplorasi lebih menyeronokkan, tetapi menyasar dalam third-person kurang tepat, terutamanya kerana crosshair tidak selalunya boleh dipercayai.

Kredit: Konami

Selain mod kamera, game ini menambah banyak ciri termasuk Photo Mode dengan pilihan luas yang boleh digunakan walaupun semasa babak penceritaan, serta pilihan aksesibiliti baharu untuk skema kawalan dan penunjuk visual.

Untuk meningkatkan rasa nostalgia, terdapat juga pilihan Filter yang mengubah tona visual keseluruhan dengan gaya yang berbeza. Saya bermain game ini sepenuhnya menggunakan Legacy Filter yang mengekalkan kebanyakan tona kehijauan/kekuningan asal sambil memastikan visual tetap natural tanpa kontras berlebihan.

Rehat Seketika Dengan Memburu Monyet!

Kredit: Konami

Untuk memanjangkan lagi masa gameplay, METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER menyertakan pelbagai kandungan sampingan. Yang kami akan menonjol ialah Snake vs. Monkey, sebuah minigame yang misinya adalah untuk menangkap monyet daripada francais Ape Escape.

Struktur minigame ini kekal setia kepada yang asal: anda maju melalui peringkat-peringkat yang semakin mencabar. Daripada menggunakan jaring seperti dalam Ape Escape, anda kini menangkap monyet menggunakan peralatan Snake, yang menambah kelainan menyeronokkan dan unik.

Melengkapkan minigame ini akan memberi anda item yang boleh dibawa ke kempen utama.

Kredit: Konami

Bercakap tentang kandungan sampingan, ada satu lagi perkara yang membuatkan saya benar-benar terkejut. Ketika sedang memuatkan save data, tiba-tiba sahaja game ini berubah menjadi sesuatu yang langsung tidak saya jangkakan: sebuah game hack and slash dengan tema gotik.

Saya sampai terfikir, “Eh, salah buka game ke?” kerana ia muncul begitu sahaja. Tetapi, ia sebenarnya satu pengalaman yang sangat hebat. Bayangkan, sekejap tadi saya bermain sebagai Snake, kemudian terus dihantar ke sebuah gelanggang untuk menentang gerombolan raksasa.

Kredit: Konami

Watak utamanya pula menggunakan dua pedang dan boleh buat kombo-kombo yang memang padu habis. Rupa-rupanya, ini adalah ciri rahsia baharu yang eksklusif untuk remake ini, dan ia hanya akan muncul jika anda melakukan sesuatu yang spesifik.

Saya tidak akan beritahu caranya, sebab anda kena alaminya sendiri. Barulah ‘surprise’!

Pendapat

Kredit: Konami

Jika METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER mewakili usaha serius oleh Konami untuk menghidupkan semula francais ini, maka mereka pastinya telah meletakkan asas yang kukuh.

Dari perspektif pemain lama, saya kagum dengan pelbagai penambahbaikan daripada visual dan gameplay yang dirombak dengan animasi yang lebih lancar, sehinggalah kepada semua penyesuaian besar dan kecil yang direka untuk memastikan pengalaman yang memuaskan.

Sekarang, ia menjadi lebih sukar untuk kembali kepada game asal, dan selepas menikmati remake ini, saya berharap agar game-game klasik lain, terutamanya yang masih terperangkap pada konsol generasi lama seperti Guns of the Patriots, mendapat layanan yang sama.

Kredit: Konami

Sudah tentu, tanggapan saya mungkin berbeza daripada pemain lain, kerana game ini tidaklah mudah untuk disyorkan, terutamanya kerana gameplay yang old-school, penekanan yang tinggi pada stealth, dan fokus yang kuat pada mekanik survival yang memerlukan perhatian teliti.

Namun begitu, berdasarkan pengalaman saya, kelemahan terbesar terletak pada kawalan berasaskan pelindung, aksi menembak, tindakan khas, dan AI musuh, yang kesemuanya masih tidak konsisten dan memerlukan kemas kini yang lebih menyeluruh.

Metal Gear Solid Δ: Snake Eater akan dilancarkan pada 28 Ogos untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

The Review

METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER

8.5 Score

Kita melihat METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER sebagai satu usaha yang cemerlang oleh Konami. Kami memuji peningkatan visual yang menakjubkan dan animasi permainan yang jauh lebih lancar, menjadikan pengalaman lebih moden dan menyeronokkan. Namun, remake ini tidak sempurna. Beberapa aspek gameplay masih terasa kaku dan tidak konsisten, seperti serangan hendap dan sistem menembak dari sebalik pelindung. Walaupun terdapat beberapa animasi watak yang kelihatan janggal dalam babak penceritaan, kami percaya kelebihannya jauh mengatasi kekurangan, menjadikannya asas yang kukuh untuk masa depan francais ini.

PROS

  • Baik pulih visual dan animasi yang menakjubkan dengan Unreal Engine 5
  • Model watak baharu menonjolkan setiap watak dengan begitu sempurna
  • Mod Legacy dan New Style masing-masing mempunyai kelebihan uniknya
  • Gameplay jauh lebih lancar dan menyeronokkan
  • Eksplorasi sentiasa terasa bermanfaat
  • Nilai main semula yang hebat dengan mod Fox Hunt yang akan datang

CONS

  • Sesetengah babak penceritaan kelihatan janggal di grafik baharu, terutamanya apabila melihat watak cuba meluahkan emosi
  • Banyak hal yang tidak konsisten dan menjengkelkan dalam gameplay
  • Kualiti AI boleh dipertingkatkan

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: Metal Gear Solid Δ: Snake Eaterreviu
ShareTweetSend
Previous Post

RPG Taktikal Pujian Ramai ‘TRIANGLE STRATEGY’ Kini Tiba Di PS5 & Xbox Series X|S!

Next Post

Previu Metal Gear Solid Δ: Snake Eater – Gameplay Dicerminkan Oleh Kepakaran Pemain

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Di Sebalik Tabir ACE COMBAT 8 – Pesawat Lebih Realistik, Awan Penentu Strategi & Fizik Letupan Baharu!
Temuramah

Di Sebalik Tabir ACE COMBAT 8 – Pesawat Lebih Realistik, Awan Penentu Strategi & Fizik Letupan Baharu!

June 4, 2026
Previu ACE COMBAT 8: WINGS OF THEVE – Perang Udara yang Jauh Lebih Realistik!
Preview

Previu ACE COMBAT 8: WINGS OF THEVE – Perang Udara yang Jauh Lebih Realistik!

June 4, 2026
The Lost Wild – Game Dinosaur Survival Yang Mengutamakan Stealh & Saspens!
Berita

The Lost Wild – Game Dinosaur Survival Yang Mengutamakan Stealh & Saspens!

June 4, 2026
Next Post
Previu Metal Gear Solid Δ: Snake Eater – Gameplay Dicerminkan Oleh Kepakaran Pemain

Previu Metal Gear Solid Δ: Snake Eater - Gameplay Dicerminkan Oleh Kepakaran Pemain

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd