Setiap kali Arc System Works berurusan dengan sebuah IP ikonik, kita pasti akan disajikan dengan hasil yang memukau… dan antaranya adalah MARVEL Tōkon: Fighting Souls. Mengetepikan gaya realisme komik Barat demi estetika anime penuh aksi, game 4v4 tag fighter ini tampil cukup berbeza berbanding game-game Marvel yang lain.
Walaupun isu pada hari pelancaran dan sedikit kelemahan pada beberapa mekanik mencalarkan sedikit prestasinya, momentum serta dinamik watak menjadikan game ini antara fighting game paling menarik pada dekad ini. Tanpa melengahkan masa, inilah ulasan kami.
Kandungan

Untuk sebuah game baharu yang setakat ini hanya menerima “patch kestabilan”, jumlah kandungan yang ditawarkan sudah cukup padat.
Walaupun kebanyakan peminat genre fighting lebih tertumpu kepada perlawanan online, pemain solo masih disajikan dengan pelbagai mod menarik terutamanya kempen single-player yang dinamakan sebagai Episodes. Mod naratif ini membolehkan kita menyelami jalan cerita melalui sudut pandang lima pasukan berbeza:
- Fighting Avengers
- Unbreakable X-Men
- The Amazing Guardians
- Samurai Outriders
- Knights of Doom

Naratif disampaikan menerusi panel komik dan cutscene bergaya anime, diselang-selikan dengan aksi pertarungan sebenar. Walaupun setiap cerita agak pendek secara sendiri, gabungan kelima-limanya memberikan tempoh playtime yang cukup memuaskan.
Gabungan elemen komik Barat dan anime Jepun diolah dengan amat berkesan, membangkitkan aura ala Tournament of Power dalam Dragon Ball yang kena tepat dengan konsepnya yang serba pantas dan bertenaga.

Sebaik sahaja kita menamatkan mana-mana satu daripada lima episod utama tersebut, pemain berpeluang melawan dan membuka watak bos rahsia bernama Champion.
Kehadirannya melengkapkan jumlah base roster kepada 21 watak yang boleh dimainkan; satu angka permulaan yang sangat ideal untuk sebuah 4v4 tag fighter yang memerlukan pelbagai kombinasi pasukan.

Jika mahu mengasah kemahiran dan mencuba susunan pasukan, mod Training biasa sedia digunakan. Pun begitu, bahagian Arcade & Tutorial sebenarnya merupakan tempat permulaan yang lebih baik kerana menyediakan panduan watak lengkap dengan pecahan combo bagi setiap fighter.
Bagi pemain yang mahu menguji kehebatan secara kompetitif dalam mod multiplayer, pilihan berikut disediakan:
- Ranked Match
- Casual Match
- Room Match
- Open Lobby (ruang interaksi dan berlawan di server serantau)

Pendek kata, semua mod penting yang diharapkan daripada sebuah game fighting moden memang tersedia. Cuma, susun atur menunya terasa sedikit janggal.
Contohnya, Open Lobby diasingkan ke menu sendiri dan bukannya diletakkan di bawah mod online biasa, manakala cabaran combo pula diletakkan di bawah menu Character Lesson dan tidak dimasukkan ke dalam mod Training.
Corak Permainan (Gameplay)

Arc System Works mencipta game ini agar mesra pemain baharu. Melalui sistem satu butang yang ditekan berulang kali, sesiapa sahaja mampu menghasilkan combo yang dahsyat.
Pendekatan ini membolehkan pemain baharu memberi fokus kepada asas permainan dan cara memenangi interaksi neutral tanpa perlu penting tentang “execution” yang rumit.

Namun, menguasai “fundamental” semata-mata belum cukup untuk membawa kita ke tahap tertinggi.
Sebagai sebuah tag fighter yang kompleks, pentas kompetitif memerlukan kebolehan membina combo berterusan dengan bantuan panggilan assist, di samping mengawal indikator combo limit dengan teliti bagi menghasilkan damage maksimum.

Sistem auto-combo memainkan peranan yang amat dominan dan memberi impak besar kepada gameplay. Ada tiga tahap serangan asas (Light, Medium, dan Heavy), masing-masing dengan active frame serta nilai damage tersendiri.
Setiap kali serangan berjaya terkena pihak lawan, menekan butang yang sama secara berturut-turut akan menukarnya menjadi satu combo lengkap dengan serangan finisher automatik:
- Tekan Light berulang kali: Diakhiri dengan Link Attack.
- Tekan Medium berulang kali: Diakhiri dengan Super Skill (menggunakan 50 mata Skill Gauge).
- Tekan Heavy berulang kali: Diakhiri dengan Ultimate Skill (menggunakan 100 mata Skill Gauge).
- 150 Mata Skill Gauge: Membolehkan kita melancarkan Tōkon Assemble, iaitu Ultimate Skill terkuat dalam game. Disebabkan kuasanya yang mampu melenyapkan sebahagian besar nyawa musuh, ia hanya boleh digunakan pada pusingan penentuan semasa nyawa berada pada tahap kritikal… menjadikannya senjata comeback yang amat efektif.

