Selepas lebih dua tahun dilancarkan, Final Fantasy VII Rebirth akhirnya mendarat juga di Nintendo Switch 2. Sejujurnya, melihat sebuah game AAA yang asalnya dibina untuk PlayStation 5 kini berjalan di atas konsol handheld memang satu pencapaian yang sukar dipercayai.
Jadi, ulasan ini tidak akan menyentuh tentang jalan cerita atau gameplay: jika mahukan penjelasan lanjut mengenainya, ulasan kami yang terdahulu sudah pun menjelaskannya dengan lengkap. Kali ini, fokus kami sepenuhnya adalah tentang prestasi dan “feel” Rebirth apabila dimainkan di Switch 2.
Rumusan Jalan Cerita Terkini (Tanpa Spoiler)

Final Fantasy VII Rebirth menyambung terus kisah selepas tamatnya Remake. Cloud Strife bersama kumpulan Avalanche meninggalkan Midgar untuk melangkah ke dunia open world yang sangat luas, yang bermula dari saat mereka melangkah keluar dari Midgar sehinggalah ke Temple of the Ancients.
Sepanjang perjalanan, kita akan dibawa meneroka kawasan ikonik seperti Junon, Costa del Sol, Gongaga, Cosmo Canyon, sehinggalah ke Gold Saucer yang penuh dengan pelbagai minigame menarik.

Dari segi naratif, Rebirth membawakan pendekatan yang terasa ‘familiar’ tetapi penuh kejutan. Biarpun plot utama masih mengikut kisah asal, ada beberapa plot twist penting pada detik-detik utama yang pasti akan membuatkan peminat lama pun terus tertanya-tanya. Kekuatan game ini turut terletak pada penulisan wataknya.
Dinamik hubungan antara Cloud, Tifa, Aerith, Barret, Yuffie, Red XIII, dan rakan-rakan lain berkembang dengan sangat natural sepanjang pengembaraan, lantas memberikan emosi yang jauh lebih hebat berbanding game original.
Rupa Visual Apabila Handheld lawan Docked

Visual sememangnya menjadi topik hangat untuk mana-mana versi port, dan ada sebab yang kukuh. Di sebalik kekangan Switch 2 yang ketat, game ini masih mampu mengekalkan kualiti visual yang boleh diterima. Teknologi DLSS banyak membantu di sini untuk memastikan imej cukup tajam dalam kebanyakan babak.

Bagaimanapun, kompromi dari segi visual memang tidak dapat dielakkan. Jika dimainkan dalam mode handheld, paparan skrin secara keseluruhan nampak agak kabur. Kehilangan butiran grafik amat ketara di kawasan yang padat dan sibuk seperti Gold Saucer, di mana semuanya mula kelihatan agak pecah.

Isu texture streaming juga kerap berlaku. Apabila sesuatu cutscene bermula, objek atau pakaian akan kabur terlebih dahulu sebelum butiran tajam beresolusi tinggi dimuatkan beberapa saat kemudian. Eksplorasi di dunia open world turut mendedahkan masalah pop-in tumbuhan dan pemandangan jauh.
Rumput serta semak-samun sering muncul secara tiba-tiba tidak jauh di hadapan Cloud ketika berlari, yang kadangkala boleh mengganggu keasyikan bermain.
Beberapa pengulas turut melaporkan pepijat pencahayaan di mana skrin berkelip sekali-sekala dalam handheld mode, walaupun isu ini jarang berlaku dan tidak muncul langsung ketika bermain dalam mode docked di TV.
Kelancaran Gameplay & Prestasi Teknikal

Dari segi prestasi, Switch 2 sasar frame rate 30 FPS yang dikunci. Secara umum, sasaran ini mampu bertahan dengan baik ketika eksplorasi biasa dan combat. Sebaik sahaja membiasakan diri, kadar 30 FPS sudah memadai untuk sebuah game action RPG seperti ini.

Namun, prestasi boleh menjadi agak berat dalam situasi yang lebih mencabar: seperti pertarungan berskala besar dengan kesan visual yang hebat, atau ketika bersiar-siar di Gold Saucer. Masa loading juga kadangkala terasa sedikit panjang, tetapi tidaklah sampai mengganggu kelancaran bermain.
Secara keseluruhan, prestasi game ini berada pada tahap yang hampir sama dengan versi Steam Deck… tidaklah begitu mengagumkan, tetapi langsung tidak merosakkan pengalaman bermain.
Betapa Lengkapnya Kandungan & Gameplay Modifier

Di sebalik segala kekangan teknikal ini, kelebihan utamanya ialah keseluruhan kandungan Rebirth dibawakan sepenuhnya tanpa ada yang dipotong.
Anda masih mendapat pengembaraan melebihi 100 jam termasuk jalan cerita utama, side quest, permainan kad Queen’s Blood, perlumbaan chocobo, semua minigame, serta sistem combat yang lengkap.
Bagi pemain yang menjadikan Switch 2 sebagai platform utama atau itu sahaja konsol yang anda ada, ini adalah satu pakej lengkap lagi besar yang sangat menyeronokkan untuk cuba sebaik sahaja mata anda serasi dengan kompromi grafiknya.

Game ini juga mengekalkan pilihan gameplay modifier yang sangat membantu. Anda bebas untuk mengubah suai pengalaman bermain dengan mengaktifkan fungsi seperti XP boost, materia yang telah dinaik taraf sepenuhnya, serta pilihan ATB tanpa had.
Ciri ini memberikan fleksibiliti untuk sesiapa bermain mengikut rentak dan tahap kesukaran tersendiri.
Pendapat

Port Final Fantasy VII Rebirth untuk Switch 2 tidak lari daripada beberapa kekurangan. Visual handheld yang kabur, penurunan frame rate sekali-sekala, serta isu pop-in tumbuhan yang ketara adalah kekurangan yang sukar diabaikan.
Jika memiliki PS5 atau sebuah PC gaming yang hebat, platform tersebut adalah cara terbaik untuk menikmati game ini dari sudut teknikal.

Bagaimanapun, kebolehan menjalankan sebuah open-world RPG yang asalnya dibina untuk PS5 pada peranti handheld secara lengkap sebegini merupakan satu pencapaian yang amat mengagumkan. Segala kekuatan asal Rebirth (daripada sistem combat, dunia, watak, sehinggalah jalan ceritanya) berjaya disampaikan dengan baik di Switch 2.
Bagi pemilik sistem ini, ia kekal sebagai antara RPG terbaik yang ada di pasaran, serta sebuah adaptasi mudah alih yang hebat bagi game yang pernah mengubah landskap genre ini.
Untuk beli di Nintendo eShop, sila layari laman web rasmi.
The Review
Final Fantasy VII Rebirth (Nintendo Switch 2)
Meskipun berdepan kompromi visual seperti grafik handheld yang agak kabur, isu pop-in, dan penurunan frame rate daripada sasaran 30 FPSdi kawasan sibuk, port Final Fantasy VII Rebirth untuk Nintendo Switch 2 merupakan satu pencapaian teknikal yang mengagumkan. Tiada sebarang kandungan atau minigame yang dipotong, sekali gus menawarkan keseluruhan pengalaman asal secara mudah alih.
PROS
- Kandungan dibawa sepenuhnya tanpa apa-apa potongan: merangkumi jalan cerita, side quest, minigame, dan sistem combat
- Teknologi DLSS membantu mengekalkan visual yang agak kemas
- Kadar 30 FPS yang stabil sepanjang kebanyakan situasi bermain
- Pilihan gameplay modifier yang fleksibel untuk memudahkan pemain
- Sebuah RPG epik yang boleh dimainkan di mana-mana sahaja
CONS
- Visual dalam handheld mode kelihatan agak kabur
- Frame rate adakalanya menurun di kawasan yang padat (seperti Gold Saucer) dan ketika combat sengit

![[Khabar Angin] Manga Bleach Mungkin Kembali Ke Shonen Jump Untuk ‘Hell Arc’](https://cdn.gamersantai.com/2026/06/BLEACH_HELL-ARC_FI-350x250.jpg)






Discussion about this post