Kelebihan sistem ini membolehkan kita mempamerkan aksi seperti pemain profesional hanya dengan menekan butang ☐, △, atau 〇. Malah, auto-combo turut berfungsi untuk serangan di udara serta bersambung secara automatik selepas kita melambungkan pihak lawan menggunakan Slam Launcher.

Di sebalik kemudahannya, mekanik ini ada ketikanya terasa agak mengekang. Tekanan butang yang berlebihan akan mengunci kita ke dalam auto-combo yang sudah ditetapkan.
Akibatnya, setiap hit confirm yang secara automatik menghasilkan urutan gerakan serupa boleh menyebabkan fasa neutral di peringkat tinggi bertukar menjadi sekadar aksi spamming serangan Light demi mencuri hit pertama.

Keadaan ini boleh menjadi sangat merimaskan ketika bertahan, terutamanya jika kita terperangkap di sudut gelanggang. Percubaan untuk merampas semula giliran menyerang sering kali gagal, di mana serangan sepantas mana sekalipun masih mudah ditewaskan oleh tekanan pihak lawan.
Nasib baik, sistem defensif yang dibekalkan cukup bagus untuk menyeimbangkan tekanan tersebut:
- Assemble Counter: Reversal defensif yang mampu menangkis dan membatalkan percubaan Grab/Throw. Buat masa ini, pemain berpengalaman boleh menggunakannya berulang kali walaupun Assemble Gauge (tiga bar hijau di bawah nyawa) sudah kosong sepenuhnya.
- Crossover: Mekanik defensif pushback yang diaktifkan selepas berjaya block serangan musuh. Fungsinya saling tidak tumpah seperti Brave Counter dalam Granblue Fantasy Versus: Rising, namun ia menggunakan Assemble Gauge. Tempoh cooldown yang amat pantas membuatkan pemain mahir susah disentuh apabila menggabungkan kedua-dua teknik defensif ini.

Dari segi keseimbangan, Assemble Counter memerlukan sedikit perubahan; ia tidak sepatutnya kebal daripada serangan Throw dan tidak wajar dibenarkan aktif tanpa baki Assemble Gauge.
Sebaliknya, Crossover terasa lebih seimbang kerana damage yang dihasilkan agak minimal, di samping musuh masih boleh mengumpan dan membalasnya dengan Crossover Reflect.

Sekiranya anda sudah biasa dengan selok-belok fighting game, kawalan ringkas ini boleh dimatikan untuk menggunakan motion input tradisional yang memberi ganjaran damage scaling lebih tinggi.
Namun begitu, motion input memerlukan masa pelaksanaan yang sedikit lebih lama berbanding kawalan ringkas, lantas memberi kelebihan kepada pemain kawalan ringkas untuk bertindak balas dengan pantas dalam fasa neutral dan menukar pukulan spontan kepada combo penuh serta-merta.
Sistem Tag 4v4

Daya tarikan utama MARVEL Tōkon: Fighting Souls sudah tentu terletak pada format tag 4v4, di mana versi penuh menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding sesi Closed Beta. Mekaniknya dibina bagi menyokong dua gaya permainan:
- Point Specialist: Pemain yang menumpukan sepenuhnya kepada satu watak utama dan memanfaatkan tiga ahli lain semata-mata sebagai panggilan assist.
- Active Tagger: Pemain yang kerap menukar watak secara spontan bagi menyesuaikan strategi dengan situasi perlawanan serta memaksa musuh berdepan corak serangan yang berbeza-beza.
Proses pertukaran watak terasa amat responsif dan lancar, untuk mengelakkan pertukaran secara tidak sengaja ataupun kehilangan momentum serangan semasa peralihan berlaku.

Setiap kedudukan slot watak menawarkan jenis serangan assist yang unik; daripada gerakan lariat jarak dekat sehinggalah tembakan projektil jarak jauh (zoning). Ini bermakna setiap watak mempunyai tiga variasi assist yang berbeza bergantung pada susunan slot mereka.
Anda boleh menggunakannya untuk memanjangkan combo juggle, mengawal ruang gelanggang menerusi zoning, mahupun memerangkap pergerakan musuh di bucu arena.

Selain itu, ada juga beberapa aksi berpasukan penting, antaranya:
- Assemble Smash: Serangan combo yang menggabungkan seluruh ahli pasukan.
- Super Assemble: Kebolehan merantai sehingga tiga Super Skill secara serentak dalam satu urutan serangan yang gah.
Kami cuma perlu beritahu bahawa perlawanan tidak bermula dengan kesemua empat watak sekaligus. Anda hanya memulakan pusingan pertama dengan watak utama dan seorang rakan assist. Ahli ketiga dan keempat hanya akan dibuka apabila syarat perlawanan tertentu dipenuhi atau apabila memasuki pusingan seterusnya.
Atas sebab itulah, kemuncak keseronokan biasanya mula pada fasa akhir perlawanan sebaik sahaja seluruh pasukan lengkap beraksi.

Panggilan assist merupakan kunci utama untuk mencapai tahap damage maksimum, memandangkan set gerakan satu watak sahaja mempunyai batasan tersendiri.
Tahap pembelajaran juga dirangka dengan baik: daripada memaksa diri mengawal empat watak serentak, pemain disarankan menguasai watak utama terlebih dahulu sebelum mula menggunakan satu, dua, dan akhirnya ketiga-tiga assist ke dalam gaya permainan.
Versi PS5

Walaupun pelancaran versi PC dibelenggu masalah teknikal, versi PlayStation 5 secara keseluruhan menawarkan prestasi yang agak stabil. Namun, pengalaman mod online masih dicemari beberapa kelemahan:
- Matchmaking Perlahan: Masa menunggu untuk mendapatkan perlawanan agak panjang, dan sistem kerap memadankan kita dengan lawan yang sama berulang kali.
- Kestabilan Sambungan: Isu stuttering, lag spike, dan sambungan terputus secara tiba-tiba kerap berlaku. Ini bukanlah berpunca daripada rage quit pihak lawan, sebaliknya game itu sendiri mengalami crash atau ralat ketika pusingan sedang berlangsung. Kualiti netcode dan server di PS5 masih memerlukan kemas kini penambahbaikan.
- Ketidakseimbangan Kemahiran dalam Ranked: Ada jarak kemahiran yang terlalu besar walaupun di peringkat Bronze dan Silver. Anda mungkin berdepan pemain baharu yang masih terkial-kial dalam satu perlawanan, namun pada perlawanan berikutnya terus bertembung dengan pemain berpengalaman yang handal combo assist 4-watak, pergerakan lincah, serta pertahanan kebal. Ketidaktentuan ini membuatkan kemajuan awal dalam mod Ranked terasa tidak adil dan membantutkan motivasi.
Pendapat
MARVEL Tōkon: Fighting Souls memperkenalkan nafas baharu kepada genre tag-team fighting.
Dengan menggantikan visual komik tradisional kepada anime yang dinamik, Arc System Works berjaya membina sebuah game Marvel yang bertenaga menerusi sistem combat 4v4 yang mantap, mesra pemain baharu, serta barisan roster awal yang memuaskan.

Meskipun begitu, beberapa aspek masih memerlukan penambahbaikan. Mekanik defensif seperti Assemble Counter terlalu mudah dieksploitasi dan memerlukan pelarasan.
Versi PS5 juga memerlukan patch bagi menangani isu masa matchmaking yang lama, masalah sambungan terputus, isu game crash, serta jarak kemahiran yang tidak seimbang di peringkat Ranked rendah. Namun di sebalik kelemahan tersebut, asas gameplay tetap pantas, penuh gaya, dan sangat memuaskan.
Game ini tersedia sekarang di PlayStation 5 dan PC (menerusi Steam serta Epic Games Store). Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

![[BIC2026] Visi Jangka Panjang Toei Games Menuju Ke Projek Berskala Besar; Game Kamen Rider/Super Sentai Tidak Terkecuali](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Hiroaki-Nagashima-TOEI_BIC_FI-350x250.jpg)
![[BIC2026] Bukan Isekai Biasa! Bagaimana Creator Chronicles Mengaburkan Dunia Realiti & Maya](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Creator-Chronicles_BIC_FI-350x250.jpg)
![[BIC2026] Usaha Sedekad Mengangkat Game Indie, Itulah Misi Isabella Seo Jungsook](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Isabella-Seo-Jungsook_BIC_FI-350x250.jpg)





Discussion about this post